Harakahdaily
PRU 13. Saya melihatnya dengan kaca mata peristiwa agung Islam, Pembukaan Kota Makkah pada Ramadhan tahun ke-8 Hijrah. Selepas 20 tahun nabi diutuskan oleh Allah untuk melaksanakan islah dan dakwah.
Sejak selepas berakhirnya zaman syariat Ibrahim dan Ismail AS, Makkah diduduki oleh musyrikin yang menyembah berhala. Era ini bukanlah satu era yang pendek. Ia menghampiri ribuan tahun. Namun, itu tidak bermakna bahawa kerosakan syirik itu tidak boleh dirawat. Allah mengutuskan Muhammad SAW untuk merawat lembah kontang itu dan akhirnya menjadi mercu tamadun agung dunia.
Sejak diutuskan, Rasulullah SAW tidak pernah berehat dari menebar dakwah kepada penduduk Makkah. Baginda dituduh mengajar ajaran sesat. Dituduh mengamalkan sihir. Ditawarkan kedudukan, wanita dan harta. Namun dakwah tidak terhenti. Rakyat Makkah masih disantun dengan hemah dan sopan. Namun yang diterima baginda hanyalah kejian, makian, fitnah dan cubaan bunuh.
Setelah itu, Rasulullah SAW berhijrah ke Yathrib dan menubuhkan sebuah negara kecil bernama Madina dengan kerjasama Ansar, Muhajirin dan puluhan kabilah non-Muslim yang menduduki Yathrib dan sekitarnya.
Sejak Madinah didirikan, musyrik Quraish Makkah semakin iri hati. Abu Sufyan Bin Harb sengaja menyakiti hati muhajirin dengan membawa rombongan perdagangan barang rampasan orang Islam yang telah berhijrah berhampiran dengan Madinah.
Pembesar Makkah tidak pernah lekang dari merencana untuk merobohkan kesatuan Madinah. Mereka mencucuk-cucuk kabilah yang telah bekerjasama dengan Rasulullah SAW agar memungkiri perjanjian. Akhirnya, beberapa siri pengkhianatan berlaku dan tercetuslah siri peperangan mempertahankan kedaulatan Madinah.
Selepas peristiwa Perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam Hijrah, Islam semakin berkembang pesat. Jajahan Madinah semakin meluas. Empayar Islam semakin berkembang. Dendam Musyrik Quraish semakin membakar.
Kemuncaknya, Quraish telah membantu Bani Bakar menyerang Bani Khuza'ah yang merupakan salah satu kabilah yang telah mengikat kontrak keamanan dengan negara Madinah.
Rasulullah SAW selaku ketua negara bertindak mengumpulkan 10,000 tentera menuju Makkah lalu membebaskannya dari kezaliman Quraish. Peristiwa Pembebasan Makkah ini berlaku hanya dua tahun selepas perjanjian Hudaibiyah.
PAS di Malaysia
PAS, sejak penubuhannya, melalui jalan yang sangat berliku akibat tentangan daripada lawan tradisinya yang bernama Umno. Tempoh Umno memerintah Malaya tidaklah sepanjang tempoh syirik masyarakat Makkah.
Sejak dakwah PAS berkecimpung di alam politik Malaysia, bukan sedikit pemimpin PAS merengkok dalam penjara. Bukan sekali tikaman dan hujaman tombak serangan disasarkan kepada PAS. Malah selepas Kelantan diperintah oleh PAS, rakyat Kelantan turut terkena tempias serangan Umno-BN itu. Pelbagai peruntukan disekat manakala royalti minyak pula dirampas.
Awal kemenangan PAS di Kelantan pada 1990, pemimpin Umno mendakwa PAS hanya mampu bertahan selama beberapa minggu sahaja. Kini, lebih 20 tahun PAS kekal di Kelantan, bahkan mara menuju untuk membebaskan Kota Makkah atau Kostantinopel bernama Putrajaya. Dengan senjata tahaluf siyasi yang mapan, dakwah yang berhikmah dan bijaksana, PAS mengukuhkan tapaknya meski pelbagai halangan ditimpa.
Tatkala PAS dan PR menghampiri Putrajaya, saya pasti putaran sejarah Pembukaan Kota Makkah akan berulang. Watak-watak sejarah ini akan melakonkan peranannya. Setelah lebih 50 tahun menentang PAS dan PR, tak mustahil untuk mereka insaf dan menurut kata hati kecilnya, tunduk kepada fitrah kejadian. Kembali kepada keamanan, keadilan dan kebajikan. Tinggal lagi, bagaimana respon PAS dan PR terhadap golongan ini, apakah ada tempat kepada mereka?
Kalau hari ini, mantan MB Selangor dan pemimpin kanan Umno menyertai PAS. Saya yakin, masih ramai yang wataknya dahulu lebih 'tegar' berbanding TS Mat Taib yang akan menyeberangi arus menyertai PAS dan PR.
Apakah kita bersedia?
Watak PRU13
Tatkala berita ketumbukan tentera Islam Madinah sedang menghampiri Makkah tersebar, para pembesar Qurasih tidak senang duduk. Sesuatu keputusan mesti dibuat untuk menjamin keselamatan mereka.
Abu Sufyan Al-Mughirah Bin Al-Haris Bin Abdul Muttalib
Abu Sufyan bin Al-Haris Bin Abdul Muttalib merupakan sepupu Rasulullah SAW dan juga saudara susuan baginda. Keakraban Abu Sufyan dan Rasulullah SAW sangat erat sebelum baginda diutuskan sebagai pesuruh Allah. Namun tatkala risalah diturunkan kepada Muhammad Bin Abdullah, Abu Sufyan Bin Al-Haris berubah pendirian lalu menjadi musuh Muhammad yang paling ketat. Erat menjadi karat, kerabat utuh berubah menjadi musuh. Bait syairnya yang sebelum ini memuji keperibadian Muhammad al-Amin berubah menjadi bait mengutuk Muhammad al-Kazzab.
Namun, tatkala mendengar khabar bahawa sepupunya kini mengetuai 10,000 bala tentera menuju ke Makkah, tanah airnya, hatinya mencair. Sinaran hidayah terhambur. Sendinya akur dengan hidayah. Beliau lantas memacu kudanya untuk bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan melafazkan kalimah Syahadah.
Sejak itu, Abu Sufyan bin Al-Haris menebus dosanya yang lampau dengan seluruh jiwa raganya diwakafkan kepada Islam. Dalam peperangan Hunain (beberapa hari selepas Fath Makkah) Abu Sufyan membuktikan keimanannya. Badannya berlumuran darah mempertahankan Islam yang sebelum ini dibencinya.
Abu Sufyan Bin Al-Haris wafat pada pada zaman pemerintahan Saidina Umar RA. Beberapa hari sebelum ajal menjemput, Abu Sufyan menggali lubang kubur. Saidina Umar RA menyembahyangkan jenazahnya dan dikebumikan di perkuburan Al-Baqi'.
Abu Sufyan Sakhr Bin Harb Bin Umayyah
Abu Sufyan Sakhr Bin Harb Bin Umayyah. Sejak zaman remaja, Abu Sufyan bin Harb adalah ahli politik dan pemimpin kanan Quraish.
Selepas kaum Muslimin berhijrah, Abu Sufyan merampas harta mereka untuk dijual. Sebagai provokasi untuk menyakiti hati orang Islam, Abu Sufyan sengaja melalui jalan yang berhampiran dengan Kota Madinah. Akibat itu, peperangan Badar tercetus.
Sejak terbunuhnya Abu Lahab Umayyah dan Abu Jahal, beliau mewarisi takhta pembesar Quraish Makkah. Semenjak itu juga, dendamnya terhadap Muhammad SAW yang kini mengetuai kerajaan Madinah semakin bertambah. Peperangan demi peperangan dicaturkan untuk memusnahkan jiwa yang bernama Muhammad Bin Abdullah SAW itu.
Ketika 10,000 tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW menghampiri Makkah, Al-Abbas bin Abdul Muttalib memimpin tangan Abu Sufyan untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW demi memohon perlindungan. Baginda menerima kedatangan Abu Sufyan dengan tenang. Nabi Muhammad SAW tidak mengambil pendekatan untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh Abu Sufyan semenjak 20 tahun yang lalu. Bahkan Rasulullah SAW menawarkan Islam kepada Abu Sufyan dan menjamin keselamatannya. Selepas melafazkan kalimah syahadah, Abu Sufyan kini menjadi panglima Islam, mempertahankan Islam yang pernah dimusuhinya suatu ketika dahulu. Rasulullah SAW memuliakan Abu Sufyan dengan bersabda :
"Sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufyan, mereka akan selamat"
Al-Abbas Bin Abdul Muttalib
Al-Abbas Bin Abdul Muttalib merupakan bapa saudara Rasulullah SAW. Beliau dikatakan memeluk Islam sebelum hijrah dan menyembunyikan Islamnya. Beliau dikatakan menyaksikan peristiwa Pejanjian Aqabah. Dalam peristiwa peperangan Badar, Al-Abbas ditawan oleh tentera Islam.
Ketika berlakunya Pembukaan Kota Makkah, Al-Abbas sedang dalam perjalanan hijrah ke Madinah untuk menyertai umat Islam di Madinah. Setelah mengetahui tentera Islam sedang menuju ke Makkah, beliau berpatah balik dan bertemu dengan Abu Sufyan Bin Harb untuk mengajaknya kepada Islam.
Sabda Rasulullah sollallohu 'alayhi wasallam kepada Al-Abbas :
“Aku ini nabi terakhir, engkau pula muhajirin terakhir."
Muawiyyah Bin Abu Sufyan Bin Harb Bin Umayyah
Muawiyah merupakan anak kepada Abu Sufyan. Beliau telah condong kepada Islam sejak peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Muawiyyah menyatakan keinginannya untuk memeluk Islam namun dihalang oleh ibunya kerana bimbang akan dimurkai oleh Abu Sufyan yang merupakan pembesar Makkah.
