Written by Viktor Wong,
Malaysia Chronicle
Menurut
ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar, kadar jenayah dalam negara kita ini
daripada bulan Januari 2012 hinggalah Jun 2012 telahpun turun pada kadar 26
peratus.
Daripada
manakah statistik tersebut diperolehi? Adakah Tan Sri Omar dan para pegawai
tingginya di Bukit Aman mengesahkan ketepatan kadar dan statistik tersebut?
Siapakah yang menyediakan statistik tersebut dan adakah ianya dikaji dengan
teliti serta disahkan kesahihannya sebelum ianya diumumkan secara rasmi kepada
orang ramai?
Persoalan
ini timbul apabila berdasarkan beberapa laporan baru-baru ini yang didapati
kegiatan jenayah di negara ini telah menjadi semakin berleluasa, seolah-olah
tidak lagi dapat dikawal.
Yang
terbaru adalah seorang mangsa warga emas terbunuh setelah diserang oleh seorang
peragut bermotosikal. Dan kejadian tersebut juga telah menimbulkan kemarahan di
kalangan umum mengenai ketidakberkesanan pihak polis di dalam memerangi
kegiatan jenayah di kawasan-kawasan yang dikenal pasti.
Sebelum
ini laporan kajian di Petaling Jaya, Selangor juga telah mengesahkan kira-kira
320 kes samun, rompakan dan ragut telah berlaku di daerah tersebut pada setiap
hari di antara bulan Mei 2012 hingga Jun 2012 sahaja. Selain daripada itu,
kadar jenayah juga dilaporakan agak tinggi di kawasan Lembag Klang.
Para
penjenayah ini bukan setakat meragut, merompak ataupun menyamun, bahkan sudah
menjadi lebih ganas dan sanggup membunuh sesiapa sahaja demi mendapatkan
habuannya.
Sebab apa yang Bukit Aman berikan?
Sebelum
ini, beberapa pegawai kanan polis di Bukit Aman pernah beberapa kali menyatakan
sebab-sebab pihak polis tidak dapat memerangi jenayah dengan lebih berkesan.
Di
antaranya adalah kekurangan anggota polis untuk menjalankan tugas-tugas rondaan
dan pencegahan. Di manakah kesemua anggota-anggota polis yang begitu ramai?
Jawapannya
adalah, kebanyakan anggota-anggota polis ini telah ditugaskan untuk mengintip
dan menagkap musuh-musuh politik Umno dan Barisan Nasional (BN). Malah, sewaktu
perhimpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau 1.0, ribuan anggota polis yang tak
terkira jumlahnya telah dikerah ke kedua-dua kawasan tersebut bagi menahan dan
membelasah orang ramai yang menyertai kedua-dua perhimpunan tersebut yang
diadakan secara aman dan teratur.
Selain
daripada itu, pihak di Bukit Aman turut menyalahkan masyarakat umum yang enggan
turut serta di dalam siri pencegahan jenayah dalam negara ini. Kenapa pula
menyalahkan orang ramai? Adakah orang-orang awam ini dilatih untuk menjalani
kegiatan pencegahan jenayah ini?
Jika
sekiranya orang-orang awam yang menyertai kegiatan pencegahan ini mengalami
kecederaan ataupun meninggal dunia sewaktu menjalankan usaha tersebut, adakah
keluarga mereka akan diberikan pampasan ataupun apajua bentuk gantirugi yang
adil dan setimpal dengan jasa-jasanya?
Kegiatan mat rempit turut bertambah
Kita
semua sememangnya mengetahui bahawa kebanykan kes-kes samun, rompakan dan ragut
ini adalah perbuatan kebanyakan daripada kalangan golongan mat rempit yang
semakin berleluasa kegiatannya.
Selain
daripada terlibat di dalam kegiatan lumba motosikal haram, golongan mat rempit
ini juga didapati terlibat dalam siri rompakan yang nekad, malah ada yang
sanggup membunuh, menjadi penagih dan pengedar dadah, terlibat di dalam
kegiatan penyeludupan, pelacuran dan banyak lagi.
Ya,
terdapat beberapa laporan berita yang menyatakan pihak polis telah berjaya
menahan kebanyakan daripada mat rempit ini, tetapi apakah tindakan susulan?
Apakah hukuman yang setimpal dikenakan terhadap golongan penjenayah bermotosikal
ini?
Yang
kita selalu dapati adalah mat rempit yang ditahan ini kebanyakan akan
dilepaskan dengan begitu sahaja pada keesokan hari setelah beberapa proses
biasa dijalankan. Itu sahaja? Apakah langkah-langkah seterusnya oleh pihak
polis?
Pihak
polis akan sering memberikan alasan yang undang-undang yang sedia ada tidak
mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk mengenakan hukuman yang lebih berat
terhadap golongan ini. Apakah tindakan kementerian dalam negeri? Tidak ada
sehingga hari ini.
Sebelum
ini, Pergerakan Putera Umno ada juga menggerakkan satu usaha untuk mengumpul
golongan mat rempiit ini untuk “dipulihkan” dan malah ada di antara mat-mat
rempit ini diambil masuk menjadi ahli Putera Umno, menyertai beberapa program
cuti dan ekspedisi ke luar negara bagi menjalani beberapa siri “latihan” untuk
mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat kononnya.
Apa
yang telah berlaku seterusnya? Golongan mat rempit yang kini menganggotai
Putera Umno ini telah ditugaskan sebagai “shock troops” untuk menganggu,
menakut-nakutkan dan mengancam para pemimpin pembangkang, para pemimpin
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para pemimpin pertubuhan hak asasi
kemanusiaan, penganalisa politik dan ramai lagi.
Kita
perhatikan bagaimana pengerusi bersama Bersih 3.0 Datuk S.Ambiga dan
keluarganya diganggu dan diancam oleh golongan ini, lihatlah apa yang telah
berlaku terhadap beberapa orang pemimpin pelajar yang telah berkumpul di
Dataran Merdeka sebelum ini, serangan terhadap dua orang penganalisa politik,
Wong Chin Huat dan Ong Kian Ming.
Jelas,
kesemua perbuatan ini dilakukan oleh golongan mat rempit yang diupah oleh
pihak-pihak yang tertentu yang mempunyai kepentingan politik serta berkuasa.
Penubuhan Polis Bantuan ditolak
Berbalik
kepada Selangor pula, kerajaan negeri dan beberapa majlis perbandaran di negeri
yang sama pernah mengemukakan permohonan kepada kementerian dalam negeri (KDN)
untuk menubuhkan pasukan polis bantuan bagi membantu pihak berkuasa di dalam
kegiatan pembenterasan jenayah di negeri tersebut.
Akan
tetapi, KDN menolak mentah-mentah usaha murni kerajaan negeri Selangor dan
beberapa majlis perbandaran negeri tersebut.
Menteri
dalam negeri dan naib-presiden Umno Datuk Hishammuddin Hussein memberikan
alasan penolakan permohonan tersebut adalah kerana Polis DiRaja Malaysia telah
mempunyai jumlah anggota yang mencukupi bagi mengawal selia keselamatan negeri
tersebut.
Bagaimanapun,
Datuk Hishammuddin tidak pula menyatakan alasan kedua penolakan permohonan
tersebut iaitu, “kerana Selangor kini diperintah oleh Pakatan Rakyat dan adalah
tidak wajar sesebuah kerajaan negeri bukan-BN diberikan kuasa kePolisan”.
Akibat
daripada itu, lebih 320 jenis kes jenayah dicatatkan di Petaling Jaya daripada
Mei 2012 hinggalah ke Jun 2012. Bagaimana pula dengan kawasan-kawasan lain di
Selangor dan negeri-negeri yang lain?
Tujuan
naib-presiden Umno itu adalah jelas, membiarkan jenayah meningkat di negeri
Selangor supaya ianya dapat dijadikan suatu isu atau bahan kempen di dalam
pilihanraya umum yang akan datang.
Berkemungkinan
juga jumlah anggota polis di negara ini adalah mencukupi, Cuma sebahagian besar
anggota-anggota tersebut ditugaskan di bahagian politik Cawangan Khas untuk
memerhati dan mengawal pergerakan para pemimpin parti-parti pembangkang, NGO
hak asasi kemanusiaan dan NGO yang memperjuangkan keadilan sosial.
Boleh
tak ketua polis negara memberikan satu statistik yang memaparkan jumlah anggota
polis seluruh negara yang ada pada hari ini, di bahagian atau cawangan manakah
setiap anggota polis ini ditempatkan dan apakah tugas-tugas, tanggungjawab
mereka di setiap bahagian atau cawangan serta jumlah keanggotaan di setiap
negeri, daerah dan perkampungan?
Selepas
itu, dapatlah kita mengkaji dan meneliti semula kadar jenayah dan indeks
pengurangan jenayah yang dikemukakan oleh Bukit Aman bagi menentukan sama ada
laporan tersebut sahih atau sebaliknya.
Sumber:
Malaysia Chronicle
No comments:
Post a Comment