Oleh : Pak Subky Latif
KITA tidak tahu apa telah jadi kepada Rahim Nor yang
dibuang dari Ketua Polis Negara kerana membelasah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berbelas tahun dia hilang tiba-tiba dia keluar dengan
menuduh Nik Aziz Bapa Kafir.
Tidak diketahui dia waraskah atau cacat ingatankah?
Rasanya tiada orang Islam yang siuman boleh
mengeluarkan kenyataan bahawa Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan
itu adalah Bapa Kafir.
Sekalian yang mengenal Ustaz Nik Aziz mengakui beliau
adalah seorang yang soleh. Akhlaknya, ibadatnya dan penampilannya dengan
masyarakat melayakkannya menjadi orang soleh.
Tiada ada makhluk yang boleh menyangka beliau akan
jadi kafir dan mati kafir. Apalah lagi Bapa Kafir. Tuduhan terhadapnya bukan
sekadar kafir biasa disebabkan oleh murtad atau menyengutukan Allah atau Islam
liberal atau jadi ateis, tetapi bapa segala kafir.
Di kalangan makhluk manusia bapa kafir itu adalah
seperti Firaun, Namrud, Abu Jahal dan Abu Lahab. Bapa Kafir ini boleh
lebih teruk dari Iblis. Kafir Iblis tidak mengaku dirinya tuhan. Tetapi Bapa
Kafir seperti Firaun dan Namrud mengaku diri mereka tuhan. Bagi Rahim Nor,
logiknya Tok Guru Nik Aziz itu setara Firaun dan Namrud. Barang dijauhkan
Allah.
Tidak susah bagi Allah hendak menjadikan orang
Islam itu kafir seperti tidak sukar bagiNya hendak memberi hidayat kepada
orang kafir. Iblis yang pernah menjadi tok guru kepada malaikat boleh jadi
kafir yang pertama kerana takburnya, maka mana-mana orang Islam boleh
tergelincir imannya. Tetapi manusia tidak arif untuk membuat telahan seorang
beriman itu kafir apa lagi Bapa Kafir.
Melainkan orang ada cacat fikiran. Orang yang cacat
fikiran perlu berjumpa doktor jiwa atau mendapatkan bantuan bomoh bagi
memulihkan ingatannya.
Mungkin apa yang berlaku adalah gara-gara badi kerana
rasa bersalah memukul Anwar dulu. Atau dia tidak betul semasa memukul Anwar
dulu. Orang yang betul tidak pukul orang macam itu. Tetapi cara memukulnya
macam orang gila.
Atau mungkin juga kerana kesan dari kena buang kerja
dan terganggu hendak bertemu orang disebabkan perbuatannya itu.
Biarkanlah dia dengan keadaannya. Orang pun tidak
terpengaruh dengan kata-katanya. Tiada yang peduli dengannya kecuali oleh orang
yang ada masalah jiwa juga.
Merugikan air liur saja melayannya.
Ada pun Tok Guru Nik Aziz itu tiada kafir dia
kerana orang kata dia kafir. Moga-moga tidak terganggu fikirannya dengan
kata-kata nanar itu.
Sehingga ini tidaklah boleh dikata dia Bapa Kafir
kerana amat bertentangan hakikat itu dengan amal solehnya selama ini.
Tetapi dengan pemerintahannya melayan secara adil baik
rakyat itu Islam atau kafir, menyebabkan ramai orang bukan Islam tertarik
kepadanya malah bukan sekadar melihatnya sebagai pemimpin orang Islam bahkan
pemimpin mereka juga.
Justeru keadilannya itu ramai orang bukan Islam menganggotai
Dewan Himpunan Penyokong PAS. Mereka menerima pimpinannya dan secara sukarela
mahu menjadi penyokongnya.
Subra, Timbalan Ketua DHPP ketika Tok Guru hendak
menunaikan haji ke Mekah datang menyerahkan sampul surat berisi wang
kepadanya dan berkata, ‘Tok Guru! Ini sedikit belanja di Mekah nanti.’
Ada di antara orang bukan Islam menerimanya sebagai
bapa. Kalau ada orang bukan Islam sudah menerimanya sebagai bapa mereka, maka
bolehlah beliau menjadi bapa kepada setengah orang kafir.
Jika ada orang kafir merasakan sebagai bapa, tidaklah
beliau menjadi kafir. Masih beliau seorang yang soleh. Masakan orang kafir
menganggapkan sebagai bapa, maka dia menjadi kafir pula. Tentulah beliau dapat
menyesuaikan diri sebagai orang Islam yang menjadi bapa kepada setengah
orang bukan Islam.
Dalam keadaan demikian beliau tidak boleh Bapa Kafir
seperti yang Rahim Nor kata, tetapi beliau sudah boleh diterima sebagai Bapa
kepada setengah orang kafir.
Kalau Rahim dalam apa keadaan pun kata Nik Aziz
Bapa Setengah Orang Kafir, maka ia betul dan dapat diterima.
No comments:
Post a Comment