DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Thursday, February 16, 2012

POLA PEMIKIRAN POLITIK UMNO DAN PAS –SIRI 2

Nasionalisme Melayu dan Islam

SEJAK mula berpisah daripada UMNO dan memperjuangkan perbezaan yang nyata antara kedua-dua pertubuhan politik mengenai kerakyatan dan sistem negara, PAS membawa fahaman sendiri yang berasaskan kepada nasionalisme Melayu dan agama Islam.

Negara ini adalah negara orang Melayu dan tidak seharusnya diserahkan kepada orang lain. Mereka menolak usaha memberikan kerakyatan kepada orang asing yang tinggal di negara ini.

Mereka juga membantah orang bukan Melayu diberikan hak mengundi. Pendirian mereka adalah berasaskan nasionalisme Melayu yang kental.

Pada tahun 1956, Dr. Burhanudin Hilmi yang mengetuai PAS telah membawa kefahaman lebih luas dan mendasar kepada cita-cita nasionalisme Melayu.

Baginya, nasionalisme Melayu tidak hanya terbatas kepada nasionalisme Melayu di Malaysia sahaja. Melayu, baginya, adalah rupa bangsa bagi penduduk di seluruh nusantara.

Melayu adalah rupa bangsa yang menjadi acuan kepada pelbagai golongan etnik di nusantara ini. Sejak kemasukan Dr. Burhanudin ke dalam PAS, wajah ideologi PAS itu menjadi lebih jelas dan PAS memperjuangkan tertegaknya Melayu Raya yang menyatukan seluruh umat di nusantara.

Bagi Dr. Burhanudin, nasionalisme Melayu yang diperjuangkan oleh PAS tidak bertentangan dengan Islam kerana sifatnya yang universal.

Melayu, baginya, hanyalah rupa bangsa dan isinya adalah Islam. Gambaran yang diberikan oleh PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanudin memang indah. Ia adalah suatu idealisme yang sungguh menarik.

Pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk Tunku Abdul Rahman, sebelum dilantik menjadi pemimpin UMNO, juga mempunyai semangat nasionalisme Melayu yang pekat. Beliau pernah berkata bahawa penjajah telah mengambil negara ini daripada orang Melayu dan ia mestilah dipulangkan kembali kepada orang Melayu.

Meskipun Tunku tidak pernah menyuarakan idea Melayu Raya seperti Dr. Burhanudin namun idealisme Melayu itu turut disokong olehnya. Tetapi idealisme itu terlalu jauh untuk dijangkau oleh orang Melayu. Ia merupakan buah ranum yang jauh di hujung dahan, tetapi tiada galah yang dapat mengaitnya.

Orang Melayu yang kebanyakannya masih buta huruf dan dalam keadaan miskin dan lemah, bukan sahaja tidak mampu menghayati idealisme itu, bahkan mereka tidak dapat memahaminya.

Kerana itu, pendekatan politik yang lebih sesuai bukan pendekatan yang memasarkan idealisme pada ketika ini, tetapi pendekatan yang realistik dan menumpukan perhatian ke arah memajukan orang Melayu dan memperbaiki kehidupan mereka tanpa melihat apakah ideologi yang patut dianuti oleh mereka.

Pendekatan inilah yang diambil oleh UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. Orang Melayu tidak boleh dimajukan dalam suasana kacau-bilau dan perpecahan kaum. Keamanan dan kestabilan politik adalah penting untuk merancang pembangunan memajukan orang Melayu.

Kerana itu kerjasama antara kaum adalah perlu. Perkongsian kuasa adalah jalan sebaiknya untuk kerjasama yang dikehendaki.

Negara ini tidak boleh dianggap sebagai negara orang Melayu sahaja. Negara ini mestilah dibina sebagai negara berbilang kaum sebagaimana adanya.

Namun dalam perkongsian kuasa itu dan dalam pembentukan masyarakat majmuk, orang Melayu adalah terasnya dan UMNO menjadi tulang belakang kerjasama politik dalam perikatan.

Satu formula politik dan kemudiannya menjadi formula negara Malaya baru telah dipersetujui yang mengandungi prinsip:

* Orang bukan Melayu menerima kedudukan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

* Orang bukan Melayu menerima agama Islam sebagai agama rasmi negara ini dengan agama-agama lain bebas diamalkan.

* Menerima dan menghormati hak-hak keistimewaan orang Melayu

* Orang Melayu bersetuju memberikan hak kerakyatan kepada kaum-kaum lain yang bermastautin di negara ini sebelum merdeka dan yang lahir di negara ini selepas kemerdekaan.

* Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan mengakui hak bahasa-bahasa lain untuk terus digunakan di negara ini oleh kaum-kaum berkenaan.

Formula ini terus menjadi landasan politik negara dan menjadi asas sebuah negara bangsa (nation buiding). Formula politik inilah yang berjaya membawa Malaysia kepada kedudukannya sekarang.

Sementara UMNO dengan pola politiknya yang lebih terbuka, PAS masih lagi terkial-kial mencari hala tujunya yang sebenar dalam perjuangan politik.

Oleh kerana konsep Melayu Raya yang diperjuangkan pada zaman Dr. Burhanudin itu ternyata tidak praktikal dan tidak relevan dengan realiti politik di negara ini, PAS pada zaman Datuk Asri tidak lagi mendukung konsep itu.

PAS terus menjuarai perjuangan Melayu dan agama Islam, tetapi belum dapat menerima konsep berkongsi kuasa dengan orang bukan Melayu.

Dalam keadaan di mana orang bukan Melayu juga mempunyai hak mengundi, peluang untuk PAS berkuasa adalah tipis jika PAS mengekalkan pendekatan politik seperti ini, kecuali di beberapa buah negeri di mana orang Melayu memiliki majoriti besar seperti di Kelantan dan Terengganu.

Harapan Pas untuk memerintah seluruh Malaysia dengan pendekatan kemelayuan ini bolehlah diibaratkan sebagai `jauh panggang dari api.'

Bersambung pada siri ke-3 : KRISIS PEMIKIRAN UMAT ISLAM KINI

No comments: