DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Saturday, August 4, 2012

POLITIK BAHARU SABAH – SEJAUH MANA FAKTOR LAJIM MEMPENGRAUHI PRU-13?


Kini semacam terasminya kemunculan satu lagi pakatan politik di Sabah pada 29 Julai lalu. Ia merupakan natijah daripada perkembangan yang berlaku selama enam bulan pertama 2012, dan kemuncaknya ialah apa yang berlaku dalam masa semingga ini (23-30 Julai 2012). Tatkala Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Sabah dan berjaya melancarkan pakatan baru itu. Justeru Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan tahniah atas komitmen timbalan menteri merangkap ahli parlimen Beaufort, Datuk Seri Panglima, Haji Lajim Haji Ukin berikutan penubuhan pakatan itu setelah berkunjung ke Kota Bharu pada 23 Julai lalu.


Kesemuanya dipaparkan sebagai berita yang mengaitkan satu perkembangan baharu politik di Sabah. Paling utama yang dipaparkan ialah melibatkan soal masa depan dua tokoh politik, iaitu ahli parlimen Beaufort, Datuk Seri Panglima, Haji Lajim Haji Ukin dan ahli parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing. Dua tokoh ini adalah mewakili kepentingan politik kaum di Sabah, iatu Lajim dari Umno mewakili orang Melayu dan Wilfred dari United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) mewakili kaum Kadazandusun dan Murut. Justeru kedua-duanya dikatakan bakal mencorakkan politik permuafakatan yang baharu di Sabah dan sudah tentu bakal mengubah keputusan PRU-13 nanti.


Paparan hangat

Di antara paparan hangat berita mengenai kemunculan pakatan baharu itu ialah seperti tersiar atas talian mstar.com (25Julai) yang melaporkan tajuk  "Satu Lagi Parti Politik Akan Muncul." Diikuti dengan paparan oleh shahbudindotcom (26 Julai) yang mengulas tajuk “Mungkinkah Pergolakan Di Sabah Pemangkin Kejatuhan BN?” Kedua-duanya telah menggambarkan kemunculan Pakatan Pembaharuan Sabah atau Sabah Reform Front serta peranan Lajim dan Wilfred yang bakal menjadi pemangkin kejatuhan BN di Sabah.

Sebelumnya lagi, The Borneo Post (18 Jun) telah mengulas akan kemungkinan "Pembentukan barisan pembangkang masih satu ilusi di Sabah." Ulasan ini sebenarnya telah disiarkan lebih awal oleh Bernama. Menurut ulasan itu, cerita-cerita hangat mengenai politik Sabah yang berlegar selain BN ialah Parti Maju Sabah (SAPP), DAP, PKR dan Parti Pembaharuan Negeri (STAR). Kedudukan parti-parti ini telah dikaitkan pula dengan peranan tokoh masing-masing dalam konteks politik Sabah menjelang PRU-13.

Terkini pula ialah paparan portal Sabahkini.net (30 Julai) yang mempersoal sikap Lajim semacam tunggu untuk dipecat oleh BN dan kerajaan. Diikuti berita mengenai alasan Lajim yang telah bertindak meletak jawatan dalam Umno dan BN atas semata-mata ingin memperjuangkan hak rakyat Sabah yang telah dianggap gagal disebabkan pemimpinnya dikatakan mengamalkan kroni dan rasuah. Ia turut dikongsi dengan kenyataan menarik dari Wilfred yang tersiar dalam The Malaysian Insider (30 Julai) iaitu tindakannya meletak jawatan selaku pengerusi BN Tuaran disebabkan tidak berpuas hati dengan isu pendatang tanpa izin yang melimpah di Sabah.

Kuasa pakatan baharu


Realiti politik Sabah adalah kepelbagaian parti politik. Sartu pihak telah ada BN dan satu pihak lagi adalah oposisi yang mengandungi Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan Datuk Yong Teck Lee dan Parti Pembaharuan Negeri (STAR) pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan. Di samping KeADILan, DAP dan PAS.

Sehubungan perkembangan baru membabitkan Pakatan Pembaharuan Sabah diasaskan oleh Lajim sudah tentu akan menjadi satu pakatan baharu dan kuasa pengimbang kalangan parti-parti yang oposisi kepada BN. Justeru ada baiknya Pakatan Pembaharuan Sabah dapat berperanan ke arah menyimpulkan permuafakatan nyata parti oposisi untuk berdepan satu lawan satu denhgan BN pada PRU-13 nanti. Ia pasti akan melengkapkan gerakan politik KeADILan, DAP dan PAS yang telahpun bersama-sama dalam Pakataan Rakyat. Oleh itu, amat logik dua pakatan ini akan bekerjasama bagi menghadapi BN dalam PRU-13 nanti.

Realiti permuafakatan boleh diamalkan berlandaskan kekuatan teori politik kerjasama yang membayangkan kemunculan kuasa dua parti utama untuk pilihan rakyat. Natijahnya hak rakyat Sabah perlu diurus secara matang dan nilai perpaduan baharu perlu disokong kerana sejak 1963 hak itu belum dibukti dikongsi secara nyata oleh rakyat Sabah menerusi pentadbiran BN atau pihak penguasa sebelum ini.

Menurut Arend Lijphart yang menganjur politik permuafakatan yang mengutamakan perkongsian seimbang antara pelbagai kaum (masyarakat majmuk). Namun apa yang digambarkan Lijphart tidak berlaku di Sabah.  Sepatutnya rakyat Sabah dapat berkongsi secara adil nikmat sumber hasil dan kesan pembangunannya di kalangan  semua kaum. Namun apa yang berlaku ialah masih munculnya golongan terpinggir dari arus kemerdekaan negara. Malah ada pihak lain pula sedang meratah hak rakyat Sabah. Ia menjelaskan bahawa selama ini pihak BN telah gagal menguruskan secara adil. Ia belum lagi diperincikan atas hak-hak menikmati harga barangan yang kompetatif, kenaan cukai dan bayaran ses serta levi atas hasil pembalakan dan perladangan –– masih  berlaku secara diskriminatif. Paling utama rakyat Sabah amat terasa dengan hak-hak kewarganegaraan yang semacam dirampas apabila melimpahnya pihak pendatang asing sehingga kini tanpa penyelesaian bergelut dengan isu kad penganalan palsu dan seumpamanya.

Kesemuanya sudah tentu menarik dan mencabar politik Sabah kali ini, terutama dalam merebut 60 kerusi negeri dan 25 kerusi parlimen dalam PRU-13.  Atas jumlah kerusi ini amat signifiken bagi Pakatan Pembaharuan Sabah untuk bersama-sama Pakatan Rakyat dalam menjayakan misi menawan Sabah dan menyumbang kepada penguasaan Putrajaya di peringkat Persekutuan.

Pakatan yang relevan

Hal ini amat relevan lagi dalam meneliti kajian Majlis Profesor Negara (MPN) yang meramalkan kemenangan tipis BN di Sabah dalam PRU13 nanti. Ini kerana kajian MPN itu sebenarnya belum mengambil kira faktor Lajim dan Wilfred yang dikatakan telah berjaya menubuhkan Pakatan Pembaharuan Sabah. Justeru Lajim dan Wilfred adalah mewakili golongan yang inginkan Sabah bebeas daripada kepimpinan BN yang dikatakan bergelumang dengan kroni dan rasuah.

Meskipun di sebaliknya ada pandangan sinis daripada Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Apdal yang meramalkan kemungkinan tindakan Lajim dan Wilfred itu tidak akan ke mana. Bagi Shafie Lajim dan Wilfred hanya boleh menang atas kapasiti BN. Maka baginya, Lajim dan Wilfred pasti kalah bila tidak lagi dalam BN berasaskan pengalaman Yong Teck Lee yang kalah dalam pilihan raya kecil Sandakan. Persoalannya, apakah pada PRU-13 nanti serupa pilihan raya kecil Sandakan?

Sudah tentu faktor Lajim dan Wilfred akan berupaya mengurus segala-gala perkembangan baharu politik Sabah. Apa pun pihak kepimpinan Pakatan Rakyat, sama ada daripada KeADILan, DAP mahupun PAS seharusnya bertindak secara optimis dalam melayani kemunculan faktor Lajim dan Wilfred untuk permuafakatan Pakatan yang lebih utuh. Sinar harapan kemenangan pasti menjadi nyata dan semua parti oposisi di Sabah seharusnya berpakat bagi mewujudkan Pakatan yang relevan menjelang PRU-13.

Dipetik dari : GreenCresent.blogspot.com
Baca juga tulisan Dr. Dzulkefly Ahmad di bawah :

‘Waterloo’ Najib bermula di Sabah?


No comments: