Oleh : Ahmad Tajdid
MELAKA memang negeri unik. Keunikan yang paling ketara adalah sehingga kini ketua negerinya bukan terdiri daripada anak negeri. Macamlah negeri kecil itu tidak punyai tokoh-tokoh hebat untuk dicalonkan sebagai Yang di-Pertua Negeri (Gabenor).
Gabenor pertamanya, Leong Yew Koh (1957-1959) ialah bekas Setiausaha Agung MCA. Dilahirkan di Salak Utara (KL) pada 1888 dan mendapat pendidikan awal di Perak. Gabenor kedua Tun Abdul Malek Yusuf (1959–1971) berasal dari Kampung Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan manakala Gabenor ketiga Tun Abdul Aziz Abdul Majid (1971-1975) berasal dari Kajang, Selangor.
Gabenor keempat dan kelima iaitu Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan (1975-1984) dan Tun Syed Ahmad Al Haj Syed Mahmud Shahabudin (1984-2004) masing-masing berasal dari Perak dan Kedah.
Ada usaha untuk mencadangkan tokoh pendidikan anak Melaka, Tan Sri Abdul Rahman Arshad sebagai Gabenor. Namun tidak diketahui setakat mana usaha itu dibuat.
Gabenor Melaka kini disandang Tan Sri Khalil Yaakob. Orang asal Pahang, bekas MB Pahang, bekas Menteri Penerangan dan bekas Setiausaha Agung Umno. Apa merit untuk khidmatnya disambung semula pun menjadi tanda tanya kerana tiada dilihat sumbangan untuk negeri itu selain berlakon menjadi hero filem Tamil, MG Ramachandran (MGR) ataupun berkaraoke menyanyikan lagu-lagu Hindustan dan dangdut.
Melaka yang kini berketuamenterikan Dato' Seri Mohd Ali Rustam banyak bergantung kepada bantuan kerajaan pusat untuk membiayai operasi pentadbiran dan menarik pelaburan. Antara sumber utamanya adalah pelancongan. Banyak idea menarik pelancong ke Melaka juga 'kantoi' di tengah jalan. Antaranya monorel yang sering rosak, kincir air yang terpaksa dipasang motor untuk bergerak, muzium kapal portugis yang kini reput dan tak boleh dinaiki, juga 'Eye On Melaka' yang menghadapi tindakan undang-undang.
Namun kerajaan BN Melaka masih tidak serik-serik. Kini projek pelancongan meganya adalah menjadikan kapal selam terpakai Perancis sebagai muzium maritim.
Sikap tidak cerdik kerajaan BN Melaka berbelanja dan kebergantungannya kepada kerajaan pusat dapat dilihat daripada rizab tunai negeri itu yang hanya berjumlah RM7 juta! Ianya jauh lebih kecil berbanding Selangor yang mempunyai RM1,900 juta (RM1.9 bilion) rizab tunai.
Oleh kerana tidak punyai banyak idea untuk membangunkan negeri selain terlalu bergantung kepada bantuan pusat, maka sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka mempunyai banyak masa untuk membincangkan isu-isu remeh, bodoh dan berstatus gosip tepi jalan.
Baru-baru ini sidang Dun Melaka dimeriahkan dengan gosip tepi jalan yang dilontarkan Adun BN Duyong daripada MCA, Dato' Gan Tian Loo. Menggunakan imuniti dewan bagi mengelakkan dirinya diambil tindakan mahkamah, Gan cuba mengheret Adun Kota Laksamana, Betty Chew Gek Cheng yang juga isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam gosip peribadi. Tian Loo mendakwa seorang bekas pekerja wanita di pejabat Guan Eng pernah dikasari Betty dan ditukar ke tempat lain kerana mempunyai hubungan dengan Setiausaha Agung DAP itu. Sumbernya dari blog-blog.
Gan hanya tersengeh apabila Betty mencabar beliau mengulangi tuduhan itu di luar mahkamah. Sidang Dun juga kecoh apabila Adun-Adun DAP bangun membantah dan menyifatkan Speaker Dun berkonspirasi dengan Adun MCA itu untuk memburuk-burukkan Guan Eng.
Walaupun skandal itu dinafikan Guan Eng, Betty dan wanita terbabit, MCA dan Umno dengan bantuan media massa kongkongan mereka masih terus memacu isu picisan itu. Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr. Mohd. Puad Zarkashi sebagai contoh mahu Betty menjawab soalan bodoh Tian Loo, seolah-olah gosip tepi jalan itu lebih utama daripada skandal rasuah dan penyelewengan BN yang bernilai berbilion ringgit.
Adalah lebih baik untuk Puad mendesak Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek meletakkan jawatan kerana mengaku melakukan hubungan seks dengan wanita muda bukan isterinya daripada sibuk dengan tuduhan tanpa bukti membabitkan Setiausaha Agung DAP. Malah perlakuan sumbang ketua parti kerabat BN itu dirakam dan disebarkan melalui VCD dan dimuat turun di internet. Mengapa sehingga kini Soi Lek yang melakukan seks di luar tabi'ie tidak didakwa di mahkamah malah berhasrat pula untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Adakah ini ciri 'wasatiyyah' Umno?
Sikap beberapa NGO Melaka terhadap isu ini juga pelik. Pekida, Belia 4B, Perkasa dan Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah dilapor mengecam tindakan lima Adun DAP yang didakwa sengaja menimbulkan kekecohan pada sidang Dun Melaka apabila membantah sikap tidak bertanggung jawab Speaker Dun yang menjadi dalang insiden itu.
Sebaliknya mereka langsung tidak membantah tindakan Tian Loo yang mencemar kemuliaan dewan dengan menjadikannya medan melemparkan tuduhan berbentuk peribadi tanpa sebarang bukti. Lebih melucukan, NGO tunggangan Umno itu mendakwa lima Adun DAP telah mencemarkan kemuliaan Dewan dan tidak bersikap profesional sedangkan dakwaan mencemar kemuliaan dewan dan tidak profesional itu lebih sesuai ditujukan kepada Tian Loo dan Speaker Dun.
Lima Adun DAP itu kini digantung enam bulan oleh Speaker Dun Melaka yang sepanjang khidmatnya dilihat begitu laih dan tidak profesional.
Insiden yang berlaku dalam Dun Melaka itu menggambarkan betapa laih dan rendahnya tahap intelek, wibawa dan profesionalisme para Adun dan Speaker BN. Ketika salah seorang Adun BN dari Umno ditahan penguatkuasa agama kerana berpeleseran di kelab malam dan melanggan GRO, BN negeri cuba menggunakan Dewan yang mulia untuk melemparkan tuduhan liar tanpa sebarang bukti bagi mencemar nama Ketua Menteri Pulau Pinang.
Tuduhan yang dinafikan Betty dan Guan Eng itu pula diulang-ulang dan dijadikan modal politik untuk memburuk-burukkan pemimpin DAP. BN nampaknya terpaksa bergantung kepada gosip tepi jalan dan serangan peribadi untuk berhadapan Pakatan Rakyat. Semuanya dilakukan setelah satu demi satu program transformasi Najib gagal dan dipertikaikan rakyat.
Episod ini juga menggambarkan betapa rendahnya kualiti dan mentaliti pemimpin BN Melaka. Berbanding Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, tiada seorang pun pemimpin anak negeri Melaka yang pernah menjawat jawatan Gabenor. Mungkin itulah puncanya Ketua Menteri Melaka agak keberatan mencalonkan nama anak negeri sebagai Gabenor kepada Yang di-Pertuan Agong.
No comments:
Post a Comment