Simpang Pulai - “Saya sempat
bergayut di palang berhampiran kerusi sebelum melihat penumpang lain terhumban
dan terhimpit ke sebelah kiri bas,” ujar Urusetia Persatuan Orang Asli
Kelantan, Jabbar Salleh, 53.
Jabbar adalah seorang daripada 36 Orang Asli yang menaiki bas persiaran dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dekat sini.
Bas tersebut adalah salah satu daripada 25 bas yang membawa kira-kira 1,000 Orang Asli dari Kelantan bagi menghadiri Program Himpunan Perdana Warga Orang Asli Bersama Perdana Menteri dan Pelancaran Program Mengubah Destini Orang Asli di Padang A, petang semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, bas yang dinaiki kumpulan Orang Asli terbabit dipercayai terbabas lalu melanggar bahagian kanan sebuah lagi bas yang turut mengikuti konvoi tersebut sebelum masuk ke dalam parit berhampiran.
Kejadian yang berlaku di Kilometer 15, Cameron Highlands-Simpang Pulai berhampiran Pos Slim itu turut mengakibatkan seorang maut manakala lima lagi cedera parah manakala 10 yang lain hanya mendapat rawatan pesakit luar dan mereka semua dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Jabbar berkata, bas tersebut dalam keadaan tidak stabil ketika melalui selekoh dan dipercayai mengalami kerosakan gear ketika menuruni bukit sebelum melanggar bas di hadapan sehingga mengakibatkan bas terbabas masuk ke dalam longkang.
“Selepas bas terhumban masuk ke dalam parit, kesemua penumpang yang duduk di sebelah kanan terjatuh ke sebelah kiri sehingga mengakibatkan ramai daripada penumpang cedera akibat kejadian itu.
“Saya dan beberapa penumpang keluar mengikut pintu pemandu bas manakala selebihnya mengikut pintu belakang,” katanya.
Seorang lagi penumpang bas yang terselamat, Kemboh Dollah, 22, berkata, dia yang duduk bersama kakaknya di barisan ketiga belakang tempat duduk pemandu hanya mendengar jeritan penumpang lain sebelum bas terbabas memasuki longkang di sebelah kiri jalan.
“Kami berdua terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa hanya berharap sesuatu yang buruk tidak berlaku,” katanya yang serik untuk menaiki bas selepas terbabit dalam kemalangan itu.
Bergesel dengan bas lain
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kemalangan tersebut berlaku apabila bas tersebut bergesel dengan bas persiaran yang lain sebelum dihimpit ke tepi sehingga mengakibatkan ia masuk ke dalam longkang berhampiran.
Menurutnya, bas yang bertolak dari Pos Hendrop, Gua Musang itu dalam perjalanan ke UiTM Seri Iskandar untuk menghadiri program bersama perdana menteri.
“Bagaimanapun, setibanya mereka di Kilometer 15 Cameron Highlands-Simpang Pulai bas tersebut mengalami kemalangan mengakibatkan 36 penumpang bas terhimpit ke sebelah kiri bas.
“Polis, bomba dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) bekerjasama membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Akibat kemalangan itu, seorang maut setengah jam selepas mendapat rawatan di hospital, lima daripadanya separuh kritikal manakala 18 lagi mendapat rawatan pesakit luar, “ katanya.
Katanya, mangsa maut dikenali sebagai Mali Along, 21, pelajar Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP), Kuantan.
“Mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan dalaman dan kes tersebut disiasat di bawah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Datuk Shalimin Ahmad Shaffie berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan membantu menguruskan jenazah mangsa serta membantu mangsa lain yang cedera dalam kemalangan itu.
PM lawat mangsa nahas
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut meluangkan masa selama 15 minit melawat mangsa di Wad Kecemasan HRPB. -SH
No comments:
Post a Comment