DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Friday, July 6, 2012

SKANDAL LRT GUGAT KEDUDUKAN NAJIB, POLIS JADI KUDA TUNGGANGAN UMNO


PM bimbang skandal LRT gugat kedudukan'

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli melihat siasatan terhadapnya - kerana mendedahkan dokumen projek sambungan LRT didakwa bernilai RM1 bilion - disebabkan kebimbangan perdana menteri terhadap kemungkinan dakwaan itu menggugat kedudukannya.


Katanya, tindakan menubuhkan pasukan khas polis untuk menyiasat kebocoran maklumat itu, seperti dumumkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Bakri Zinin mengesahkan dokumen berkaitan asli.

"Kenyataan Bakri semalam mengesahkan dua perkara: Bahawa dokumen-dokumen Kementerian Kewangan termasuk minit yang ditandatangani oleh Najib dan dokumen lain berkaitan tender tersebut adalah benar dan asli.

"(Ia juga mengesahkan) bahawa Najib bimbang skandal ini bakal menggugat kedudukan beliau apabila maklumat mengenainya tersebar luas," katanya. -mk
I.            Skandal projek LRT: Usaha Najib takutkan saya sia2 – Rafizi

KUALA LUMPUR 5 Julai: Ketangkasan polis menubuhkan pasukan khas kononnya bagi menyiasat dokumen skandal projek Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang mengesahkan persepsi rakyat bahawa pasukan itu mengutamakan Umno berbanding keselamatan rakyat, kata Rafizi Ramli.

Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, sehingga kini polis enggan menyiasat dokumen sulit mengenai strategi dan kekuatan pertahanan negara yang dijual kepada syarikat asing seperti didedah di Mahkamah Perancis baru-baru ini.

“Apakah beliau (Datuk Seri Bakri Zinin) tidak memahami bahaya jutaan rakyat yang sedang dan bakal menggunakan sistem LRT laluan Ampang jika sebuah syarikat yang tiada pengalaman dalam sistem LRT dianugerah kontrak ini?

“Adakah beliau sendiri berani menaiki LRT sistem laluan Ampang saban hari ke tempat kerja jika beliau sedar seluruh kerja-kerja pembinaan dikendali oleh sebuah syarikat yang hanya berpengalaman mengilang meter air,” soalnya dalam kenyataan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu mengumumkan penubuhan pasukan itu bagi menyiasat pendedahan dokumen tender kontrak sambungan projek LRT Ampang yang disifatkannya sebagai rahsia kerajaan.

“Kenyataan Bakri ini sebenarnya mengesahkan bahawa dokumen Kementerian Kewangan termasuk minit yang ditandatangani Datuk Seri Najib Razak dan dokumen lain berkaitan tender adalah benar dan asli.

“Malah kenyataan beliau juga menunjukkan Najib bimbang skandal ini bakal menggugat kedudukan beliau apabila maklumat mengenainya tersebar luas,”
tegas beliau.

Kata Rafizi, sebarang usaha menakutkannya dari terus membongkar skandal itu adalah sia-sia.

“Saya juga meneruskan siri pendedahan seterusnya 9 Julai ini. Mulai minggu depan, kami mula turun ke stesen LRT untuk mengedar risalah maklumat dan melancar kempen ‘Utamakan Keselamatan Rakyat’ di seluruh LRT laluan Ampang,” kata Rafizi lagi.
-KD

II.     Isu LRT: Utamakan keselamatan rakyat, Rafizi gesa polis

SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, tindakan polis yang kelihatan lebih mementingkan kerajaan Barisan Nasional (BN)-Umno berbanding keselamatan rakyat bakal mengundang bahaya kepada jutaan pengguna ekoran keengganan penguatkuasa itu menyiasat Perdana Menteri.

Menurut beliau, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin menolak mentah-mentah dari menyiasat campurtangan Perdana Menteri dalam anugerah kontrak kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang, sebaliknya segera menubuhkan pasukan khas mahu menyiasat kebocoran maklumat sulit negara apabila dokumen tender diketahui umum.

