ZULAIKHA ZULKIFLI
13 Februari 2012
SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat kegagalan dua juta orang Melayu dan Bumiputera, yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih, ekoran pelbagai sebab dan faktor sebagai satu tragedi kepada pertumbuhan kesedaran berpolitik dan demokrasi negara ini.
Prof. Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya menegaskan, kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar minggu lalu menjadi satu "tragedi" dalam sistem demokrasi negara.
Jelasnya, jika orang Melayu dan Bumiputera tidak berperanan dalam politik tanah air, maka ia akan menjadi musibah bagi kaum itu sendiri.
"Saya merasakan ada beberapa perspektif mengapa orang Melayu tidak mahu mendaftar sebagai pengundi. Pertama adalah disebabkan mundurnya kesedaran politik dan yang kedua, orang Melayu dilihat tidak bertanggungjawab untuk menentukan masa depan negara mereka," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Seramai dua juta orang Melayu dan Bumiputera daripada 3.7 juta individu yang layak mengundi masih belum mendaftar dan 60 peratus daripada jumlah itu adalah mereka berusia bawah 40 tahun.
Selain itu, menurut Abu Hassan, tahap intelektual di kalangan masyarakat Melayu juga akan menjadi rendah jika tidak mengambil berat tentang kepentingan mereka untuk menjadi pengundi.
Katanya, untuk memahami bagaimana pentingnya peranan politik dalam menentukan peradaban tanah air pada masa akan datang, kuasa mengundi perlu dipandang serius oleh semua pihak tidak kira sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR).
Selain itu, Abu Hassan berpendapat, keadaan itu juga berpunca daripada beberapa faktor lain, antaranya, kesan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Jelas beliau, kesedaran politik dalam kalangan mahasiswa semakin rendah dan merosot disebabkan Auku kerana politik tidak dapat disebarkan dalam universiti dan dibincangkan secara terbuka.
"Kesedaran bahawa politik itu penting dalam menentukan kestabilan politik, sosial dan ekonomi sudah tiada dalam jiwa mahasiswa yang berada di institusi intelektual yang paling tinggi. Ini adalah kesan daripada Auku kerana akta ini menekan mereka. Ini kesan langsung terhadap dasar politik yang belum demokrasi.
"Mahasiswa kini melihat politik sebagai ancaman dan tidak mendatangkan faedah apabila ada pihak yang mengatakan jika terlibat dengan politik, maka mereka akan gagal dalam peperiksaan dan kerjaya. Perkara ini sudah ditanam sejak tahun 1970-an lagi. Ini adalah kesan peradaban yang sangat dahsyat. Sistem demokrasi perlu berubah dengan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara demokrasi terpimpin," tegasnya.
Abu Hassan turut tidak menolak sekiranya keputusan pilihan raya akan datang akan terjejas berdasarkan jumlah yang belum berdaftar dan akan memberi kesan kepada parti yang bergerak berlandaskan kuasa politik Melayu.
Sementara itu, seorang lagi pemerhati politik, Prof. Madya Dr Azmi Sharom berpendapat, kemungkinan dua juta orang Melayu dan lebih sejuta kaum lain yang belum mendaftar adalah disebabkan kerajaan yang ada kini tidak pernah "ditukar."
Tambahnya, golongan muda juga dilihat tidak berminat dengan politik dan perkara ini membawa satu petanda mengenai kedudukan itu.
"Mereka yang tidak mendaftar ni ada beberapa sebab. Mungkin (pentadbiran) negara kita tidak pernah bertukar kerajaan dan mereka merasakan tidak perlu lagi mengundi kerana keputusannya akan sama. Jadi ada yang merasakan mengundi itu tidak penting.
"Golongan muda juga kebanyakannya tidak minat dan tidak ambil kisah dengan politik negara. Mungkin juga kerana mereka tidak percaya pada sistem yang ada," katanya.
Bagaimanapun, Azmi berpendapat, sistem pendaftaran semasa, yang digunakan oleh SPR tidak perlu kerana setiap warganegara mempunyai kad pengenalan yang sudah tertera tarikh lahir dan alamat kediaman.
"Buat apa kita nak mendaftar lagi. Dalam kad pengenalan sudah ada alamat, kita boleh tahu umur seseorang. Kalau nak mengundi tempat baru, cuma perlu tukar alamat yang ada pada kad itu. Jadi, mengapa kita menyusahkan sistem? Kita sudah ada sistem pendaftaran (Jabatan Pendaftaran Negara), kenapa perlu menambah lagi," soalnya.
"Tiap-tiap undi adalah penting. Kalau kita betul-betul kisah siapa yang akan jadi pemerintah dan masa depan negara, kita mesti mengundi," katanya.
Sumber : Sinar Harian
Artikel berkaitan : Hebat berpolitik, Melayu liat daftar jadi pemilih
No comments:
Post a Comment