Kita renungi
bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh
Hasan al-Banna di Mesir. Dalam keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu yang
amat menyedihkan, ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta
jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk
ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada
gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat
sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.
Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di
kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk
melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah
untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad,
dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan
takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan
individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka untuk
berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.
Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang
diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu
memperbaiki diri sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu memperbaiki
dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki masyarakat di
sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin,
Syeikh Jum’ah Amin, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan
diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan amal yang mendekatkan
diri dengan Allah subhanahu wataala.
“Jadilah kamu
hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesan Syeikh Jum’ah Amin.
Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah
rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu
wataala dengan membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari,
qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah
dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wataala.
Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu kepada tentera
Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak
akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.”
Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan
Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji cabaran,
halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam
dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di
seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan
dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada
kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang
menentang.
Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang
mewakili Ikhwan Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh dunia
termasuk gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang diperoleh Ikhwan Muslimin
setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi pencetus semangat buat seluruh
gerakan Islam dunia yang lainnya.
Di sebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat
kemenangan itu bukan diraih hanya disebabkan kepakaran strategi politik
semata-mata, tetapi pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya dengan Allah
subhanahu wataala dalam perjuangan mereka. Melihat kepada anggota Majlis
Parlimen Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari 140 orang hafal
al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai 10,000 hadis. Lebih dari 180
orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari 170 orang bergelar doktor pakar dari
pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Lebih dari 50 orang tidak memiliki kereta
peribadi. Lebih dari 350 orang adalah bekas tahanan politik berkisar 6-10 tahun
penjara dan 4 orang wanita yang bertudung kemas.
Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan
Muslimin gunakan? Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang
bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh?
Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, “ Bagaimana mata ini dapat tertutup
rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di
antara dua tempat..” Teknologi ini telah wujud 1400 tahun yang lalu dan telah
pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan superhuman yang mantap dari kaca
mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan ialah qiamullail.
Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan
Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir. Semoga kemenangan
Islam akan hadir di bumi Malaysia dengan kemenangan Parti Islam pada PRU-13
akan datang.
"Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada
semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi agama ini (untuk
diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya."
Sumber : Harakahdaily
No comments:
Post a Comment