Putrajaya, adalah pusat pentadbiran
kerajaan Malaysia, lambang kuasa kerajaan Barisan Nasional yang memerintah
Malaysia lebih setengah abad. Dengan itu Umno yang menjadi tulang belakang BN
selama ini diasosiasikan dengan kekuasaan di Putrajaya.
Namun
Putrajaya terlalu kecil jika dibandingkan dengan empayar Rom dan Parsi di zaman
klasik yang berkuasa ratusan tahun lamanya. ia lebih kecil lagi Constantinople dibandingkan dengan empayar Rom di
sebelah timur, iaitu empayar Byzantine/Constantinople Istanbul/Turki.
Dalam
sejarahnya Empayar Byzantine/Constantinople dapat ditakluki dan dibebaskan
oleh seorang pemuda, berumur 21 tahun – Sultan Muhamad atau bergelar Muhamad
Al-Fateh, perwira muda yang luar biasa, anak Sultan Murad sekitar abad ke-15.
Saya
mengingat semuanya ini ketika berdiri di depan Datuk Husam Musa, calon
PAS/Pakatan Rakyat untuk parlimen Putrajaya. Lawannya, Tengku Adnan Tengku
Mansor dari BN.
Husam
adalah pemimpin politik heavyweight, yang dianggap oleh sesetengah orang
sebagai ‘tokoh politik yang suka berdepan dengan cabaran besar’ sesuai dengan
sifatnya yang sangat dinamik, lincah terbuka, suka membaca dan berstrategi.
Husam
adalah produk dari kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, justeru
selama puluhan tahun beliau bukan saja belajar mengenal tasawuur Islam
seluas-luasnya, bahkan belajar kaedah kepimpinan Islam seperti yang diserlahkan
oleh Mursyidul Am PAS itu.
Oleh
itu melihat watak Husam yang luar biasa itu, Tuan Guru Nik Abd Aziz,
barangkali, ‘melepaskannya’ bertanding di luar Kelantan – Parlimen Putrajaya,
suatu langkah yang disafatkan oleh beberapa kalangan sebagai ‘berani dan
berisiko tinggi’ - memandangkan kawasan Parlimen Putrajaya ini kononnya adalah
sebagai ‘kubu kuat’ Umno/BN yang tidak akan terkalahkan, justeru di sana pusat
pentadbiran kerajaan di mana ada persepsi umum mengatakan bahawa kakitangan
kerajaan biasanya akan mengundi BN atas sebab-sebab yang diketahui umum.
Husam
bercita-cita untuk membawa Tuan Guru Nik Abd Aziz menjadi imam solat Jumaat di
Masjid Putrajaya kiranya Putrajaya dapat dikuasai Pakatan Rakyat selepas PRU
ke-13 ini. Bagaimanapun pada pendapat saya, semangat perjuangan Tuan Guru
sudahpun berada di lubuk hati penghuni Putrajaya.
Memang
pelbagai tekanan dilakukan kepada penjawat awam di Putrajaya supaya tidak
menghadiri ceramah dan program Husam yang lain, tetapi beliau mempunyai
strategi sendiri menemui pengundi yang lebih 10,000 orang itu.
Setiap
ada kesempatan, beliau dan petugasnya menemui pengundi Putrajaya di mana saja –
di kantin, di kafetaria, pasar mini, hentian teksi dan bas, orang-orang
perseorangan yang bersiar-siar di tepi tasik dan di mana saja.
Puluhan
ribu orang telah menghadiri beberapa majlis ceramahnya bersama pemimpin Pakatan
yang lain di Putrajaya minggu lalu dan ini sangat membimbangkan pihak lawannya.
Bagi pemerhati politik, ini tanda pengundi di situ, dari golongan manapun,
sudah mahukan perubahan.
Saya
menemui Husam di pejabatnya di Putrajaya dalam keadaan cuaca dingin dengan
hujan di luar berterusan.
Beliau
kelihatan tenang saja, ceria dan yakin. Beliau mengatur strategi dengan formula
mengetahui sedalam-dalamnya kekuatan dan kelemahan musuh, membaca suasana
persekitaran, bila masa bertahan dan bila masa menyerang, di samping
menyediakan secukupnya peralatan lojistik.
Semua
langkah Husam ini mengingatkan saya mengenai teori dan strategi peperangan
panglima perang termasyhur China Sun Tzu atau Sunzi di zaman klasik China,
Dinasti Zhou. Mungkin juga Husam telah membaca buku Sun Tzu ini.
Baru-baru
ini, Husam melahirkan rasa kecewa berhubung peristiwa di mana ada AJK di sebuah
surau di Putrajaya dipecat berkuatkuasa serta merta hanya kerana membenarkan
beliau mengadakan majlis suai kenal di surau tersebut.
"Saya
mohon pada semua sahabat yang baru saya kenali di Putrajaya, penduduk Putrajaya
dan seluruh rakyat negara Malaysia yang beragama Islam supaya berdoa mohon
kepada Allah supaya budaya politik sempit begini ditamatkan pada 5 Mei
ini," katanya.
Menurutnya,
situasi itu menyebabkan mood perubahan warga Putrajaya semakin meningkat.
Husam
bercita-cita, jika Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara, beliau akan
mengesyorkan supaya dibina satu sekolah Maahad Tahfiz Sains di Putrajaya
seperti di Kelantan yang telah berjaya melahirkan tenaga profesional dan pada
masa yang sama hafiz al-Quran. Dengan kata lain, golongan profesional dapat menguasai
Al-Quran.
Husam
juga turut menyatakan harapannya jika Pakatan Rakyat berkuasa nanti, untuk
mengatasi masalah perumahan di Putrajaya termasuklah masalah harga rumah yang
tinggi, bilangan rumah yang tidak cukup dan keluasan rumah yang tidak selesa
yang sangat mendesak kepada masyarakat di sini.
Saya
yakin, tokoh pemimpin seperti Husam ini juga bercita-cita untuk menjadikan
Putrajaya ini sebuah kota pentadbiran yang benar-benar menjunjung amanah rakyat
dan menjadi kota ilmu yang menyinarkan cahayanya ke mana-mana.
Memanglah
harapan kepada Husam sangat tinggi dan jika Pakatan Rakyat berkuasa, saya kira,
Husam antara orangnya, yang mampu membawa perubahan di Putrajaya ini.
Akhirnya,
saya menyimpulkan, jika Allah s.w.t. menghendakinya, kemenangan Pakatan
Rakyat akan tercapai dan Putrajaya akan dapat dibebaskan seperti Muhamad
Al-Fateh membebaskan Constantinople,
walaupun Husam tidaklah semuda Muhamad Al-Fateh.
TGNA-5 MEI UNDI DENGAN
CERDIK
No comments:
Post a Comment