Oleh
: Aspan
Alias
Betulkah pandangan Dr Mahathir yang
BN akan menang tipis dalam PRU yang akan datang? Ada yang bertanya samada
ramalan ramai yang UMNO akan tumbang ada kebenarannya. Dr Mahathir meramalkan
kemenangan untuk BN, tetapi kemenangan yang tipis. Dr Mahathir juga mengakui
yang BN akan menjadi kerajaan yang lemah dan akan menghadapi masalah
‘defection’ selepas pilihanraya dan sebagainya. Mahathir meramalkan yang BN
akan mendapat majoriti 2/3 jika BN menghadapi PRU kali ini dengan lebih kuat
dan melakukan pemilihan calon dengan tepat.
Keupayaan Dr Mahathir untuk menelaah
keputusan PRU itu menjadi persoalan kepada yang berfikir. Dalam pada UMNO
menghadapi masalah yang besar sekarang, mana mungkin UMNO itu akan mendapat
kemenangan majoriti 2/3 di Dewan Parlimen? Walau bagaimana pun sesiapa sahaja
termasuk Dr Mahathir sendiri berhak untuk meramalkan keputusan PRU itu nanti,
kerana pilihanraya itu pun belum diadakan lagi.
Pihak lain pula ramai yang
meramalkan Pakatan Rakyat (PR) akan menang ‘hands down’ dan akan melakukan
perubahan besar kepada lanskap politik buat pertama kali dalam sejarah
kemerdekaan negara kita. Dr Mahathir berkata yang Pakatan Rakyat ini hanya
sekumpulan manusia yang berpakat-pakat untuk melakukan kejahatan. Tetapi semua
pakata-pakat yang beliau lakukan sekarang terbukti sebagai pakat-pakat jahat
untuk kepentingan segelintiran pemimpin dan kroni-kroni mereka sahaja.
Salah satu dari dua ramalan itu akan
menjadi kenyataan: samada yang mengatakan BN akan kalah atau pun pihak yang
mengatakan BN akan kekal memenangi PRU itu nanti. Tetapi apa yang hendak saya
nyatakan di sini ialah, tidak semua ramalan Dr M itu menjadi kenyataan. Ramai
yang berkata Dr Mahathir hanya berkata-kata dengan apa yang beliau hendak
dengar sahaja.
Pada tahun 1985 dahulu beliau
meramalkan yang PBS (Parti Bersatu Sabah) yang baru sahaja wujud tidak akan
berjaya mengalahkan parti Berjaya dan kerajaan yang dipimpin oleh Harris Salleh
di Sabah. Dr Mahathir mempunyai keyakinan seratus peratus yang Berjaya akan
dapat mengekalkan mandat dalam pilihanraya negeri pada tahun itu kerana PBS
adalah parti baru dan tidak mungkin berjaya.
Dr Mahathir begitu berkeyakinan yang
Berjaya akan berjaya dan beliau terus memberikan sokongan terbuka kepada
Berjaya untuk mengekalkan kuasa di Sabah. Dr Mahathir dalam ucapan beliau di
Sabah dalam kempen pilihanraya itu telah berucap dengan penuh keyakinan dan
beliau berjanji yang beliau akan berenang atau tenggelam bersama Berjaya.
Akhirnya Berjaya telah tumpas dengan
teruknya sehinggakan Harris Salleh sendiri telah kalah di kawasannya sendiri,
di Tenom. Tetapi Dr Mahathir berubah pendirian dan tidak mahu tenggelam bersama
Berjaya seperti yang beliau janjikan semasa kempen pilihanraya itu. Dr Mahathir
sedar yang beliau telah tersalah membuat ramalan terhadap keputusan pilihanraya
negeri itu. Dr Mahathir terus berenang dan membiarkan sahaja Harris Salleh
tenggelam sendirian.
Sesungguhnya tidak mustahil jika
UMNO mengalami keadaan seperti yang dialami oleh Berjaya. Apabila rakyat
mahukan perubahan, keadaan itu akan wujud dengan sekelip mata sahaja.
Rakyat akan menolak dan meruntuhkan
parti yang telah terlalu lama menjadi ‘sanctuary’ kepada semua pemimpin-pemimpin
dan kroni-kroni yang rakus selama ini.
Rasanya Dr Mahathir akan tersalah
ramal lagi kali ini...
No comments:
Post a Comment