Rally Bersih 3.0 adalah ikhtiar terakhir untuk mencari keadilan berdemokrasi
Oleh L: Aspan Alias
Khabarnya Bersih 3.0 akan diadakan pada 28hb April ini. Kali ini akan diadakan di Dataran Merdeka dan rally itu akan diadakan juga diseluruh negara dan diseluruh dunia dimana rakyat Malaysia berada. Pak Samad Said akan mengetuai rally itu untuk meminta semua 8 tuntutan Bersih 3.0 itu dipenuhi sebelum pilihanraya diadakan. Malas rasanya untuk mengulangi apa tuntutan-tuntutan pihak Bersih 3.0 itu tetapi semua tuntutan itu merupakan tuntutan yang asas bagi sebuah demokrasi.
Tuntutan-tuntutan itu bukannya tuntutan yang bukan-bukan tetapi kesemuanya adalah perkara-perkara yang asas bagi sistem pilihanraya dalam negara-negara demokrasi. Tinggal lagi pihak yang sedang memerintah sekarang berasa payah untuk memenuhinya kerana mereka sudah terlalu biasa dengan kerja-kerja cincai dan mengambil semuanya ‘for granted’. Apabila rakyat menuntut semua perkara yang asas ini maka mereka (pemerintah) merasakan itu semuanya sebagai tuntutan yang bukan-bukan dan terlalu payah untuk dilaksanakan.
Tetapi apakan daya rakyat kita seperti rakyat yang ingin merasakan hidup seperti dalam negara yang maju, sistem pemilihan dalam pilihanraya yang sempurna mengikut standard pilihanraya umum itu adalah isu yang sangat penting. Bagi diri saya pula, saya memandang isu ini sebagai isu yang kecil sahaja jika kerajaan yang memerintah mempunyai nilai ‘civility’ yang tinggi.
Tetapi itu bukan keadaanya didalam pemerintahan pada dinihari. Pihak yang memerintah pada hari ini terlalu obsess untuk terus berkuasa dan tidak mempunyai sikap ‘gentleman’ yang didalam demokrasi ini dan tidak bersedia menerima kekalahan. Menggilirkan pemerintahan itu adalah perkara yang biasa didalam sesuatu demokrasi. Rakyat boleh memberikan mandat kepada siapa dan pihak mana yang mereka rasakan boleh dipercayai dan lebih meyakinkan mereka (rakyat).
Tetapi oleh kerana rakyat selama ini telah memberikan keyakinan kepada BN sejak merdeka dahulu, maka mereka (BN) merasakan jika ada kecenderungan rakyat untuk memberikan mandat itu kepada pihak lain yang lebih meyakinkan, mereka (BN) menganggap itu sebagai dosa besar rakyat kepada mereka. Unsur yang sudah terbalik ini jelas sedang menyelubungi pimpinan kerajaan hari ini dan mereka tidak mahu kuasa pinjaman dari rakyat itu terlepas dari genggaman mereka. Untuk memisahkan mereka dengan kuasa yang mereka salahgunakan itu ibarat mengasingkan kulit dengan daging.
Tetapi rakyat sudah memberikan segala-galanya kepada mereka (BN) selama ini tetapi kebaikkan budi dan keyakinan yang diberikan oleh rakyat selama ini telah disalahgunakan oleh mereka (BN) dan seperti yang saya sebut tadi, mereka (BN) mengambil kebaikkan rakyat selama ini dianggapnya sebagai kelemahan dan mereka (BN) boleh lakukan segala-galanya sesuka hati tanpa mengambil kira perasaan rakyat yang sudah lama terguris..
Sejak beberapa pilihanraya yang lalu pihak (BN) dikatakan telah menggunakan taktik yang kotor untuk terus berkuasa dan salah satu dari taktik kotor itu ialah dengan memberi hak mengundi kepada pendatang asing dengan cara haram. Inilah salah satu perkara dan isu yang ditentang oleh pihak parti-parti alternatif kerana mereka merasakan yang mereka ditipu dan diperlakukan dengan perkara-perkara serta taktik yang terlalu tidak boleh diterima oleh sistem demokrasi itu sendiri.
Sekarang BN sedang menghadapi tekanan dari rakyat dan tekanan ini merunsingkan BN kerana apa-apa kesalahan yang mereka lakukan pada masa lampau sudah tidak lagi diterima oleh rakyat. Rakyat mahukan pilihanraya yang transperan dan tidak mahu lagi melihat calon-calon
BN memenangi pilihanraya apabila peti-peti undi orang asli atau peti-peti undi pos yang keadaannya begitu ‘dubious’ pada pandangan rakyat. Rakyat mahukan ahli-ahli legistatif yang mendapat sokongan dan undi yang ‘legitimate’ dan bukannya mereka yang masuk ke dewan Legislatif secara yang meragukan. Pemimpin-pemimpin parti kerajaan wajar belajar untuk menjadi pemimpin yang ‘legitimate’ supaya jiwa akan lebih merasa tenang dan tenteram dari merasa bersalah kerana mereka tahu yang setengah diantara mereka itu memenangi kerusi dalam pilihanraya secara yang tidak betul.
Hanya saya berharap agar Bersih3.0 itu dibenarkan oleh pihak berkuasa dan bantu mereka yang pergi ke rally tersebut supaya tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini. Orang ramai yang akan datang itu nanti hanya hendak menunjukkan perasaan tidak puas hati dengan hanya duduk secara aman di Dataran Merdeka pada hari itu. Rakyat ada hak untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka kerana negara ini adalah negara mereka juga. Negara ini bukan hanya untuk OKU-OKU (orang kuat UMNO) sahaja tetapi juga hak semua rakyat.
Kita tidak mahu negara ini dijadikan sebagai sebuah ‘police state’. PDRM itu adalah polis rakyat bukannya polis BN atau pun polis UMNO. Jika PR yang memerintah nanti polisnya adalah polis yang sama juga. Pihak berkuasa terutamanya pihak polis wajar bertindak adil dan tidak bertindak seperti ‘limau masam sebelah’. Rakyat tidak mahu pegawai polis seperti Datuk Khalid Abu Bakar yang memihak dalam isu Bersih yang lalu.
Yang akan menghadiri rally itu nanti bukan penjenayah. Mereka adalah rakyat dari berbilang kaum yang tidak berpuas hati terhadap keadaan politik yang menyelubungi negara pada hari ini.
Secara peribadi, saya menyokong sepenuhnya tindakan untuk mengadakan rally Bersih 3.0 ini kerana itu sahaja cara yang tinggal untuk menzahirkan manifestasi rakyat jelata. Isu ini adalah isu penting untuk rakyat kerana pilihanraya yang bersih adalah asas kepada kesetabilan politik negara kita yang di diami olih banyak kaum dan cara hidup yang berbeza-beza ini.
No comments:
Post a Comment