Written by Viktor Wong,
Malaysia Chronicle
Secara
umumnya kami merasa amat terkejut dengan langkah kerajaan BN baru-baru ini yang
telah mengagihkan sejumlah besar wang ringgit kepada umum dan selepas itu,
kerajaan BN terus menjanjikan habuan yang lebih besar di masa yang terdekat
lagi, sedangkan ekonomi dunia kini sedang menghadapi kegawatan di mana kerajaan
di kebanyakan negara sedang mengambil langkah-langkah berjaga-jaga dan berjimat
cermat bagi menjamin kestablian ekonomi negara masing-masing.
Persoalannya
adalah, adakah Malaysia ini tidak terasa langsung dengan kegawatan ekonomi
dunia sekarang? Adakah negara kita ini punyai ekonomi yang sekuat negara
gergasi seperti Amerika, China, Jepun ataupun Korea yang membolehkan mereka
mengagihkan sejumlah besar wang kepada orang ramai seperti tidak ada apa-apa
yang sedang berlaku?
Ingin
kami ketengahkan, walaupun negara sekuat mana pun baik Amerika, China, Jepun
mahupun Korea, mereka ini akan tetap merasakan baham kegawatan tersebut dan
negara-negara gergasi inilah yang paling cepat mengatur langkah-langkah untuk
mengimbangi ekonomi negara masing-masing. Hairanya jika sekiranya kerajaan BN
pimpinan perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak ini dapat mengatakan
kepada orang ramai bahawa ekonomi negara ini langsung tidak tergugat oleh
kegawatan ekonomi sedunia ataupun serantau.
Kalau
hendak membohongi mereka-mereka yang tidak berpendidikan ataupun mereka yang
menduduki kawasan pendalaman dan perkampungan yang terpencil yang tidak dapat
menikmati sebarang kemudahan asas, mungkin ianya berjaya dilakukan. Bagi rakyat
yang berpendidikan, mempunyai daya pemikiran yang bijak, tahu mengenai
selok-belok politik dan hal-ehwal negara ini, berdaya maju, mempnyai
pengetahuan dan kepakaran yang mencukupi di dalam semua bidang, bolehkah Najib
melanjutkan skim penipuannya terhadap golongan ini? Sudah tentunya tidak.
Pelbagai bantuan mengejut
Kita
tengoklah berbagai-bagai bentuk skim kewangan diwujudkan kerajaan BN baru-baru
ini yang bertujuan untuk menggembirakan rakyat jelata. Skim Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) yang berjumlah RM500 seorang, skim bantuan tunai segera RM100
seorang untuk semua pelajar dari tahun satu hinggalah ke tingkatan lima.
Selain
daripada itu, baucar buku yang bernilai RM200 turut disalurkan kepada setiap
penuntut universiti, matrikulasi dan para pelajar tingkatan enam tanpa sebarang
syarat. Dan pada awal tahun ini juga, skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara1M)
turut ditawarkan kepada setiap isirumah dengan janji pulangan tetap sebanyak
RM50 sebulan.
Untuk
mengagihkan sejumlah besar wang ringgit ini kepada rakyat jelata, kerajaan BN
telah melantik beberapa buah bank-bank utama di negara ini untuk berbuat
demikian. Apa yang rakyat perlu adalah pergi ke bank yang terdekat untuk menunaikan
wang tersebut setelah mengemukakan baucar ataupun surat pembayaran mereka
kepada kaunter bank tersebut.
Adalah
dianggarkan sebanyak RM100 juta telah diagihkan melalui bank-bank yang dilantik
itu. Dari manakah jumlah sebanyak RM100 juta itu datang? Sudah tentunya asalnya
wang tersebut adalah daripada kalangan rakyat jelata yang telah sekian lama
membayar cukai pada setiap tahun.
Persoalannya
adalah apabila wang tersebut dihabiskan secara spontan untuk rakyat jelata,
bagaimanakah kerajaan BN ini dapat menabung semula dengan begitu cepat sekali?
Adakah Bank Negara telah diarah untuk mencetak lebih banyak wang bagi mengisi
semua perbendaharaan negara? Ada kemungkinan juga? Atau mungkinkah kerajaan BN
ini akan menggadaikan aset-aset negara bagi mendapatkan pinjaman dari
negara-negara kaya.
Jawapan
yang tepat adalah sukar didapati.
Kenaikan mendadak gaji perkhidmatan awam
Pada
suku pertama tahun ini juga, kerajaan BN telah mengumumkan penyusunan semula
gred gaji dan jawatan-jawatan di dalam sektor perkhidmatan awam melalui skim
Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan melibatkan lebih daripada 1.4
juta kakitangan awam di negara ini.
Untuk
makluman umum, perkhidmatan awam di negara kita ini adalah merupakan majikan
yang terbesar di Asia Tenggara.
Walaubagaimanapun
SBPA telah menampakkan kecacatannya dari segi pengagihan kadar kenaikan gaji
untuk mereka yang berpangkat rendah hinggalah ke yang paling tinggi kedudukan
dan ini menyebabkan Kongress Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
membantah dengan keras skim SBPA itu yang disifatkannya sebagai tidak adil
untuk mereka yang berpangkat lebih rendah.
Akibat
daripada bantahan Cuepacs, kerajaan BN terpaksa membatalkan perlaksanaan SBPA
itu dan merengkok kembali kepada skim yang lama iaitu Skim Saraan Malaysia
(SSM).
Perkara
pokok di sini adalah, kenapa para pegawai kanan kerajaan memerlukan kenaikan
gaji yang begitu mendadak sekali, walaupun di dalam skim lama SSM? Kenapa tidak
pula diseimbangkan kenaikan gaji para kakitangan awam yang berpangkat yang
lebih rendah untuk diselaraskan dengan kemampuan mereka berdasarkan kenaikan
kos harian dan kadar inflasi yang begitu tinggi?
Dan
jika sekiranya ianya tidak ditangani dengan segera, adalah dibimbangi jurang
perbezaan di antara mereka-mereka yang kaya, sederhana dan miskin akan
bertambah buruk lagi dan di suatu hari nanti, mungkin golongan yang
berpendapatan sederhana ini akan lesap sama sekali di negara ini.
Jadi
cadangan asal kerajaan BN yang ingin menggembirakan semua kakitangan awam
dengan skim saraan yang baru itu tidak mendapat sambutan malah menerima
bantahan pula daripada Cuepacs.
Adalah
jelas langkah terburu-buru oleh kerajaan BN itu adalah bertujuan untuk
memastikan sokongan para kakitangan awam untuk BN di dalam pilihanraya umum
yang akan datang yang merupakan suatu langkah jangka pendek yang menelan
belanja yang begitu besar sekali.
Banyak agihan wang disalahgunakan
Kita
tengoklah contoh yang pertama iaitu agihan wang di bawah BR1M (sebanyak RM500
seorang). Walaupun BR1M itu pada asalnya disasarkan untuk golongan yang
berpendapatan RM3000 dan ke bawah, namum kita dapati pengagihan wang tersebut
telah banyak kali disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tertentu.
Akibat
daripada itu, kita dapati ada di kalangan golongan kaya raya turut menikmati
pemberian wang sejumlah RM500 seorang itu. Malah kita juga dapati beberapa
orang yang bergelar Datuk turut mendapat bantuan wang tersebut.
Apa
yang sudah terjadi? Kenapa mereka yang kaya raya turut menikmati faedah
tersebut?
Dalam
pada itu, pemberian wang sejumlah RM100 untuk semua pelajar sekolah rendah dan
menengah itu turut disalahgunakan, malah ada pihak yang cuba memalsukan butiran
anak-anak mereka, jumlah pelajar di sesebuah sekolah “ditambah” bagi
mendapatkan wang berlebihan tersebut dan banyak lagi bentuk penipuan.
Bagi
baucar buku RM200 itu pula, ramai penuntut, apabila menerima baucar tersebut
dengan segera mengiklankan baucar-baucar tersebut di dalam laman Facebook untuk
jualan kepada umum dengan harga yang lebih murah untuk mendapatkan tunai yang
cepat. Ianya untung apabila baucar RM200 itu dijual dengan harga RM150, yang si
penjual itu akan mendapat untung kerana tidak mengeluarkan modal, malah yang
membeli itu turut untung kerana mendapat diskaun RM50.
BN menyemaikan budaya negatif
Adalah
amat tepat sekali bahawa kerajaan BN telah menyemaikan budaya yang negatif
dengan agihan sejumlah besar wang ringgit kepada umum, terutamanya di kalangan
anak-anak muda kita.
Apabila
mendapatkan wang tersebut, akan disangka bantuan tersebut akan berterusan selama-lamanya,
dan apabila pemikiran tersebut timbul, wujud pula sikap tidak perlu bekerja
keras untuk menampung masa depan mereka kerana wang akan datang terus kepada
mereka dengan senang.
Akibat
daripada itu, golongan muda mudi ini akan menjadi boros berbelanja tanpa
merasakan bertapa susahnya untuk memperoleh pendapatan dan perlunya untuk
bekerja keras untuk mendapatkan wang tersebut. Apakah akan terjadi di suatu
hari nanti? Anak-anak muda kita ini akan menjadi malas, tidak mahu bekerja,
tidak berdaya saing, tidak mahu berusaha, tidak bersungguh-sungguh di dalam
komitmen mereka dan berbagai-bagai elemen yang negatif lagi.
Persepsi
yang disemaikan oleh kerajaan BN ini semata-mata untuk mendapatkan populariti
murahan dan sokongan untuk pilihanraya umum yang akan datang. Memang keji akan
perbuatan tersebut.
Sudahlah
dengan merosakkan negara ini dengan pelbagai salahguna kuasa, penyelewengan
kewangan, rasuah, penipuan dan peras ugut, ditambah pula dengan kerosakan ke
atas pemikiran rakyat jelata khususnya di kalangan anak-anak muda kita.
Bayangkanlah
apakah yang akan berlaku pada generasi yang akan datang jika sekiranya BN terus
diberi “mandat” untuk memerintah selepas pilihanraya umum yang akan datang?
Dengan
BN lah, negara kita ini mungkin akan kembali ke era tahun 1511 di mana negara
ini akan kembali dijajah dan dibahagi-bahagikan oleh kuasa-kuasa asing.
Malaysia
Chronicle
No comments:
Post a Comment