Oleh Abdul Rahman Hashim
FENOMENA PSY GANGNAM STYLE UNTUK
BN PULAU PINANG
|
Saya pun hairan macam mana lagu
'Oppa Gangnam Style' nyanyian PSY atau nama asalnya 'Park Jae-Sang' dari
Korea Selatan ini tiba-tiba menjadi suatu fenomena dalam dunia entertainment
dewasa ini. Kalau dahulu nama peninju sensasi dunia Muhamad Ali juga merupakan
fenomena dalam sukan 'boxing', kini PSY@Gangnam Style adalah suatu jenama yang
menjadi kegilaan bukan sahaja kepada giolongan muda, malah cendekiawan politik
negara kita juga turut terpalit untuk merakyatkan 'Gangnam Style' kot-kot boleh
memukau rakyat akar umbi supaya boleh menyokong BN khususnya di Pulau Pinang
menjelang PRU13.
Peninju dunia Muhamad Ali pernah
dibawa ke Kuala Lumpur oleh Pemuda UMNO pada 1 Julai 1975 untuk mengadakan
perlawanan tinjunya dengan Joe Bugner. Hari ini pula Pemuda Gerakan Pulau
Pinang yang disokong oleh kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan telah
sanggup membawa Park Jae-Sang @ PSY untuk membuat persembahan hanya lebih
kurang 4 minit sahaja sempena sambutan Tahun Baru Cina di Padang Kolej Han
Chiang di Pulau Pinang pada 11 Februari lepas.
Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun
Razak, isteri dan anak-anaknya juga turut menyaksikan 'Gangnam Style'
bersama-sama 80,000 ribu rakyat Pulau Pinang, namun saya agak kecewa dan terasa
malu apabila rakyat Pulau Pinang yang hadir pada hari tersebut tidak
menghormati Najib dengan berkata 'NO' apabila Najib bertanya 'Are u
Ready For BN' sebanyak tiga kali.
Jawapan YES untuk PSY menggambarkan
mereka yang hadir hanya untuk berhibur dengan penyanyi fenomena Oppa Gangnam
Style itu, tetapi sorakan NO telah dijawab di hadapan Perdana Menteri sebagai
penolakan spontan mereka kepada BN.
Parti Gerakan atau pun MCA
seharusnya membuat raptai terlebih awal dengan menampilkan kumpulan soraknya
(Cheers Group) yang di tempatkan di hadapan pentas utama, supaya suara YES
kepada BN lebih bergema daripada suara NO yang menolak BN.
Najib pun satu hal, sepatutnya
apabila kedengaran suara NO for BN...janganlah diulang soalan yang sama
sampai tiga kali. Kalau soalan pertama 'Are u Ready For BN' dijawab NO,
sepatutnya ajukanlah soalan lain ataupun mengajak rakyat supaya bersedia untuk
menghadapi PRU13, kerana BN sentiasa yakin bahawa rakyat akan menentukan
pilihan kerajaan yang terbaik untuk masa depan 1 Malaysia.
PSY pun sepatutnya menghargailah
jemputan BN Pulau Pinang dan beri muka lah sikit pada PM. Kenapa susah sangat
nak naik ke pentas bersama-sama Perdana Menteri Malaysia untuk menggaul mee Yee
Sang yang telah sedia terhidang? Oh, mungkin PSY merasakan bayaran pakej
bayaran RM2.3 juta itu hanya untuk menyanyi satu lagu@4 minit, dan ia tidak
termasuk menggaul mee bersama Perdana Menteri. Mungkin kalau dia akan menggaul
mee bersama Perdana Menteri, maka ada caj tambahan RM1 juta kot?
Pemuda Gerakan Pulau Pinang
sepatutnya dari awal memberitahu PSY bahawa bayaran RM2.3 juta itu bukan sahaja
menyanyi satu lagu 'Oppa Gangnam Style' tetapi ia juga termasuk 'Menggaul Mee
Yee Sang' bersama Dato' Sri Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor serta VIP's yang
lainnya.
PM NAJIB TERNANTI-NANTI PSY UNTUK
GAUL MEE BERSAMANYA
|
Pada saya keengganannya untuk
menggaul mee Yee Sang itu merupakan aksi 'kebiadapannya' bukan sahaja kepada
Perdana Menteri Malaysia, bahkan ia menggambarkan ketidak siumannya terhadap
perayaan Tahun Baru Cina yang sedang diraikan oleh BN Pulau Pinang. Tolong
jangan jemput lagi 'GANGNAM STYLE' ini! Kalau boleh gamkan sahaja lagu ini
daripada siaran radio milik kerajaan BN, kerana terbukti ia memalukan BN di
negeri Pulau Muitara itu.
Saya percaya jika perlakuan yang
sama berlaku kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang menganjurkan majlis ini di
hadapan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, pasti ia dipolemikkan bahkan akan
menjadi sorakan pula oleh puak-puak UMNO/BN. Bukan itu sahaja, mungkin Utusan Malaysia,
Berita Harian, TV3 dan yang sekutu dengannya akan tidak henti-henti siang dan
malam hingga ke dini hari mensensasikan tindakan PSY yang telah menghina
kerajaan Pakatan Rakyat. PSY tentunya akan diheret dalam kancah perbalahan
politik. Sekarang ini pun PSY dilihat telah diheret oleh Barisan Nasional,
namun insiden PSY di Pulau Pinang ini telah disensasikan oleh TV Singapura
untuk edise seluruh dunia yag memalukan Perdana Menteri.
Alasan kononnya PSY diancam untuk
dibunuh jika menggaul mee bersama Najib di atas pentas adalah satu andaian yang
tidak bijak. Persoalannya benarkah negara kita tidak selamat untuknya. Kalau ia
benar tidak selamat, mengapa menggaul mee sahaja tak selamat, bagaimana pula
dengan persembahannya di pentas yang sama? Nampak sangat ia merupakan alasan
cover line seolah-olah orang yang hendak mengancam keselamatannya tidak jadi
berbuat sedemikian setelah terhibur dengan persembahan GANGNAM STYLE.
Apa pun tahniah kepada pihak polis
kerana berjaya mengawal keselamatan PSY daripada terus menerima ancaman
tersebut. PSY tak diapa-apakan malah beliau boleh berbangga kerana Malaysia
adalah negara yang paling selamat. PSY dikhabarkan telah balik ke negaranya
Korea Selatan pada malam itu juga (Kira-kira jam 2:00 pagi) telah berada di
Lapangan Terbang Pulau Pinang dengan kawalan ketat tanpa diketahui oleh orang
awam. Saya tak menjangkakan PSY telah meminta maaf kepada BN atau kepada PM di
atas ketidaksiumannya itu.
Demikianlah satira politik PSY@GANGNAM
STYLE untuk BN STYLE di Malaysia dalam pasca PRU13. Semoga BN dapat
membuat pukulan TKO bersama Gangnam Style kepada DAP yang sedang memerintah
Pulau Pinang? Bukan sahaja Pulau Pinang, malah TV3 setiap malam telah
mensyahdukan bahawa BN kononnya boleh menyapu bersih termasuk Kelantan?
Daripada Gangnam Style lebih baik
saya tonton filem Lagenda P. Ramlee '6 Jahanam' yang berjaya mengesan dan
menamatkan riwayat musuhnya.
No comments:
Post a Comment