Oleh: SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
Tarikh: January 20, 2013
Tarikh: January 20, 2013
SHAH
ALAM - Hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya
(Umcedel) menunjukkan mustahil untuk Barisan Nasional (BN) meraih majoriti
kerusi dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berdasarkan rekod
pilihan raya sebelum ini dan perkembangan semasa.
Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan mengekalkan status quo.
Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan mengekalkan status quo.
"Dalam pilihan raya lalu di Semenanjung BN hanya dapat 47 peratus undi, Pakatan Rakyat 49 peratus. Di seluruh Malaysia, BN hanya dapat 50.2 peratus. (Tun) Abdullah Ahmad Badawi ketika memasuki pilihan raya, popularitinya 70 peratus lebih. Najib sekarang ini popular sekitar 58 peratus.
"Maknanya mustahil Najib akan dapat lebih daripada Pak Lah. Maksudnya pilihan raya akan datang status quo.
"Kecuali ada perkara luar biasa yang kita tak nampak berlaku seperti pengundi hantu yang kami pengkaji ini pun tak boleh nak kira," katanya kepada Sinar Harian Online.
Hal ini ditambah pula dengan fakta bahawa Najib satu-satunya Perdana Menteri yang turun ke gelanggang pilihan raya tanpa berlakunya persempadanan semula.
"Disebabkan persempadanan semula itu Umno mendapat majoriti kerusi. Bukan undi. Buktinya Abdullah Badawi popular 64 peratus tetapi kerusi 90 peratus (pada 2004). Tetapi Najib adalah Perdana Menteri pertama yang memasuki pilihan raya tanpa persempadanan (semula bahagian pilihan raya)," ujar Mohammad Redzuan.
Lantaran itu katanya, apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN dikira tewas jika gagal memperoleh kemenangan dua pertiga sepertimana 2008, ada kebenarannya.
Ujar Mahathir, walaupun BN masih menang, namun kemenangan tersebut disifatkan "kosong" kerana sebuah kerajaan yang berwibawa memerlukan kemenangan majoriti besar kerusi Dewan Rakyat.
"Tradisi yang berlaku dalam Umno, kalau Perdana Menteri gagal dapat dua pertiga kena letak jawatan, itu yang berlaku pada Tunku, pada Tun Abdullah dan perkara sama juga akan berlaku kepada Najib jika gagal mendapat dua pertiga.
"Sejak merdeka, Umno tidak pernah mendapat undi popular dua pertiga. Tidak pernah. Apa yang Umno dapat? Umno hanya dapat majoriti kerusi dua pertiga. Itu dua perkara yang berbeza," jelas Mohammad Redzuan.
Dalam hasil kajiannya yang agak kritikal terhadap kerajaan ini, Mohammad Redzuan berkata, hakikatnya jurang antara BN dan Pakatan Rakyat semakan dekat.
"Kali ini kalau yang keluar mengundi lebih 82 peratus, maknanya semua ramalan akan salah. Katakanlah keluar mengundi 90 peratus, ada yang tidak kena. Itulah yang menyebabkan orang turun beramai-ramai pada 12 Januari lalu. Bagi parti pembangkang, pilihan raya ini buat penat sahaja," katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula memberitahu, hasil kajian firmanya menunjukkan agak sukar untuk BN memperoleh majoriti dua pertiga berdasarkan perkembangan mutakhir.
"Kita kira macam mana pun agak sukarlah hendak dapat. Melainkan BN ini ia boleh capai sokongan anak muda sebabnya bila maklumat itu meluas, semua orang dapat. Apa yang positif memang orang sokong, tetapi yang negatif itu keluar juga.
"Sentimennya hampir 50-50 yang menyatakan negara ini dalam keadaan yang baik atau dalam keadaan tak baik. Ia separuh-separuh," ujar beliau.
Sependapat dengan penganalisis politik veteran, Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, Ibrahim berkata, pengundi atas pagar yang terdiri daripada pengundi muda ini adalah kelompok yang harus ditawan oleh BN jika mahu kekal di Putrajaya.
"Zaman sudah berubah. Tidak ada satu pihak yang dominan yang boleh mempengaruhi golongan muda akan datang dan pada kali ini, golongan muda yang akan tentukan kalah menang," kata Ibrahim.
Beliau juga berpandangan era di mana parti-parti politik boleh menang besar dalam sesebuah pilihan raya sudah berlalu kerana wujudnya pelbagai aliran politik masa kini.
"Zaman-zaman seperti itu saya rasa sudah tidak berlaku lagi di negara yang amalan demokratiknya yang semakin kukuh.
"Ada orang lihat perkara ini sebagai perpecahan tetapi saya melihat perkara ini lebih kepada percambahan dan pertambahan banyak bentuk pendapat dan idea-idea baru serta jalan penyelesaian yang baru," katanya.
Sumber : SH
No comments:
Post a Comment