DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Sunday, April 21, 2013

JOHOR BAKAL TERSUNGKUR DI TANGAN PR

Berada di kawasan tegar Umno Johor

Oleh : Abdul Shukur Harun_Harakahdaily
Mengikuti perarakan penamaan calon PAS, Salahudin Ayub, untuk kawasan Parlimen Pulai, Johor dari Masjid Abu Bakar, Johor Bharu ke Dewan Jubli Intan, Sabtu lalu, menyaksikan suasana yang sangat luar biasa.


Salahudin bertanding melawan calon BN, Ahmad Jazlan.

Suasana di sekitar Johor Bahru hingga membawa ke Skudai dan Tampoi, malah hingga ke Gelang Patah, Pekan Nenas, berlainan dengan suasana pilihan raya di masa lalu di negeri ini, di mana dulunya bendera dan spanduk BN mendominasi semua kawasan.

Tetapi dalam PRU kali ini, Johor Bahru dan sekitarnya dilimpahi bendera PAS, PKR dan DAP. Kawasan Parlimen Pulai calon PAS bertanding dan di mana-mana orang bercakap secara terbuka mengenai Pakatan Rakyat dan calon dari komponan Pakatan.

Saya tenggelam dalam kibaran bendera dan spanduk PAS dan DAP yang di bawa oleh beribu-ribu penyokong Pakatan Rakyat. Seorang penyokong PAS memberitahu saya, “Dulu nak cari seratus orang penyokong PAS mengarak calonnya pun begitu sukar di Johor Bahru ini, tetapi kali ini, lihatlah, ribuan yang datang.”

Penyokong Pakatan dari DAP berbaju merah begitu bersemangat sekali, beriringan dengan penyokong PAS dan PKR. Salahudin berbaju Melayu berwarna merah, diiringi isterinya dengan warna yang sama, tidak henti-hentinya bersalaman dengan orang ramai.

Ternyata bendera dan sepanduk PAS, DAP dan PKR mewarnai Bandaraya Johor Bahru dan tentunya memberi isyarat permulaan akan berakhirnya dominasi Umno/BN di negeri Johor selama lebih setengah abad.

Orang Melayu di Johor Bahru, terutama di kampung Melayu yang tegar Umno, seperti Skudai, Majidee, Tampoi, Kempas, Air Molek dan lain-lain sudah berani bercakap mengenai PAS, DAP dan PKR, malah ada yang lebih berani mencacakkan bendera PAS di halaman rumah mereka.

Sama meriahnya sambutan orang Johor terhadap perarakan calon PKR, Gen (B), Tan Sri Md Hashim Hussein yang ditentang oleh Shahrir Abd Samad dari BN. Ribuah penyokong Pakatan, termasuk anak muda Melayu dan Cina ikut dalam perarakan itu, menambahkan lagi suasana bendera DAP, PAS dan PKR mendominasi bandaraya Johor Bharu.

“Ini pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara ini,” kata Salim Abd Samad, sorang penduduk Majidee, kawasan pekat Umno, Salim yang menyokong PAS setahu lalu itu menambah, “Kalau tidak, bendera dacing saja yang memenuhi Johor Bahru. Sekarang sudah ada perubahan, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi baru.”

Sementara itu, selesai penamaan calon di Dewan Jubli Intan, Salahudin bersama penyokong pergi pula ke Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengan untuk menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding di Dun Nusa Jaya, pusat pentadbiraan kerajaan Johor. Lawannya Dr Zaini Abu Bakar.

Di sana Salahudin bertemu Lim Kit Siang (Calon DAP di Parlimen Gelang Patah) di tempat penamaan calon. Lawannya, calon BN, Abd Ghani Othman. Ribuan lagi penyokong Pakatan berhimpun di sana. Sekali lagi kelihatan bendera dan sepanduk PAS, DAP dan PKR mendominasi kawasan penamaan calon itu, sementara bendera dan spandok BN kelihatan ‘malu-malu’ muncul di sana sini.

Yang menarik ialah, hadirin kaum Cina yang bersemangat. Ramai yang memakai topi berbentuk maskot DAP burung kenyalang bernama t-shirt ‘Ubah’. Ternyata, lima tahun selepas Pilihan Raya 2008, perubahan jelas sudah dirasakan di Johor.

Menurut penganalisis, pelbagai isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sepanjang beberapa tahun lalu sudah boleh diterima oleh golongan muda dengan melihat kepada reaksi ribuan yang berhimpun di tempat letak kereta terbuka Sutera Mall. Mereka mendengar Kit Siang, pengerusi DAP negeri Dr Boo Chang Hau dan naib presiden PAS yang juga calon Dun Nusajaya, Salahuddin Ayub ketika keduanya berucap di ceramah umum di situ dua hari sebelum hari penamaan calon.

Seorang relawan wanita muda di salah satu meja di bawah khemah putih di sana, Jenni Sin berkata, ramai kaum Cina Johor bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari di Tambak Johor bukan kerana terpikat kepada republik itu, tetapi kerana boleh mendapat gaji yang lebih baik.

Pengundi Cina di Johor melihat Pakatan Rakyat mampu menyediakan kehidupan yang selesa bagi rakyat pelbagai bangsa di Johor.

Menurut penganalisis, Ibrahim Sufian dari Merdeka Center langkah DAP di Johor telah membangkitkan masyarakat Cina.

“Kit Siang bertanding di Gelang Patah dan mengetuai kempen DAP di Johor telah menyeronokkan komuniti Cina dan menunjukkan mereka serius untuk berkembang dan mendekati mereka,” kata Ibrahim.

“Kehadiran Kit Siang dalam meningkatkan sokongan Cina untuk Pakatan dan telah membantu merapatkan jurang untuk parti-parti pembangkang bagi mencapai matlamat mereka,” tambah beliau.

Ibrahim menambah Melayu di Johor tiada masalah bergaul dengan masyarakat Cina, akan tetapi sentimen perkauman telah dieksploitasi oleh mereka yang berkuasa untuk menimbulkan ketakutan.

Di kawasan Palimen Tanjung Piai, Johor, kawasan paling selatan Benua Asia, di mana terletak kampung saya dan juga kampung Salahudin Ayub, keadaan juga sangat menarik, di mana calon Parlimen dari DAP ialah seorang Melayu, Mahdzir Ibarhim, manakala calon BN, Wee Jeck Seng dari MCA.

Pengundi Melayu di situ 52.11 peratus, Cina 46. 50 peratus, India 1.7 peratus dan lain-lain 0.32 peratus. Dua Dun di kawasan parlimen tersebut – Pekan Nenas dan Kukup, di mana adik Salahuddin Ayub, Ghazaly Ayub calon PAS di Dun Kukup menentang calon BN, Suhaimi Saleh. Sementara di Pekan Nenas, calon DAP, Yeo Tung Siong menentang calon BN, Wong You Fong.

Inilah sebanyak sedikit gambaran awal, suasana PRU di beberapa kawasan di Johor, yang dulunya adalah kawasan tegar Umno/BN. Siapa tahu hati orang Johor boleh berubah dengan kehendak Allah.

No comments: