DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Wednesday, February 29, 2012

'UNDI MELAYU PECAH, MEMANG ADA HIKMAH'

RUZY ADILA IDRIS & ZULAIKHA ZULKIFLI
29 Februari 2012



SHAH ALAM – Perpecahan undi di kalangan orang Melayu harus dilihat sebagai satu kebaikan dan hikmah, malah mampu menjadikan rakyat negara ini matang dalam membuat pemilihan terbaik pada pilihan raya umum.

Sebelum ini, rata-rata pemimpin politik dan penganalisis mendakwa orang Melayu sudah berpecah kepada tiga kumpulan sejak selepas pilihan raya umum 2080.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia berikutan daripada proses semak dan imbang yang ada dalam al-Quran, memberi keuntungan kepada kaum Melayu dan rakyat negara ini pada amnya.

Beliau juga berkata, proses semak dan imbang itu perlu bagi menyemak dan mengimbangi urusan pentadbiran negara.

Jelasnya lagi, rakyat juga perlu memastikan agar Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) mendapat dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya akan datang.

"Saya menolak pandangan pihak yang melihat perpecahan ini satu keburukan kerana bila dilihat, perkara ini menyebabkan tiada pihak yang terlalu berkuasa dan berpeluang mengumpul kekayaan. Orang Melayu sebenarnya sejak dari dulu lagi sudah berpecah. Ketika wujudnya dua parti yang mewakili etnik Melayu iaitu Umno dan Pas, undi Melayu pecah. Maka, dengan dua kelompok ini boleh semak dan imbang seperti yang diunjurkan oleh Islam.

“Sistem dua parti, BN dan PR yang kita amalkan sekarang amat baik sekali, dan ia menjamin masa depan negara yang cerah,” katanya pada Wacana Sinar Siri Ke-11 bertajuk

"Mengapa Undi Melayu Pecah?" anjuran Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
Menjawab soalan Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim, mengapa Pas lebih rela bekerjasama dengan DAP berbanding Umno, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menjelaskan: "Kita lebih rela minum kopi bersama DAP dan PKR daripada minum arak dengan Umno."

"Asas kerjasama itu ialah kebersamaan atau 'maqasid' bagi mendapatkan keadilan. Apakah Umno boleh jamin 40 peratus isi rumah penduduk negara ini berpendapatan RM1,500, sedangkan kini hampir 80 peratus isi rumah orang Melayu hanya berpendapatan RM1,000 sebulan. Apa yang berlaku?" katanya lagi.
Justeru, Dzulkefly ingin menjadikan Pas sebagai 'political actor' yang kritikal dan 'active player' dalam negara.

"Muafakat Melayu, Cina dan India sudah tidak relevan dalam politik. Apa yang kita mahu jalankan ialah politik baru iaitu sistem pelbagai parti dengan mengiktiraf Islam. Dalam Islam tidak timbul perpecahan dan pokoknya ialah urus tadbir politik," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata, kini sebahagian besar rakyat mula menyokong idealisme baru - PR walaupun masih ada yang mahu kekal dengan kerajaan sedia ada.

Katanya, melihat pada perkembangan ekonomi negara, rakyat dilihat sudah hilang kepercayaan untuk bersama kerajaan dan mahu kuasa diberi kepada parti lain.

"Semua orang sudah boleh berfikir dan melihat sendiri. Pendekatan kerajaan lama hampir menyebabkan negara kita hampir muflis. Undi orang Melayu berpindah dan bukan lagi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana beberapa faktor.

"Antaranya adalah memberi kekayaan kepada kroni. Itulah orang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Tetapi dengan idealisme PR, perkara ini akan dihapuskan di mana prinsip utama adalah merakyatkan sumber ekonomi - sama-sama mendapat keuntungan dan bukan hanya satu pihak sahaja," katanya.

Dalam pada itu, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat pula berkata, parti yang ada tidak perlu hanya melakukan kerja secara bermusim.

Jelasnya, adalah lebih baik sekiranya undi diberikan pemimpin yang bekerja untuk rakyat sepanjang masa dan bukan pada musim tertentu.

"Bila menjelang pilihan raya, muncullah orang-orang politik yang menonjolkan diri mereka. Jadi undilah mereka yang membela rakyat sepanjang masa dan ikhlas, bukan oportunis," katanya.

Bagi Ruslan pula, beliau yakin dengan tindakan lantang Perkasa bersuara mengenai sesuatu isu, dapat memberi peluang dan ruang kepada rakyat membuat pilihan serta menyuarakan sokongan mereka.

Beliau berkata lagi, Perkasa juga tidak mahu dilihat sebagai sebuah pertubuhan yang hanya memberi fakta salah.

"Dalam perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, banyak pihak membuat andaian walaupun mahkamah belum menjatuhkan hukuman.

“PR dilihat cuba mengelirukan rakyat. Mahkamah telah membuat keputusan, malah ia berbeza dengan andaian mereka. Oleh itu Perkasa tampil bersuara agar rakyat tidak terpengaruh. Tugas kami sejajar dengan agenda penubuhan Perkasa yang mahu orang Melayu mendapat pembelaan dan mendapat penjelasan sebenar berhubung sesuatu perkara. Tuduhan bahawa Perkasa cuba memecah-belah orang Melayu di negara adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments: