Wartawan Sinar Harian
14 Februari 2012
SHAH ALAM - PKR mendakwa pemerintah Malaysia memperlihatkan pendirian tidak konsisten dalam isu membela nasib rakyat Palestin dengan pernah menolak kerajaan sah yang dipilih enam tahun lalu.
Dengan merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang membidas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bersikap dua wajah dan menegaskan, kononnya Malaysia sentiasa memberi sokongan secara konsisten terhadap perjuangan Palestin, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menyoal sama ada Perdana Menteri perlu diingatkan bagaimana layanan kerajaan Malaysia terhadap pemimpin negara Palestin, yang sah dipilih secara demokrasi pada pilihan raya 25 Januari 2006.
Pendirian ini dikeluarkan ketika kenyataan Anwar dalam temu bual dengan Wall Street Journal bulan lalu muncul kontroversi dengan pemimpin-pemimpin Umno dan pertubuhan bukan kerajaan mengecam Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.
Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa Anwar menarik balik kenyataan itu ataupun menyaman akhbar tersebut.
"Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh dipilih sebagai ketua kerajaan yang kemudiannya melantik Menteri Luarnya, Dr Mahmoud AlZahar. Malaysia pada Mei 2006 telah menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Negara-negara Berkecuali (NAM), anehnya telah membelakangkan kehadiran Dr Mahmoud AlZahar sebagai Menteri Luar sah kerajaan Palestin dan sebaliknya mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu bekas Menteri Luar Palestin, sewaktu kerajaan Fatah sebelum pilihan raya 25 Januari 2006," kata Saifuddin lagi.
Saifuddin menambah, "pada persidangan tersebut Farouk Qadummi dijemput berucap sebagai wakil rasmi kerajaan Palestin."
"Hal ini tidak sukar difahami kerana Perdana Menteri Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang mewakili Hamas yang pada kaca mata Amerika Syarikat dan Israel adalah satu kumpulan pengganas," katanya lagi.
Menurut Saifuddin, hakikat bahawa Hamas menang pilihan raya secara bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Israel terhadap Hamas yang telah berjaya membentuk kerajaan Palestin yang sah.
"Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan Hamas. Adalah menjadi pengetahuan umum Amerika Syarikat dan Israel lebih bersikap lunak terhadap kumpulan Fatas yang tewas pilihan raya," katanya lagi.
Menurut Saifuddin, Mahmoud AlZahar yang kecewa dengan layanan Malaysia kemudiannya memulau Sidang Kemuncak NAM tersebut.
"Beliau menemui pimpinan Pas termasuk Timbalan Presiden ketika itu Nasarudin Mat Isa. Mahmoud AlZahar turut mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau.
"Malahan Nasarudin kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia sebagai ‘biadap'," kata beliau lagi.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang menambah, insiden tersebut memberikan bukti jelas bagaimana tidak konsistennya dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin.
"Insiden ini menjadi bukti bahawa dasar luar Malaysia terhadap Palestin sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap Palestin.
"Insiden ini mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan tewas dalam pilihanraya," katanya.
Tegas beliau, hanya kerana Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan Hamas pada ketika itu, maka Malaysia juga akur.
"Bukankah fakta ini dengan sendirinya menolak kenyataan Najib, sebaliknya mengesahkan bahawa dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin sebenarnya tidak konsisten?" katanya.
Sumber : Sinar Harian
Baca juga artikel ini :
No comments:
Post a Comment