“Saya kesal dengan kenyataan Mohd Bakri kononnya kebocoran maklumat sebegini menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara.

“Apakah beliau tidak memahami bahaya kepada jutaan orang awam yang sedang dan bakal menggunakan sistem LRT laluan Ampang sekiranya sebuah syarikat yang langsung tidak ada pengalaman di dalam sistem LRT dianugerahkan kontrak ini?
"katanya.

Rafizi juga menyoal sama ada Mohd Bakri berani mengambil risiko menaiki LRT sistem laluan Ampang setiap hari ke tempat kerja sekiranya beliau sedar bahawa seluruh kerja-kerja pembinaan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang hanya berpengalaman mengilang meter air.

“Paling dikesali, pimpinan PDRM tidak pula bergegas mahu menyiasat kebocoran maklumat pertahanan negara apabila dokumen sulit mengenai strategi dan kekuatan pertahanan negara dijual kepada syarikat asing seperti yang didedahkan di Mahkamah Perancis baru-baru ini.

"Jelas sekali, kepimpinan PDRM berbeza pendapat dengan rakyat Malaysia mengenai makna sebenar kepentingan awam,"
katanya lagi.

Semalam, Mohd Bakri dipetik berkata, polis memandang serius pendedahan dokumen rahsia tersebut kerana dokumen yang telah dikelaskan sebagai rahsia kerajaan itu secara tidak langsung boleh menjejaskan kepentingan negara.

Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, beliau sedar tanggungjawab yang perlu digalas dan risiko yang perlu dihadapi dan nyawa jutaan rakyat Malaysia yang menggunakan sistem LRT laluan Ampang adalah terlalu berharga serta perlu dipertahankan sehinggalah kontraktor yang layak dan berkemahiran dilantik bagi projek ini.

“Sebarang usaha untuk menakut-nakutkan saya dan rakan-rakan dari terus membongkar skandal ini adalah sia-sia.

“Saya akan meneruskan siri pendedahan seterusnya pada hari Isnin 9 Julai 2012 seperti biasa. Malah, mulai minggu depan kami akan mula turun ke stesen-stesen LRT untuk mengedarkan risalah maklumat dan melancarkan kempen Utamakan Keselamatan Rakyat di seluruh LRT laluan Ampang,” katanya.
-SH

III.Skandal LRT : George Kent gagal penilaian teknikal dipilih untuk projek LRT Ampang ?


 Pemilik George Kent ini khabarnya rakan golf PM

GEORGE KENT GAGAL DALAM PENILAIAN BIDAAN, BAHAYAKAN NYAWA ORANG RAMAI

Penilaian bidaan untuk kerja-kerja tambahan LRT Ampang dibuat oleh sebuah syarikat perunding kejuruteraan bernama HSS Integrated Sdn Bhd. Syarikat ini adalah syarikat bersekutu yang menggunapakai kepakaran Halcrow, salah sebuah perunding kejuruteraan terkemuka di dunia.

Keseluruhan penilaian teknikal projek LRT Ampang bernilai lebih RM1 bilion ini dibuat oleh Halcrow. Keputusan penilaian telah dimaklumkan kepada Syarikat Prasarana Negara Berhad dalam sebuah laporan bertarikh September 2011 yang disertakan bersama.

Berdasarkan keputusan penilaian yang dibuat oleh Halcrow, Shahril Mokhtar (Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana) telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan bertarikh 12 Disember 2011 untuk memaklumkan hasil penilaian bidaan kepada Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) yang dipengerusikan Najib Razak sendiri.

Mukasurat 7 dan 8 dari surat itu yang menyenaraikan keputusan penilaian bidaan ada disertakan bersama. Ia secara jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja George Kent (pembida 3) gagal dari aspek kewangan (dikira tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk mengendalikan projek ini), konsortium itu juga adalah antara pembida yang mendapat penilaian teknikal yang terendah pada mata 38.62 sahaja (diragui
kemampuan teknikal dan tidak berpengalaman mengendalikan projek seperti ini).