Selepas mengetahui bapanya memeluk Islam, Mu'awiyah terus menyatakan Islamnya secara terang-terangan.
Ikrimah Bin Amru Bin Hisham
Ikrimah Bin Amru Bin Hisham. Bapanya adalah musuh Islam yang terkenal, Abu Jahal Amru Bin Hisham. Selama 20 tahun sejak Rasulullah dibangkitkan, beliau adalah musuh Islam yang telah menafikan kebenaran agama nenek moyangnya. Setelah Abu Jahal terbunuh dalam peperangan Badar, permusuhan asal untuk mempertahan agama dan bangsa kini ditambah pula dengan permusuhan dendam terhadap pembunuhan bapanya.
Apabila berlakunya peperangan Uhud, Ikrimah turun ke medan Uhud bersama isterinya Ummu Hakim untuk memperkuatkan tentera Quraish. Ikrimah mengepalai tentera kiri bergabung tenaga dengan panglima Khalid Al-Walid yang masih belum memeluk Islam di sebelah kanan Uhud. Gabungannya bersama Khalid al-Walid memporak-perandakan tentera Islam di medan Uhud.
Ketika berlakunya peristiwa Pembukaan Kota Makkah, beliau melarikan diri ke Yaman, meninggalkan isterinya Ummu Hakim di Makkah. Ummu Hakim lantas bertemu dengan Rasulullah SAW dan memeluk Islam seterusnya memohon jaminan keselamatan kepada suaminya, Ikrimah. Rasulullah SAW sekali lagi melupakan perbuatan Ikrimah dan memberi jaminan keselamatan kepada Ikrimah. Selepas menemui Ikrimah, Ummu Hakim membawanya kepada Rasulullah SAW lalu memeluk Islam.
Selepas bergelar Muslim, Ikrimah berjanji untuk menebus dosa lampunya. Beliau menyertai siri peperangan membela Islam. Pada zaman Abu Bakar, beliau telah menerima puluhan misi penting dan berjaya menunaikannya dengan cemerlang. Beliau juga merupakan tokoh penting dalam misi merawat dan memerangi golongan riddah pada era Abu Bakar.
Ikrimah akhirnya mempuktikan dua kalimah syahadanya apabila beliau syahid di peperangan Yarmouk di Jordan.
Suhail bin Amru
Suhail bin Amru adalah pemidato Quraish yang sangat hebat. Ketika perjanjian Hudaibiah, Suhail menjadi utusan Quraish untuk berunding dengan rombongan Muslimin. Beliau menolak menulis perjanjian Hudaibiyah dengan kalimah Bismillah Al-Rahman Al-Raheem, sebaliknya hanya dengan kalimah Bismikallahumma, namamu wahai tuhan kami.
Setelah melihat kebaikan akhlak Rasulullah, selepas peristiwa Fath Makkah, hatinya berbunga cinta kepad Rasulullah. Beliau meminta jaminan keamanan dari Anaknya yang telah lama beriman, lalu Rasulullah mengizinkan. Beliau akhirnya memeluk Islam. Rasulullah mengurniakannya seratus ekor unta hasil rampasan perang Hunain.
Beliau menebus zaman kekufurannya dengan bersungguh-sungguh. Tidak ada tempat yang pernah dilaliunya sewaktu kufur melainkan beliau melaluinya semula selepas Islam, tidak ada harta yang telah beliau gunakan waktu kufur melainkan beliau gantikannya dengan infaq kepada jalan Allah.
Zubair Bin Bakar berkata, "Suhail menjadi orang yang paling banyak solat dan puasa dan paling terkesan dengan ayat al-quran selepas memeluk Islam."
Ketika Rasulullah wafat, Suhail masih di Makkah. Penduduk Makkah ditimpa kesedihan yang amat dahsyat tatkala menerima perkhabaran hiba itu. Sedang Abu Bakar berkhutbah di Madinah, Suhail berdiri dengan kalimah yang sama di Makkah,
“Wahai ahli Makkah, janganlah kamu menjadi orang yang paling lewat memeluk Islam dan paling awal murtad. Sesungguhnya agama ini akan kekal selagi kekalnya bulan dan matahari. Sesiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah tiada. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu tidak ada mati pada zat-Nya.”
Dikatakan beliau syahid sewaktu pepeangan Yarmouk namun khabar itu kurang tepat berbanding berita yang mengatakan bahawa beliau syahid akibat taun amwas.
Safwan Bin Umayyah Bin Khalaf
Safwan Bin Umayyah Bin Khalaf juga merupakan musuh Islam sebelum peristiwa pembukaan Kota Makkah. Selepas mendapat jaminan keamanan dari Rasulullah SAW, beliau memeluk Islam dan menjadi pembela Islam.
Abu Quhafah Uthman Bin Amir Bin Amru Bin Kaab, merupakan bapa kepada Abu Bakar RA. Beliau juga diriwayatkan memeluk Islam selepas peristiwa pembukaan Kota Makkah.
Kesimpulan
“Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu.” (Surah al-Mukminun : ayat 96).
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
“Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.” (Surah al-Fussilat : ayat 34-35
No comments:
Post a Comment