Oleh : Aspan Alias
Sungai Golok akan di dalamkan
jika BN memerintah negeri Kelantan.
Itulah janji Muhyiddin Yassin kepada Kelantan dalam siri lawatan beliau ke
pantai Timur Semenanjung yang di landa banjir sejak lima hari yang lalu. Kalau
begitulah keadaannya Sungai Golok tidak akan di dalamkan selepas pilihanraya
yang akan datang ini.
Bagaimana pula janji-janji beliau
bagi penduduk Kemaman yang juga tenggelam oleh kerana banjir ini. Di Kemaman
air banjir kerana air laut begitu tinggi dan tidak dapat mengalirkan air sungai
di Kemaman dan itu lah yang menyebabkan Kemaman di tenggelami air bah.
Kita berharap Muhyiddin akan
berjanji kepada rakyat di Kemaman yang kerajaan BN akan mendalamkan Laut Cina
Selatan bagi air sungai di Kemaman itu mengalir dengan cepat ke laut. Tidak
tahu pulak jika Muhyiddin boleh mendalamkan Laut Cina Selatan sehingga ke Sabah
dan Sarawak untuk mengelak banjir dan air bah berlaku di negeri-negeri
tersebut.
Dalam keadaan rakyat menghadapi
banjir pun, Muhyiddin bermain politik dan janji beliau untuk mendalamkan Sungai
Golok jika BN memerintah Kelantan melambangkan kepada kita mentaliti pemimpin
kedua tertinggi negara itu berfikir dan bagaimana beliau memberikan persepsi
terhadap demokrasi. Tidak ada kerja lain selain dari kerja politik walaupun
rakyat sedang menghadapi kesusahan kerana banjir itu.
Di Britain sekarang pun banjir juga
termasuk di Wales tetapi tidak pula Perdana Menterinya David Cameron atau
Timbalannya, Nick Clegg meminta rakyat untuk mengundi kerajaan campuran
Conservative dan Liberal Demokrat itu kerana kerajaan campuran iu juga telah
membantu rakyat di England dan Wales yang sedang mengalami banjir sekarang ini.
Mereka tidak melukah di tempat yang genting seperti yang dilakukan oleh Muhyiddin
terhadap rakyat Kelantan dalam menghadapi banjir besar ini.
Itulah sebabnya saya serta ramai
yang lain berharap PAS serta rakan-rakan dalam PR akan sampai ke Putrajaya dan
mentadbir kerajaan Persekutuan dengan adil dan saksama. Jika PAS memerintah di
Putrajaya kita tahu PAS akan lakukan apa yang sepatutnya untuk memperbaiki
keadaan tempat dan negeri yang sering dilanda banjir itu tanpa mengira
‘political inclination’ rakyat.
Jika PAS dan Pakatan mentadbir
Putrajaya dan di takdirkan pula Kelantan di tadbir oleh BN, kerajaan yang di
terajui PAS melalui Pakatan Rakyat tidak akan bersikap seperti yang di
tunjukkan oleh Muhyiddin yang tidak mempunyai ‘magnanimity’ sebagai pemimpin
Persekutuan itu. Kerajaan bertanggungjawab terhadap semua rakyat tanpa mengira
fahaman politik mereka.
Pakatan Rakyat terutamanya PAS wajar
memberikan perlindungan dan mentadbir kerajaan rakyat ini seadil yang mungkin.
Biarlah perbezaan pendapat dan serang menyerang ini berlaku semasa pilihanraya
sahaja untuk masing-masing pihak berkempen dan berusaha mendapatkan sokongan.
Pendeknya perbezaan hanya semasa proses untuk memilih kerajaan sahaja. Untuk
menjadi ‘magnanimous’ ini jika kita harapkan UMNO atau BN untuk melaksanakannya
adalah ‘impossible’. Maka PAS dan PR sahajalah yang kita harapkan untuk tidak
mempolitikkan isu banjir ini jika di izin Tuhan untuk mendapat mandat rakyat
nanti.
UMNO sememangnya begitu. Mereka
(UMNO) beranggapan yang berhak untuk menang hanyalah BN dan pembangkang
layaknya hanya menjadi pembangkang terus terusan. Tetapi Muhyiddin terlalu
mudah lupa yang PR itu bukannya parti pembangkang sebaliknya Pakatan Rakyat
adalah parti ‘alternative’. Pakatan Rakyat juga berhak untuk mendapatkan
kemenangan kerana parti-parti dalam PR itu adalah parti halal dari segi
undang-undang.
Kepada Muhyiddin, elok kita ingatkan
yang kita tahu UMNO sedang terdesak, tetapi janganlah tunjukkan sangat perasaan
itu. Kalau tidak ada perasaan malu kepada orang lain, setidak-tidak adalah sedikit
perasaan malu kepada diri sendiri.
No comments:
Post a Comment