DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Sunday, March 4, 2012

AZIZAN KEKAL, 2 EXCO DIMINTA TERIMA TAWARAN

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHID
5 Mac 2012



KUALA LUMPUR - Misi damai yang diusahakan Pas Pusat telah mencapai tiga langkah penyelesaian dengan mengekalkan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar Kedah selain meminta dua Exco, yang sebelum ini menolak tawaran dilantik semula bagi penggal 2012/2013, akan terus kekal dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.

Difahamkan, ekoran keputusan itu, Azizan akan kekal sebagai Menteri Besar sehingga Pilihan Raya Umum ke-13, yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat meskipun mandat semasa hanya akan berakhir suku kedua tahun depan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, berikutan pertemuan khas bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Alor Setar, yang hanya berakhir jam 3 pagi semalam, Azizan telah diminta meneruskan tugasnya seperti biasa.

"Selain itu, Pas Pusat juga sebulat suara mahu Datuk Ir Phahrolrazi (Zawawi) dan Dr Ismail Salleh kembali sebagai Exco dalam pentadbiran negeri Kedah," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Selain dua langkah itu, Pas Pusat akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu untuk sama-sama bertanggungjawab memantau dan memberi pandangan kepada negeri-negeri yang diterajui Pas dan juga negeri-negeri yang Pas adalah sebahagian daripada pentadbiran negeri tersebut.

Pakatan Rakyat yang dianggotai Pas, PKR dan DAP menerajui kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Azizan merupakan Menteri Besar penggal pertama dan menerajui kerajaan negeri Kedah sejak Mac 2008. Selain Kedah, wakil Pas juga merupakan Menteri Besar bagi Kelantan iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyandang jawatan itu sejak 1990.

Pada pertemuan khas misi damai yang berlarutan lebih lima jam, Dr Ismail tidak hadir tetapi keputusan sebulat suara itu telah dimaklumkan kepada beliau.

"Kedua-dua Exco sudah tahu keputusan ini, dan itu yang kami putuskan," kata Mustafa lagi.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua Exco telah memberi jawapan atau tidak, Mustafa berkata, pihaknya optimis yang kedua-dua mereka akan kembali menerima tawaran pelantikan semula.

Kemelut kepimpinan Pas Kedah tercetus apabila Phahrolrazi dan Dr Ismail meminta untuk tidak dilantik semula kerana dikatakan tidak selari dengan Azizan sehingga memaksa campur tangan kepimpinan Pas Pusat.

Selepas kedua-dua mereka menolak tawaran pelantikan semula, hanya lapan orang mengangkat sumpah pada Selasa lalu. Mandat sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah akan berakhir Rabu ini.

Susulan perkembangan itu, Pas Pusat menghantar Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub sebagai 'duta khas' bagi mencari jalan penyelesaian dan satu pertemuan diatur antara barisan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhububungan Negeri Kedah.

Di Kedah, Azizan merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri manakala Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing adalah timbalannya.

Sumber : Sinar Harian

No comments: