Ketika seorang ulama pejuang
terkenal Moroco hendak meletakkan batu asas Kota Fez - Maulana Idris - berdoa
bersama pengikutnya seperti berikut;
“Ya Tuhanku! Engkau amat mengetahui aku membinakan kota ini bukan untuk dipuji dan berbangga kepada selain-Mu, tidak juga kerana kepura-puraan, keangkuhan dan rasa besar diri.
“Ya Tuhanku! Engkau amat mengetahui aku membinakan kota ini bukan untuk dipuji dan berbangga kepada selain-Mu, tidak juga kerana kepura-puraan, keangkuhan dan rasa besar diri.
Melainkan niatku untuk penduduknya sentiasa mengabdikan diri hanya kepada-Mu, hukum dan panduan-Mu menjadi batas sempadan serta kandungan Al-Qur’an dan Sunnah Nabi-Mu dijunjung, selagi mana bumi ini masih wujud.
Ya Ilahi! Bantulah pendudukanya melakukan sesuatu yang benar dan pandulah mereka melaksanakan tugas mereka sebagai hambaMu.
Ya Ilahi! Lindungilah mereka dari kejahatan apa jua, limpahkan mereka dengan anugerah yang tak terhitung dan jauhkan mereka dari pedang musuh.
Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Fez - masih wujud hingga kini. Sesiapa yang pernah berkunjung ke sana akan merasa ta’jub dengan keindahan susun atur bandarnya. Keindahan dalaman rumah penghuninya lengkap dengan taman dan ruang santai keluarga, sangat menarik dan indah. Pancuran air telah digunakan untuk mewujudkan ketenangan dan kedamaian penghuni kotanya.
John Anthony Burgess Wilson, Novelis British yang pernah menetap di Malaysia termasuk di Kota Bharu, pengarang antara lain novel seperti: Time for a Tiger, The Enemy in the Blanket , Beds in the East, The Malayan Trilogy yang kemudiannya diterbitkan dalam satu jilid dengan judul "The Long Day Wanes", "The Right to an Answer" (1960), "The Doctor is Sick" (1960) dan belasan novel yang lain menyebut: Islam adalah satu-satunya agama Kota.
Hujjah beliau - Nabi Muhammad s.a.w dilahir dan berjuang di Kota Mekah. Ketika baginda berhijrah, destinasi pilihan baginda masih sebuah kota - Kota Yathrib yang kemudiannya dinamakan Kota Madinah.
Selain Rasulullah s.a.w, Nabi Yusuf a.s berhijrah dari kehidupan kampung di Palestin menuju ibu kota peradaban dunia di masa itu, Memphes di Mesir.
Nabi Musa a.s pula dititahkan oleh Allah untuk memasuki kota Baitul Maqdis.
Al-Qur’an menggelarkan Kota Mekah sebagai Ibu Kota Dunia - Ummul Qura. Dua kali - kalimah Ummul Qura muncul di dalam Al-Qur’an iaitu pada ayat 92 Surah Al An’am dan ayat 7 Surah As Syu’ara.
Mekah - sebagai ibu kota dunia, dulu, kini dan akan datang. Apa perbezaan Kota Mekah sebelum Nabi s.a.w datang ‘membuka’ Kota ini selepas hijrah Baginda ke Kota Madinah dan sebelumnya?
Ubudiyyah dan Uluhiyyah kepada Allah!
Ka’abah sedia tersergam ketika Jahiliyyah masih berkuasa di situ. Sebagai pusat ibadat ia juga menjadi pusat pelancongan dan perdagangan serentak.
Nabi tidak datang meruntuhkan bangunan dan kota yang ada. Nabi s.a.w mengisinya dengan pengisian pengEsaan kepada Allah dan pengabdian penduduknya hanya kepada Nya. Mentadbir kuasa pemerentahan berasaskan Islam adalah termasuk dalam ubudiyyah itu.
Sejak itu, ratusan kota bertukar wajah dan pengisian di pelbagai belahan dunia. Namun, kota-kota ini kekal sebagai kota metropolitan yang termaju pada zaman mereka masing-masing, dengan penduduk pelbagai ragam, warna, keturunan dan agama hidup dengan aman dan harmoni di bawah keadilan, kesaksamaan dan nilai kemanusiaan tahap tinggi.
Manusia dan kemanusian sentiasa menjadi keutamaan tertinggi. Ubudiyyah kepada Allah - itulah yang membezakan kota Islam dalam tamadun dengan kota yang lain.
Keutamaan kepada manusia dan kemanusian - Baik kehidupan fizikal seperti kediaman, infra awam, taman dan landskap. Mahu pun ciri lain seperti keselamatan, kecerian, kejiranan, intelektual, seni dan budaya.
Menyanjung Tinggi Nilai Nilai Baik, Memandang Hina Nilai Nilai Buruk. Tidak ada pemerasan - baik di bidang perdagangan dan kegiatan ekonomi mahu pun peluang terbuka berasaskan kelayakan dan keperluan di segenap bidang.Tidak ada penindasan - melainkan kesaksamaan,
Cintakan ilmu, dialog, kuliah, diskusi dan percaya dengan kebebasan berfikir yang tidak dikongkong dan dihalang. Citra minda dan daya fikir mencapai puncak. Pada masa yang sama, masjid dan surau dipenuhi dengan mereka yang bersujud dan mengumandangkan bacaan ayat-ayat suci, doa dan munajat.
Kembali kita ke Putrajaya.
Di mana Putrajaya di peta dunia?
Disebalik perbelanjaan yang mungkin telah mencecah RM30 bilion (sewaktu saya di Parlimen dulu Dewan diberitahu peruntukan asas adalah RM22 bilion), sejauh mana kedudukan Putrajaya berbanding kota dunia yang lain?
Mengikut laman web World’s Most Liveble Cities, dari 25 kota besar utama yang dikira paling selesa didiami, Putrajaya belum tersenarai.
Antara ciri bandar terbaik dunia adalah seperti berikut;
1: Keselamatan
2: Reakreasi
3: Budaya
4: Pendidikan
5: Keusahawanan
6: Alam sekitar
7: Pengangkutan Awam
8: Ekonomi/Kos hidup
9: Kediaman
10: Kesihatan
11: International Connectivity
12: Cuaca
13: Toleransi
14: Arkitektur
15: Polisi positif pemerentah
Mari kita menilai semula permasalahan yang ada di Putrajaya. Sebahagiannya telah lama disungutkan tetapi kerana sikap dingin pihak tertentu, ia tinggal menjadi masalah.
Isu-isu ini saya kutip sekilas saya diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat di Putrajaya. Masalah sebenar warga Putrajaya mungkin lebihh serius dan lebih besar lagi.
- Saya sedia mendengar -
Hanya kumpulan gred profesional sahaja disediakan parking dan kumpulan bawahan diminta menaiki bas Nadi Putra yg mungkin salah satu perjanjian kroni.
- kos parking bagi kakitangan sokongan / pegawai muda yg tidak diperuntukkan parking lot di bangunan Kerajaan adalah terlampau tinggi dan membebankan. Hasilnya parking lot berbayar yang dibina PJH terbiar kosong seperti projek gajah putih. Namun malangnya pula, bila kakitangan tersebut meletakkan kenderaan di kawasan tidak berbayar yang 'tidak direstui' PPj seperti di bahu2 jalan selalunya berakhir dengan tindakan saman oleh PPj / JPJ / Polis Trafik. Bilangan parking di apartment2 juga sangat mengecewakan.
- kos perumahan yang terlampau tinggi yang menyebabkan hanya pegawai-pegawai berjawatan tinggi memiliki rumah di Putrajaya.
- aktiviti2 usrah / keagamaan di Masjid Putrajaya / Masjid Tuanku Mizan sangat2 mengecewakan. Tak padan jumlah makmum berbanding saiz masjid.
- premis-premis komersil dijual dengan kadar yang terlampau tinggi. Ini menyebabkan kadar sewa bulanan yang terpaksa dibayar oleh peniaga adalah sangat-sangat tinggi dan mereka terpaksa meninggikan harga jualan barangan mereka dan ini meningkatkan kos kehidupan penghuni Putrajaya.
- kurangnya pusat2 yang menawarkan pendidikan Islam kepada anak-anak. Kesannya, mungkin tahap pemahaman/penghayatan Islam di kalangan anak2 di Putrajaya di masa depan membimbangkan keluarga.
- sistem pengangkutan awam yg kurang efektif.. w/pun bilangan bas di sini adalah mencukupi, namun laluan bas ditetapkan tanpa membuat kajian menyeluruh terhadap keperluan pengguna2 - perlu lebihkan route bas yang masuk terus ke kawasan2 bangunan Kerajaan khususnya di Parcel C, D dan E (kebiasaan bas berhenti di luar kawasan Parcel.. kurang mesra pengguna sbb pengguna terpaksa berjalan kaki & lebih susah kalau waktu hujan)
- kebanjiran pekerja asing menyebabkan persepsi penduduk ke atas tahap keselamatan di Putrajaya merosot.
- kualiti air yang kurang memuaskan.. kotor, berkeladak & bahaya utk kesihatan.
- perlu wujudkan persekitaran / peluang utk penduduk tempatan menambahkan pendapatan
- hubungan sosial di kalangan penduduk Putrajaya amat mendukacitakan. Perlu lebih kreatif dalam menghasilkan aktiviti2 kekeluargaan yg lebih santai & boleh eratkan kemesraan & kepedulian di antara ahli komuniti (aktiviti2 sedia ada lebih berteraskan hiburan).Taman-taman yang indah di sekitar Putrajaya ( Taman Perdana, Taman Pancarona, Taman Wetland dan Taman Botani tidak dimanfaatkan untuk menceriakan lagi kegidupan sosial warga PutraJaya)
- ketiadaan bengkel2 kereta beroperasi, tiada bengkel khas / one stop center yg menawarkan semua pakej repair di Ptrajaya sedangkan kawasan perindustrian ringan di Presint 15 boleh dimanfaatkan.
Sebagai akhirnya, saya perturunkan satu dua ayat-ayat Al-Qur’an sekitar ‘Al-Qura’ untuk renungan kita semua.
Kesimpulan yang kita boleh ambil dari ayat-ayat ini ialah Peringatan Allah bahawa kedududukan sesuatu bergantung kepada penduduknya. Samada;
Mereka beriman dan bertaqwa - mereka akan dirahmati dan dilimpahkan kurnia yang lebih baik
Mereka durhaka, lalai dan engkar - mereka akan dibinasakan.
Maksudnya: “Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.” - (Al-An'aam 6:131)
Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” - (Al-A'raaf 7:96)
Maksudnya: “Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?” - (Al-A'raaf 7:97)
Maksudnya: “Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap).” - (Hud 11:100)
Maksudnya: “Dan - di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), - Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): " Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman". - (Saba' 34:18)
Wallahu’alam. Sekian.
- Haji Husam Musa
No comments:
Post a Comment