KEKECOHAN dan gangguan terhadap ceramah PKR yang dihadiri oleh Anwar
Ibrahim di Lembah Pantai malam Khamis 24 Mei 2012 adalah rentetan UMNO
kembali ke era Pemuda UMNO tahan lasak pra 13 Mei, 1969.
Pemuda UMNO masa itu dipimpin
oleh Tan Sri Senu Abdul Rahman. Saya mengenali Senu dari dekat. Dia seorang
yang baik dan berfikiran maju tetapi bukan seorang yang samseng.
Tetapi orang di bawah beliau ada
yang ultra dan samseng. Maka dia hilang kawalan terhadap anak buahnya. Pemuda
UMNO zaman itu mungkin ramai dan kuat, tetapi tidak dihormati. Mereka
digerusi dan ditakuti. Dalam mana-mana politik duniawi adalah orang keras
dan pelampau iaitu ektrimis. Tetapi Pemuda UMNO tahan lasak pelampau,
sebaliknya samseng yakni gangsterisma. Mereka kaki pukul, kaki gaduh dan kaki kacau.
Pembangkang penting dan utama era
itu adalah PAS. PAS banyak pengalaman menjadi mangsa politik ranggi itu. Ia
adalah era paling hitam bagi Pemuda UMNO.
Sejak Tun Hanif Omar menjadi
Ketua Polis Negara dan Tun Musa Hitam menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO di
bawah Dato Harun Idris, sifat samseng Pemuda tahan lasak itu mula dibendung dan
orang lupa kepada samsengnya.
Tetapi ia mulai kembali
ke zaman huduh itu apabila ceramah pembangkang mulai diganggu.
Penunggang motosikal bukan sekadar menggamatkan dentum bunyi motorsikal
masing-masing bah meronda seperti mat sempit berdekatan majlis ceramah
pembangkang. Ia amat mencabar kesabaran pembangkang.
Mulai semula budaya UMNO
mengadakan ceramah kilat beberapa rantai dari ceramah PAS. Sejak dulu dan
sekarang ceramah UMNO tidak berorang. Maka ia tidak banyak mengadakan ceramah.
Yang rajin mengadakan ceramah ialah pembangkang terutama PAS. Ceramah
selalunya ada sambutan. UMNO pun suka mendengar ceramah pembangkang di
celah-celah gelap malam.
Tetapi selalunya bila ada ceramah
pembangkang biasalah UMNO mengadakan ceramah segera kadang-kadang berhadapan
dan bersebelah dengan ceramah pembangang. Bukan ramai yang mendengar
mereka, tetapi cukup mengacau, menghalang orang pergi ke ceramah pembangkang
dan mengganggu yang hadir ke ceramah mendengar ceramah itu.
Gangguan itu mudah mencetuskan
perbalahan seperti yang berlaku dalam ceramah PKR di Lembah Pantai itu.
Percayakah orang bahawa yang
mengganggu itu bukan UMNO? Sama ada ia dilakukan oleh UMNO atau oleh sesiapa
saja selain UMNO, tetapi persepsi orang ia adalah UMNO.
Boleh jadi bukan oleh UMNO.
Tetapi sasaran ceramah itu selain dari menerangkan dasar dan perjuangan
partinya, ia juga bagi menegur kelemahan kerajaan dan di mana tidak
kenanya UMNO dalam berbagai perkara. Payah bagi pihak yang tidak
berkenaan untuk memberi reaksi atas sasaran ceramah pembangkang.
Mungkin ia angkara orang lain,
tetapi orang tetap kata ia khianat UMNO. Maka UMNO mesti menjaga kesabarannya
sebagai pengamal demokrasi yang matang menjauhkan diri tohmah dikatakan
samseng.
Orang yang tidak serorok dengan
ceramah Anwar adalah UMNO totok saja. Orang lain sanggup pergi ke
mana-mana untuk mendengarnya. Teremasuk orang UMNO. Mana ada penceramah
politik dalam dunia yang tidak membidas dan mengecam lawan politik.
Bukan UMNO kalau dia tidak kata PAS, PKR dan DAP tidak baik. Kalau
pembangkang boleh sabar apa UMNO kata kepada mereka termasuk mengata Tok Guru
Nik Aziz bapa kafir, maka UMNO yang berpolitik lebih 60 tahun sanggup belajar
dari perkara itu.
Jika Anwar tidak diterima orang
sebagai pemimpin dan tiada orang hendak mendengarnya lagi, maka mengapa
ceramahnya diganggu. Kalau orang sudah tidak bersamanya, nescaya tiada
lagi yang mendengarnya. Bila yang mendengarnya, dia pun tidak berceramah lagi.
Jika UMNO tidak suka ceramahnya, UMNO boleh arah orang UMNO dan penyokongnya
mendengar ceramahnya. UMNO jangan pergi mendengarnya.
Masalahnya UMNO pun ramai yang
hendak mendengarnya. Kerana UMNO tidak terdaya menangkis serangannya dan
tidak dapat menafikan kebaikan yang kerajaan pembangkang buat, maka cara
mudahnya, ia balik ke alam samseng.
Najib mahu UMNO
dan rakyat berfikir dan bertindak mengikut kelas dunia pertama, ketika
semua orang sudah masuk ke kelas dunia pertama, UMNO masih berada di kelas
dunia ketiga. UMNO tahan lasak lebih terkebelakang dari kelas dunia ketiga.
No comments:
Post a Comment