Oleh: Ahmad
Lutfi Othman
TIDAK sampai sebulan lagi kita akan
menyambut ulangtahun kelima tsunami politik Mac 2008. Sejak merdeka rakyat
negara ini tidak berkesempatan merasai tempoh Parlimen yang begitu lama.
Lim Kit Siang menyifatkan Najib
Razak mencipta rekod kerana menjadi Perdana Menteri paling lama tanpa mandat
yang diperolehinya sendiri, lebih lama daripada empat PM sebelumnya, sebelum
mereka mendapatkan mandat sendiri selepas mengambil alih tampuk pemerintahan.
Tiba-tiba saya terkenang tajuk muka
depan Harakah keluaran pertama tahun baru, “2008 TAHUN TUKAR KERAJAAN”.
Saya bukannya peramal politik, dan
rasanya tiada siapa menduga akan berlaku peralihan kuasa di peringkat
persekutuan, memandangkan rekod Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihan raya
sebelumnya, 2004, begitu menakjubkan.
BN meraih 64 peratus undi popular
dan menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen. Saya menerima teguran, termasuk
dari pimpinan parti, kerana memilih tajuk “seberani” itu. Ada yang
menyifatkannya sebagai kesilapan strategi kerana boleh mengundang rasa cuak
pengundi untuk memilih PAS. “Tahap ini kita perlu pamerkan wibawa sebagai
pembangkang yang kuat dan berkesan dulu,” kata seorang darinya.
Minggu lalu, saya cuba mendapatkan
pandangan rakan-rakan terhadap begitu banyak kaji selidik dan ramalan keputusan
PRU13.
Sebahagian mereka menjangka laluan
Pakatan Rakyat ke Putrajaya semakin cerah walaupun pemerhati bebas melihat
cabaran hampir seimbang, dengan jumlah “pengundi atas pagar” bertambah ramai.
“Aku malas nak fikir siapa pemenang,
tapi aku yakin Umno-BN tiada masa depan lagi, sudah tak boleh diubah,” ujar
seorang editor kanan akhbar. “Lebih senang membayangkan bagaimana Malaysia di
bawah Pakatan nanti, terutama nasib media arus perdana.”
Saya juga sempat berbicara dengan
Prof Dr Redzuan Othman, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya,
UMCEDEL, yang popular dengan servei isu dan kecenderungan pengundi menjelang
PRU13 (kajian lapangan pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013).
Beliau menarik perhatian saya
terhadap kecenderungan mengundi wanita, yang dilihat lebih memihak BN,
khususnya membabitkan wanita Melayu dan yang berpendidikan SPM ke bawah. Bukan
saja program transformasi Najib mudah memikat hati mereka, serangan tohmahan
negatif kepada pembangkang juga dipercayai.
Sokongan masyarakat India terhadap
Pakatan turut dikatakan merosot dan ia boleh menggugat kemenangan di negeri
tertentu. “Satu lagi isu besar ialah sumber maklumat, masih ramai bergantung
kepada Utusan Malaysia dan TV3,” katanya. Segera saya teringat kekhuatiran
bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir, yang kerap berpesan agar
keberkesanan penyebaran informasi harus dipertingkatkan.
Mengulas perkembangan sama, seorang
profesor politik berkata: “Politik cukup dinamik sifatnya.
Kajian-kajian tersebut mungkin
terpakai waktu itu, tapi ia akan terus berubah. Setakat ini, trend menunjukkan
semakin hari perubahan itu menguntungkan Pakatan. Apa pun, kalau esok PRU13,
survei hari ini pun boleh berubah lagi.”
Bagi saya, peningkatan jumlah
pengundi yang “belum membuat keputusan”, seperti didedahkan dalam banyak kaji
selidik, merupakan cabaran terbesar agar gerakerja yang tepat dan bersesuaian
dilipatgandakan.
Ia juga satu petanda bahawa
kredibiliti calon akan diberi perhatian besar oleh pemilih, khususnya generasi
muda atau yang baru pertama kali mengundi.
Selasa lalu, semasa sarapan pagi di
sebuah restoran mamak di Bandar Baru Ampang, seorang penyokong tegar PAS
menekankan: “Kerja jahat Umno bersama SPR untuk menafikan kemenangan Pakatan
hanya satu peringatan supaya kita lebih tekun dan tak ambil mudah. Kita harus
berhati-hati, operasi mereka mungkin tidak seperti yang kita jangkakan.”
Rakannya, bekas guru memandu,
mencelah: “Kita mesti menang, bang. Teruk sangat Umno ini. Punah negara kalau
dibiarkan. Macam saya, lima anak bersekolah, susah ....”
Saya segera membayangkan bagaimana
jutaan rakyat kini menaruh harapan tinggi kepada Pakatan, bukan saja untuk
menang PRU13 tetapi lebih penting lagi, dapat memenuhi impian mereka,
memperbaiki kualiti kehidupan dan menyelesaikan masalah yang bertimbun.
“Calon kita mesti disaring
betul-betul. Dugaan bila menang nanti hebat dan dahsyat. Jangan jadi macam
wakil rakyat Umno. Rakyat bukan hanya menyumpah seranah kita tetapi mereka akan
bangkit berontak kalau dikhianati.”
Tersentak saya mendengar luahan hati
penyokong akar umbi itu.
Dalam pada itu, pesanan Naib
Presiden PAS, Husam Musa, kepada lebih 1,000 petugas pilihan raya seluruh
negara dari kawasan-kawasan yang bakal ditandingi PAS, perlu dilaksanakan.
Katanya, PAS berada dalam tempoh
berpantang sebelum PRU13 dan dalam tempoh kritikal itu. pemimpin dan ahli-ahli
tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.
“Kalau orang perempuan berpantang
selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah
harapan perubahan rakyat Malaysia. Jadi sewaktu berpantang ini, kita tidak
boleh melakukan satu pun kesalahan,” katanya.
Ya, banyak pihak mengakui,
kemenangan bakal diraih oleh parti atau calon yang paling minimum melakukan
kesilapan. Sebarang kesalahan kecil, termasuk di peringkat paling bawah, boleh
dimanipulasi khususnya oleh media yang menjadi perkakas BN.
Bukankah Nazri Aziz, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri sendiri, dalam pengakuannya kepada European Muslim
Election Comittee, 5 Februari lalu, bahawa media Malaysia menjadi “alat
kerajaan” (sebenarnya parti pemerintah) terutama kempen semasa pilihan raya?
Patutlah penarafan media dalam
kajian persepsi Reporters Without Border bagi tahun 2011/2012 meletakkan
Malaysia di kedudukan ke-122 daripada 179 negara, setaraf dengan Algeria dan
Tajikistan, tetapi lebih buruk daripada Zimbabwe, Oman, Fiji dan Kemboja.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST,
A Kadir Jasin menulis: “Penarafan Malaysia tidak menjadi bertambah baik kerana
sejak cakap-cakap PRU13 timbul, media massa arus perdana kembali membuat
laporan berat sebelah menyokong kerajaan dan memburuk- burukkan pembangkang.”
Kalau pada awal 2008, tiada siapa
berani menjangka pembangkang boleh menang besar, kini selepas lima tahun, tajuk
seperti yang saya pilih itu bukan kejutan lagi. Dan saya pun tidak mahu
mendengar berita yang mengejutkan selepas PRU13 nanti. Biarlah apa yang
dijangka menjadi kenyataan ...
No comments:
Post a Comment