DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Saturday, March 23, 2013

MENARIK! ASPAN ALIAS : SIAPA YANG BERHENTI DULU, NAJIB ATAU TAIB?



Najib sedang berhadapan dengan satu lagi tekanan, iaitu berhubung dengan isu rasuah dan penyalah gunaan kuasa oleh Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak. Pembenterasan rasuah merupakan salah satu dari NKRA yang di laung-laungkan oleh pentadbiran Najib sejak beliau mengambil alih jawatan dari Abdullah Badawi. Video Global witness yang tersebar luas tidak boleh menyorokkan apa yang sedang berlaku dalam pentadbiran Taib Mahmud, dan itu pun persepsi lama rakyat terhadap Ketua Menteri tertua dan terlama sekali mentadbir sesebuah kerajaan negeri itu.


Rakyat sedang menunggui tarikh pilihanraya untuk membuat penentuan dan isu ini sudah tentu menjadi isu yang boleh mempengaruhi sikap pengundi dalam pilihanraya yang akan datang tidak lama lagi ini. Sejak akhir-akhir ini BN sedng menghadapi terlalu banyak isu yang bakal membawa malapetaka kepada kerajaan yang diterajui BN ini.

Dalam pilihanraya negeri tahun lepas Najib telah berjanji akan menyediakan pelan persaraan Taib Mahmud tetapi sekarang janji-janji beliau itu tetap tinggal janji dan Taib masih melakukan apa yang sangat di benci dan di isukan oleh rakyat sekian lama. Apa yang berlaku yang terlihat di dalam video Global Witness itu adalah satu perkara yang tidak mengejutkan sesiapa. Video itu hanyalah menambah keyakinan dan bukti yang tuduhan rakyat terhadap BN sebagai parti yang terlalu sarat dengan rasuah dan salah guna kuasa itu seratus peratus benar.

Di mana-mana Ketua Kerajaan demokrasi di seluruh dunia mengambil etika dan nilai demokrasi itu sebagai elemen terbesar dalam sesuatu pentadbiran kerajaan. Jika tahap demokrasi sebuah negara itu tinggi pemimpin seperti Taib ini sewajarnya berhenti secara sukarela dan jika tidak berhenti, maka kuasa yang lebih besar wajar memaksa Taib untuk berundur sehingga penyiasatan ke atas beliau selesai.

Sesungguhnya Taib sudah tidak wajar lagi untuk menjadi Ketua Menteri lebih lama dan beliau sepatutnya mempunyai maruah dan berhenti sahaja dari jawatan beliau selaku Ketua Menteri Sarawak. Jika Najib tidak mampu untuk meminta Taib berhenti dan bersara, maka Najib pula lah yang terpaksa membuktikan kesungguhan beliau dalam isu memerangi rasuah ini..

Jika Taib masih berada di tampuk kuasa dan tidak mahu berundur maka Najib terpaksa mengambil ‘accountability’ dan beliau sendiri wajar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Ini bukannya isu kecil dan Najib perlu menentukan tindakan terhadap Taib dilaksanakan. Isu Taib ini sudah terlalu banyak dan tidak boleh di bendung lagi. Kerajaan negara ini tidak boleh di tadbir seperti mentadbir persatuan sepak takraw Pekan, Pahang.

Negara ini negara berdaulat dan pencerobohan terhadap khazanah negara dan rakyat itu adalah satu pembelotan dan pengkhianatan terhadap negara dan kita boleh takrifkan sebagai memerangi Yang Di Pertuan Agong. Ia lebih bahaya dari pengganas yang telah memasuki persempadanan kita di Lahat Datu dan Semporna lima minggu yang lepas. Pencerobohan pengganas asing boleh di selesaikan dengan tindakan peperangan dengan pasukan keselamatan kita, tetapi dalam isu rasuah ia memerlukan ‘political will’ yang sungguh-sungguh untuk  menyelesaikannya.

Seperti yang sudah lama di rasai umum, keadaan dan perlakuan seperti Taib ini sudah menjadi budaya pemerintah bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di negeri-negeri lain dalam Persekutuan ini. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah di ‘institutionalized’ kan dan membudayakan rasuah ini sudah tidak menjadi kesalahan lagi.

Inilah saat bagi kita melihat setakat mana kemampuan Najib sebagai pemimpin yang memegang amanah rakyat. Najib mempunyai satu piihan sahaja, iaitu untuk melakukan sesuatu bagi Taib meletakkan jawatan dalam kadar yang serta merta. Seandainya Najib tidak berani melakukannya maka Najib pula lah yang terpaksa meletakkan jawatan serta merta. Najib mesti menerima ‘accountability’ kepimpinan sebuah negara demokrasi ini.

Jika kita mendengar rakyat ramai bercakap, mereka tidak yakin boleh memaksa atau memberitahu Taib yang beliau (Taib) tidak boleh lagi mengetuai pilihanraya umum Sarawak nanti dan beliau (Taib) wajar menyelesaikan isu moral beliau yang sangat besar ini serta merta. Rakyat sudah tidak tertahan lagi melihat pimpinan BN terlibat dalam isu rasuah yang tidak kunjung padam ini.

Tetapi pandangan dan persepsi rakyat terhadap kekurang-mampuan Najib menyelesaikan isu ini mungkin banyak kebenarannya. Isu Najib seperti pimpinan Sarawak itu juga banyak yang sedang dipersoalkan oleh rakyat. Bagaimana Najib hendak memberitahu Taib untuk berhenti kerana isu rasuah sedangkan Najib sendiri sedang berperang menghadapi isu yang sama terhadap beliau.

Najib juga di kaitkan dengan pembelian Scorpene yang sangat besar isunya. Najib sendiri mempunyai rangkaian masalah sendiri. Takut-takut jika Najib menasihati Taib supaya berhenti, Taib akan memberikan ‘middle finger’ beliau terhadap Najib. Bukan mudah untuk meminta Najib menasihati Taib untuk berhenti. Itu sebabnya saya selalu menulis dalam blog ini yang hanya rakyat sahaja yang mampu untuk memberhentikan semua pimpinan BN yang sama seperti Taib dan Najib itu.

Jika Najib mengundurkan diri siapa yang agak ‘viable’ untuk menggantikan beliau kerana jika di ikutkan cara pengambil-alihan jawatan Perdana Menteri yang bersara ia selalunya di ambil alih oleh Timbalannya, yang sekarang iaitu Muhyiddin Yassin. Jika Muhyiddin Yassin di kehendaki mengambil alih kepimpinan Najib, Muhyiddin akan melompat kegirangan kerana boleh menjadi Perdana Menteri.

Tetapi pula Muhyiddin adalah pemimpin yang datang dari acuan yang sama, maka beliau tidak akan ada perbezaan dan kelainan dengan Najib dan masalah yang sama akan berlarutan. Stigma buruk terhadap semua kepimpinan UMNO dan BN itu adalah menyeluruh dan hanya segelintiran pemimpin sahaja yang terlepas dari dihinggapi oleh stigma yang sama itu.

Tiada siapa dalam kabinet Persekutuan sekarang yang tidak sama dengan Najib dan Muhyiddin itu lebih-lebih lagi dengan Taib Mahmud. .BN dan rasuah 'berpisah tiada', saling menyandar di antara satu dengan lain. Ia ibarat aur dengan tebing. Tiada BN kurang rasuah, tiada rasuah BN tidak akan kekal..

Sekarang ini kita perlu memerhatikan apa yang bakal berlaku dan bagaimana pucuk pimpinan negara menyelesaikan masalah yang gila ini. Kita tunggu…

No comments: