Orang ramai terkejut dengan
pendedahan panas oleh akhbar Sinar Harian (Pahang) pada Sabtu 3 November
lalu berkaitan kedaifan hidup rakyat Pekan yang terletak dalam kawasan Parlimen
Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak. Artikel yang bertajuk "Rumah
Daif Tempat Berlindung", sekeluarga cekal jalani hidup tanpa
bekalan air, elektrik dan kediaman usang.
Kemiskinan yang berlaku ini sungguh
mengejutkan kerana seantero dunia umum mengetahui kawasan parlimen Najib
rakyatnya hidup selesa. Tambahan pula apabila Najib sering melaung-laungkan
kesengsaraan rakyat yang hidup di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.
Malah, dalam roadshow "Jelajah Janji Di Tepati" beliau selama
ini pun, Najib sering mendabik dada dengan mengatakan hanya Barisan Nasional
(BN) sahaja yang boleh membela rakyat Malaysia.
Beliau juga sering mengherdik dan
menghina negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang (Pakatan Rakyat)
kononnya tidak pandai mentadbir dan sering berhadapan dengan berbagai masalah
terutamanya isu bekalan air. Namun, bagai sesuatu yang tidak dijangka rupanya
masalah berkenaan lebih teruk berlaku di negeri Pahang terutamanya kawasan
Najib sendiri.
Soalnya, apakah Najib sedar apa yang
berlaku dan mana perginya laungan "janji ditepati" yang
dicanangkan itu agaknya. Inilah yang menjadi kemusykilan kepada orang ramai
terutamanya rakyat Pahang yang membaca artikel panas berkenaan
sebenarnya. Dalam laporan itu, Sinar Harian juga memaparkan gambar
kedaifan dan kemiskinan hidup sebuah keluarga terbabit.
Kejadian berlaku di Kampung
Bentan (Pekan). Keluatga terbabit dipercayai telah mendiami sebuah rumah
usang itu sejak lima tahun yang lalu. Sebelum ini mereka tinggal di
sebuah rumah di kampung berkenaan, namun tanah tersebut diambil oleh
pemiliknya. Ini menyebabkan mereka terpaksa tinggal dalam keadaan yang cukup
menyayatkan hati.
Malah, lebih menyedihkan keluarga
terbabit hanya bertemankan cahaya pelita atau lilin (tiada bekalan elektrik)
pada waktu malam serta hanya menggunakan air telaga (tiada bekalan air) untuk
urusan harian seperti mandi, memasak dan sebagainya. Difahamkan, keluarga
berkenaan hanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
sebanyak RM100 sebulan serta wang zakat daripada Majlis Ugama Islam
dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebanyak RM200 sebulan. Malah, laporan
juga menyebut mereka sudah lebih setahun berulang alik memohon Projek
Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR),
namun masih tiada jawapan hingga hari ini.
Apa yang dipaparkan ini sungguh
memalukan sebenarnya. Bayangkan, selama ini rakyat dimomokkan kononnya hanya BN
sahaja yang boleh membawa pembangunan. Namun, hakikatnya inilah yang berlaku
selepas beberapa penggal Najib menjadi Ahli Parlimen Pekan.
Orang Melayu hidup dalam kedaifan,
sebaliknya yang kaya raya ialah warga Kemboja yang kini begitu ramai
bermastautin di kawasan itu. Bahkan, kini ekonomi Pekan dikuasai oleh pihak
terbabit dan mereka juga sudah membeli tanah-tanah orang Melayu Pekan sekarang.
Inilah yang dikatakan "kera di hutan di susukan, anak di rumah mati
kelaparan".
Apakah semua ini fitnah atau
kenyataan?. Kami juga mempunyai banyak laporan kedaifan orang Melayu di Pekan
yang kini dianaktirikan oleh kerajaan sendiri. Mereka memohon "tanah
sekangkang kera" pun tidak dilayan, sebaliknya warga asing diberi muka
untuk memiliki beribu-ribu ekar tanah dengan pembukaan banyak penempatan baru
di kawaan terbabit. Semua ini adalah bukti bahawa Najib sebenarnya "cakap
tak serupa bikin". Rakyat perlu bijak membuat pilihan dan jangan terus
terpengaruh dengan omongan kosong janji tidak ditepati oleh beliau lagi.
Lakukan perubahan pada pilihanraya umum akan datang jika mahu nasib dan masa
depan kehidupan agar lebih terjamin.
No comments:
Post a Comment