DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Sunday, June 24, 2012

NAJIB KAFANKAN TRANSFORMASINYA SENDIRI



Semakin hampir detik pilihanraya, semakin banyak percakapan mengenai transformasi politik Najib diperkatakan orang. Meskipun Najib nampaknya mahu rakyat menilai transformasi yang cuba dilaksanakannya sebagai sesuatu yang baru dan penting untuk masa negara, masih ramai yang ragu-ragu dengannya.

Keraguan rakyat tidak sukar difahami. Isunya ialah kerana antara cakap dan dan perbuatan Najib seringkali berbeza, malah banyak kali berlawanan.

Ketika beliau berbangga mengumumkan penghapusan ISA ketika sambutan Hari Malaysia tahun lalu, hakikatnya masih ada tahanan ISA yang kekal disimpan dalam penjara dan tidak tahu bila akan dibebaskan.

Di ketika melaungkan kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman dengan mewujudkan Akta Perhimpunan Aman, sekatan-sekatan tertentu masih dikenakan melalui penggunaan kuasa polis dan sebagainya sebagaimana terpamer dalam Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.


Kebebasan bersuara dan menyuarakan bantahan juga bagai tidak diterima sepenuhnya oleh Najib bila beliau secara terbuka menyifatkan mereka yang menentang penyenaraian Felda Global Venture sebagai "haram jadah" dan tidak redha mereka menerima durian runtuh RM15 ribu yang diberikan oleh kerajaan.

Itu hanya sebahagian contoh bagaimana di ketika Najib melaung dan menjerit tentang transformasi politiknya, hakikatnya perlakuan beliau amat bertentangan sekali.

Bagaimanapun sebagai Perdana Menteri yang gajinya dibayar melalui cukai rakyat, rakyat masih mengharapkan Najib benar-benar ikhlas melaksanakan transformasi yang dijanjikannya itu.

Tetapi perkembangan terbaru yang ditunjukkan oleh Najib baru-baru ini menyebabkan rakyat benar-benar tidak yakin terhadap transformssi atau pembaharuan yang pernah dijanjikannya itu. Beliau bukan saja menolak untuk melakukan sesuatu yang baik untuk kepentingan rakyat dan negara serta menggembirakan semua orang, malah keangkuhannya makin menyerlah.

Dalam isu pilihanraya pada musim haji, walaupun semua pihak, kecuali golongan pengampu, tidak setuju ia diadakan pada musim haji dan mahukan Najib memberi jaminan beliau tidak akan mengadakan pilihanraya pada musim haji, beliau nampaknya menolak idea itu.

Malahan tindakannya mengaitkan bahawa piihanraya juga pernah diadakan diadakan musim haji sebelum ini iaitu pada 1986 (Najib kata ketika itu Perdana Menteri Hussein Onn, sebenarnya Tun Mahathir) tidak lebih membayangkan bahawa Najib sanggup melakukan apa saja untuk mempertahankan kuasanya.

Sebelum ini sudah ada beberapa ulama seperti Mufti Perlis, Dr Juanda yang mengatakan pilihanraya di musim haji akan melemahkan undi orang Melayu dan Islam manakala Dr Mohd Asri pula menyifatkan pilihanraya di musim haji umpama memilih untuk bersembahyang di tempat orang lalu-lintas.

Walaupun benar pilihanraya pernah diadakan pada musim haji oleh Mahathir tetapi apakah contoh buruk itu mahu diikuti? Kekal mahu mencontohi sesuatu yang buruk bermakna menghumban transformasi sendiri ke lubang kubur.

Jika benar mahu melakukan transformasi, jaminan bahawa pilihanraya tidak diadakan pada musim haji atau di ketika yang boleh menyusahkan orang lain adalah sebahagian daripada ciri-ciri transformasi itu sendiri. Beliau harus ada keberanian jika ikhlas mahu melakukan transformasi.

Dalam masa yang sama Najib juga menolak bulat-bulat idea Nazri Aziz yang mahu menjadi orang tengah bagi merundingkan dengan pihak pembangkang agar pilihanraya umum diadakan selepas tempoh lima tahun. Idea Nazri ini memang sangat bagus dan mendapat persetujuan banyak pihak. Ini kerana jika pilihanraya diadakan selepas tempoh lima tahun, politiking dapat dikurangkan dan tumpuan kepada rakyat dapat dimaksimumkan.

Dengan memberi alasan bahawa idea itu memerlukan pindaan perlembagaan, Najib juga langsung tidak mahu menerimanya sebagai idea yang baik dan menguntungkan semua pihak. Beliau juga tidak membayangkan mahu melaksanakan idea itu selepas ini jika terus diberi mandat oleh rakyat.

Sekali lagi Najib menolak transformasi yang boleh membawa kebaikan kepada iklim politik negara.

Najib juga terus bersilat untuk menolak berdebat dengan Anwar Ibrahim sambil mengatakan bahawa debat bukanlah budaya kita. Dalam masa yang sama Najib mungkin terlupa bahawa debat sudah diadakan di sekolah dan IPTA sejak sekian lama bahkan debat Piala Perdana Menteri juga sudah lama diadakan dan kerapkali disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Dalam menyembunyikan ketakutannya untuk berdebat dengan Anwar, Najib juga terlupa keangkuhannya sebelum ini yang menyatakan Anwar akan demam jika berdebat dengannya kerana sebagai Perdana Menteri, beliau boleh memperolehi pelbagai maklumat mengenai Ketua Pembangkang itu.

Debat telah diterima sebagai budaya dan ciri penting dalam politik beberapa negara maju dan dalam usaha Malaysia menuju menjadi negara maju, ia juga wajar dibudayakan dalam politik negara. Lagi pula, majoriti rakyat terutama golongan muda amat meminati budaya debat ini. Mereka juga mengalukan debat Najib - Anwar itu diadakan.

Jika mahu melengkapkan transformasi politiknya dan menyemai budaya sihat dalam negara, beliau tidak seharusnya menolak untuk berdebat, jauh sekali untuk mengatakan debat bukan budaya kita. Sekali lagi Najib tidak serius dalam transformasi politiknya.

Melihat beberapa gerak langkah Najib dalam konteks transfomasi politik ini, beliau hanya mahu melaksanakan sesuatu yang menguntungkan dirinya sahaja, sebaliknya menolak sesuatu transformasi yang diterima rakyat atau yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat.

Ini menjadikan semakin banyak beliau bercakap tentang transformasi, di mata rakyat beliau sebenarnya sedang mengkafankan transformasi itu sendiri

No comments: