Aku tak berapa hairan kalau yang melafazkan kenyataan itu pemimpin UMNO
yang sudah hampir ‘ tarikh luput’nya. Kenyataan sedemikianlah yang selalu
dimainkan oleh mereka untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya terus menerus
boleh diperbodohkan, ‘ditongongkan’ dan ‘ditenginkan”. Orang Melayu yang cerdik
sudah tidak boleh ‘dipergunakan’ oleh mereka dengan kenyata sedemikian.
Namun begitu masih ada ‘orang cerdik’ dari bandar yang menggunakan
kenyataan itu untuk ‘menakutkan’ aku. Orang muda. Boleh juga dipanggil golongan
intelek yang baru sahaja lulus dari sebuah universiti awam. Agaknya baru lepas
menerima ‘taklimat’ dari Biro Tatanegara. Bersungguh benar dia memberitahu aku
bahawa sekiranya negara ini terlepas dari tangan BN-UMNO, ‘ orang Melayu
habislah………..’ katanya.
Malas aku nak menjawab ataupun nak memberikan ‘response’ kepada
kenyataanya itu. Bagi aku orang muda sebegini sudah tidak layak berada pada
kurun ini – kurun ke 21 yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini. Aku amat
sedih memikirkan masih ada anak muda yang sebegitu sempit cara berfikirnya. Dan
yang paling menyedihkan aku lagi ialah anak muda ini adalah anak kawan aku
juga. Bapaknya sama-sama dengan aku di University Malaya pada awal 70an dulu.
Sama-sama ‘lepak’ depan ‘Speakers Corner’ mendengar ‘ucapan’ Anwar Ibrahim.
Malangnya si anak tidak sehebat bapa dari segi keupayaan berfikirnya.
Jikalau ditinjau dari segi semangat memperjuangkan orang Melayu
sememangnya hebat, tetapi dari segi berfikiran secara rasional amat jauh
ketinggalannya.
Bagi aku kenyataan, ‘ habislah orang Melayu sekiranya BN-UMNO tewas
dalam PRU 13…..memberikan banyak tafsiran dan makna….
· Menunjukkan orang Melayu
masih lagi lemah, letih dan longlai seperti orang Melayu yang diceritakan oleh
Frank Swetenham pada tahun 1890an apabila beliau menjelaskan mengenai sifat
orang Melayu yang malas, suka bermenung, sukakan hiburan, suka menjaga tepi
kain orang dan lain-lain….
· Menunjukkan orang Melayu
masih memerlukan perlindungan dari pihak kerajaan untuk membolehkan dia bergerak
maju. Seolah-olah sekiranya UMNO-BN tewas maka akan hilanglah ‘tongkat’ sebagai
tempat untuk bergantung. Orang Melayu akan menjadi mundur semundurnya.
· Menunjukkan orang Melayu
tidak mampu untuk bersaing dengan kaum-kaum lain di Malaysia. Orang Melayu
sentiasa melihat yang kaum lain itu ( Cina, India ) jauh lebih hebat dari orang
Melayu sendiri. Lantas orang Melayu merasakan tak perlu bertanding. Mesti kalah
punya…… Kekalkan saja tongkat yang ada dan ‘rileks’….
· Menunjukkan orang Melayu
kini berbeza dengan orang Melayu sebelum merdeka. Walaupun kebanyakan orang
Melayu ketika itu merupakan orang Melayu yang lemah, namun telah muncul juga
orang Melayu yang ‘berani’. Pelajar-pelajar Melayu yang belajar di sekolah-sekolah
Inggeris melalui Special Malay Class adalah antara golongan yang berani dan
cekal. Kumpulan pelajar ini hanya mengambil masa tiga tahun sahaja untuk
mendudukki ‘peperiksaan Entrance Examination’ berbanding dengan pelajar lain
yang mengambil masa enam tahun sebelum memasukki peperiksaan berkenaan. Dan
yang hebatnya ialah ada diantara anak Melayu pada ketika itu yang menduduki
tempat teratas walaupun dalam keadaan sedemikian.
· Menunjukkan orang Melayu
boleh bersaing sekiranya diberikan peluang dan diberikan galakan. Walau apapun
hujjahnya, anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris pada ketika itu adalah
dalam keadaan yang cukup daif berbanding dengan anak-anak kaum lain terutama
anak Cina. Apa tidaknya. Rata-rata anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris
pada ketiak itu datang dari kampung ( yang jauh dipendalaman – tanpa jalan
raya, tanpa tenaga letrik, tanpa air bersih dan berbagai ‘ tanpa’ lagi) dengan
berbagai kekurangan ( yang amat sukar untuk dijelaskan kepada anak-anak kini
tentang makna ‘kesusahan pada waktu itu). Terpaksa bersaing dengan kaum lain
yang tinggal di bandar yang memiliki berbagai kemudahan seperti buku, kelas
tuysen. Namun ramai juga anak Melayu yang berjaya melepasi segala ujian yang
dilalui. Kadang-kadang dengan cemerlang pula.
Jikalau anak Melayu pada zaman penjajahan boleh bersaing dengan
anak-anak kaum lain, maka apakah ‘penyakit’ yang ada dikalangan anak muda
Melayu sekarang yang menyebabkan mereka terlalu takut untuk bersaing.
Seolah-olah merupakan satu phobia dikalangan setengah orang Melayu kini yang
amat takut tentang kehilangan ketuanan Melayu. Yang menyedihkan kita ialah ada
antara orang Melayu yang kehidupannya merempat di kampung-kampung yang masih
takut hilang ketuanan Melayu. Sedihnya aku melihatkan terkebelakangnya
pemikiran setengah bangsaku.
Kini masih ada lagi anak muda yang terpelajar masih ‘menangis
teresak-esak’ mengenangkan apa akan terjadi kepada orang Melayu sekiranya
BN_UMNO kalah dalam PRU 13. Bagi aku bukan masanya lagi orang Melayu merintih, menangis,
mendayu-dayu di bawah pohon kelapa mengenangkan nasib yang ditimpa malang.
Zaman menangisi ‘ Anak-anak bermain api’ sudah tamat masanya.
Keadaan yang ada sekarang ialah sepertimana keadaa yang dihadapi oleh
Kaum Muda untuk menyedarkan orang Melayu pada awal Kurun ke 19. Amat sukar bagi
Kaum Muda untuk memajukan pemikiran orang Melayu pada ketiak itu dek kerana ada
pula tentangan yang dijalankan oleh kaum tua. Pada ketika itu memang Kaum Tua
menggunakan ‘fear paradigm’ dengan menakut-nakutkan orang Melayu. Tetapi Kaum
Muda menakutkan orang Melayu dengan mengatakan orang Melayu akan hancur dan
mundur sekiranya tidak mempunyai pelajaran dan akan terus berada dalam keadaan
kemiskinan. Mereka menggalakkkan orang Melayu pada ketika itu supaya maju berlandaskan
ajaran Islam dan Al-Quran yang sebenarnnya. Disamping itu Kaum Tua juga tidak
kurang juga hebatnya menghalang kegiatan Kaum Muda. Berbagai undang-undang dan
halangan dikenakan oleh pemerintah negeri pulak bagi menghalang kegiatan Kaum
Muda.
Sepatutnya anak muda pada abad ke 21 berfikiran positif dan terbuka dan
bersedia untuk menghadapi apa saja cabaran yang dihadapinya. Janganlah ada lagi
anak muda Melayu yang berfikiran ‘pengecut’, jumud, lemah, longlai sepertimana
yang digambarkan oleh Frank Swettenham dulu.
Melayu kini bukan seperti Melayu Kurun ke 18 seperti yang digambarkan
oleh Abdullah Munshi itu. Melayu Kurun ke 21 bukan juga seperti Melayu yang
digambarkan oleh R.O. Winsted dalam kebanyakan bukunya mengenai orang
Melayu.
Melayu Kurun ke 21 sanggup untuk berdepan dengan siapa sahaja tanpa ada
pertolongan daripada mana-mana pihak. Melayu Kurun ke 21 mampu berdikari dan
mampu menyahut apa juga cabaran.
26 April 2013
No comments:
Post a Comment