KUALA LUMPUR- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan bahawa pihak yang ghairah dan sedemikian bernafsu menuduh orang lain pro Yahudi menghentikan bersikap hiprokit.
Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sikap hipokrit yang ditunjukkan oleh kenyataan pemimpin-pemimpin kerajaan yang sayangnya juga didukung oleh sebahagian pemimpin NGO dan tokoh masyarakat, telah mengelirukan rakyat sehingga semua pemberitaaan yang diolah oleh media arus perdana menutup kebenaran.
“Jelas Tun Dr Mahathir Mohamad yang menulis surat kepada tiga Perdana Menteri Israel - Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak lebih rasmi mengadakan perhubungan dengan Israel.
“Apakah pemimpin kerajaan dapat menafikan hakikat bahawa sejak zaman Tun Mahathir sendiri lagi isyarat untuk mengadakan hubungan dengan Israel sudah mula dirintis?” tanya beliau dalam satu kenyataan.
Sebelum ini Harakahdaily membuat pendedahan eksklusif hubungan dagang antara Malaysia dengan Israel yang berjalan sekurang-kurangnya sejak tahun 2001 kalau tidakpun sebelum itu.
Kerajaan pula mendedahkan surat antara Tun Dr Mahathir dengan pemimpin Israel.
Katanya, rakyat selama ini telah dikaburi dengan sandiwara pemimpin negara bahawa kononnya Malaysia sama sekali tidak berhubung dengan Israel.
Justeru, tegasnya Mapim menuntut agar kerajaan mengisytiharkan dengan jelas apakah sebenarnya dasar perhubungan luar antara Malaysia dengan Israel.
Beliau berkata, nampaknya semua fakta yang mula terdedah jelas menunujukkan bahawa Malaysia sememangnya ada hubungan dengan Israel.
Menurutnya, dunia akan melihat dasar hipokrit yang akan menelanjangkan Malaysia di kacamata seluruh masyarakat antarabangsa.
Katanya, di satu pihak Malaysia nampak sangat lantang mengutuk Israel, akan tetapi di pihak yang lain kerjasama perdagangan ekonomi sangat subur antara dua negara itu.
“Sekarang PM tidak boleh lagi berselindung bahawa memang benar beliau telah mengupah APCO sebuah syarikat konsultan komunikasi Israel untuk membantu memperbaikki imej pemimpin BN,” ujarnya lagi.
Mapim, ujarnya menegaskan bahawa polisi yang tidak konsisten itu akan meletakkan imej Malaysia sebagai negara yang tidak berintegriti dalam hubungannya dengan Israel.
Malah, kata beliau akan menjadi momokan seluruh dunia bila Malaysia adalah antara negara yang aktif berdagang dengan Israel tetapi dalam masa yang sama sering mengutuk Israel.
“Dengan tidak mengiktiraf Israel tetapi aktif berdagang dengan Israel sudah cukup bagi Israel untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rakannya yang strategik untuk menjaga kepentingan Israel dengan cara yang paling efektif,” katanya.
Malah, katanya dengan mengambil syarikat Israel untuk menjadi penasihat komunikasi untuk menaikkan imej pemimpim kerajaan dan juga melantik syarikat Israel untuk menguruskan data keselamatan negara akan menjadikan Malaysia sebagai alat Israel yang mudah diolah untuk menjaga kepentingan Israel.
Tegasnya, Mapim tidak dapat menerima dan membantah keras pemimpin negara yang secara rahsia mengadakan hubungan dengan Israel.
“Kerajaan perlu memastikan bahawa semua urusniaga yang dilakukan oleh syarikat Malaysia dengan Israel dikawal dengan rapi dan mengujudkan polisi mengharamkan sebarang urusan perdagangan dengan Israel,” katanya lagi.
-Harakahdaily
1 comment:
kita berpijak pada bumi yang nyata. buka biji mata...lapangkan hati. Bercakap biar bersertakan bukti!!!
Post a Comment