Saya ingin memetik beberapa perkara penting hasil dari keputusan penilaian bidaan yang wajib diberikan perhatian serius oleh rakyat Malaysia, seperti yang termaktub di dalam laporan penilaian:

1. Mukasurat 14 – pembida George Kent dirumuskan tidak memahami kehendak teknikal projek (terutamanya dari segi koordinasi dan integrasi dengan sistem sedia ada), apatah lagi berkemampuan mengendalikan projek seperti ini;

2. Mukasurat 17 – pembida George Kent dirumuskan tidak mampu meyakinkan perunding bahawa mereka mempunyai kepakaran menjalankan projek ini secara sistematik dan disokong oleh sistem audit projek yang memuaskan;

3. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah mengendalikan projek besar, apatah lagi berpengalaman di dalam projek sebesar ini. Berbanding dengan pembida lain yang hampir kesemuanya pernah menyiapkan projek bernilai lebih RM1 bilion, projek terbesar pernah dikendalikan George Kent hanyalah bernilai RM40 juta, sedangkan pakej kerja-kerja tambahan LRT Ampang ini dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion;

4. Mukasurat 24 – pembida George Kent didapati tidak pernah terlibat di dalam projek melibatkan rel atau LRT;

5. Mukasurat 64 – pembida George Kent dirumuskan berada di tempat ketiga tercorot dari segi kemahiran dan pengalaman teknikal. Markah yang diperolehinya adalah lebih rendah dari purata markah keseluruhan pembida-pembida; dan

6. Mukasurat 72 – Halcrow merumuskan bahawa Panel Penilai Teknikal tidak yakin George Kent boleh mengendalikan projek itu dengan jayanya.
Berdasarkan dokumen-dokumen ini, terbuktilah bahawa George Kent tidak mempunyai apa-apa kemahiran, kepakaran atau pengalaman yang melayakkannya dianugerahkan tender ini, kecualilah hubungan baik di antara George Kent dan Najib Razak.

Lebih mengecewakan, keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak campur tangan dengan membatalkan keputusan jawatankuasa penilai memberi gambaran seolah-olah beliau tidak menghiraukan bahaya dan risiko keselamatan awam apabila projek sistem LRT diserahkan kepada syarikat yang langsung tidak tahu mengenai LRT.

Jika niat Najib Razak ini diteruskan, bermakna ratusan ribu rakyat yang menaiki LRT Ampang saban hari kini berada di dalam keadaan bahaya.

Saya menyeru supaya Najib Razak menjelaskan apakah pertimbangan beliau yang mendorong beliau membahayakan keselamatan rakyat dengan menganugerahkan kerja-kerja ini kepada George Kent yang ternyata tidak layak.


MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN


Baca di Malaysia Chronicle juga. 
@Pantherian-  Saya sebagai seorang jurutera yang banyak terlibat dalam penilaian teknikal  untuk  sesuatu projek mengakui bahawa penilaian teknikal adalah amat penting dalam memilih syarikat yang layak untuk memenangi tender tersebut. 

Malah penilaian teknikal ini lebih penting dari penilaian komersial (kos)untuk sesetengah  projek kerana ia melibatkan faktor keselamatan, operasi dan kebolehpercayaan.
Oleh itu, pendedahan skandal LRT  oleh Rafizi yakni wujud campurtangan PM Najib dalam menganugerahkan kontrak ini kepada konsortium George Kent Lion Pacifiz JV yang sudah gagal dalam penilaian teknikal ini amat mengusarkan orang awam. Ini kerana ia melibatkan keselamatan orang awam yang menaiki tren tersebut dan juga menurut Prasarana tren baru LRT Ampang nanti tidak mempunyai pemandu seperti tren laluan Kelana Jaya- Gombak.

No comments: