MINGGU ini merupakan minggu yang sangat dinanti-nanti banyak pihak dalam Pakatan Rakyat. Pihak yang satu lagi (BN/UMNO) juga sudah tentu memasang mata dan telinga dalam masa yang sama.
Semuanya kerana jangkaan ramai bahawa perbalahan yang timbul berhubug dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam The Wall Street Journal (TWSJ) untuk melindungi keselamatan negara Israel, akan berjaya diselesaikan.
Tapi sebelum itu berlaku, penulis ingin menarik perhatian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya kembali menghayati piagam Madinah antara Rasullallah saw dengan kaum Ansar, Muhajirin dan beberapa kumpulan orang Yahudi seperti bani Qainuqa, Quraizah dan Nadir.
Penulis tidak mahu mengulas lanjut mengenai Piagam Madinah ini tapi yang lebih penting ialah bagaimana Nabi Muhammad saw berjaya menyatukan puak-puak yang bertelagah di Madinah, termasuklah seperti yang disebutkan di atas itu, puak Yahudi dengan menggunakan pendekatan diplomasi dan muafakat.
Tidak setakat mendamaikan dan menyatukan antara puak-puak yang bertelah tetapi dalam perjanjian ini juga, semua pihak berjanji untuk melindungi keselamatan antara satu sama lain. Dalam erti kata mudah, orang Islam akan melindungi keselamatan kaum Ansar dan Yahudi, serta sebaliknya.
Tidak keterlaluan kalau penulis katakan, Nabi Muhammad saw sendiri pada zamannya telah membuat perjanjian untuk melindungi keselamatan orang Yahudi Madinah!!!
Kalau disesuaikan pula pendekatan itu dengan zaman sekarang, ia sangat mirip dengan usaha yang sedang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan konflik Arab Israel ini. Cuma dalam konteks piagam Madinah itu, yang dilindungi ialah keselamatan bangsa Yahudi Madinah kerana ketika itu tidak wujud lagi sebuah negara orang Yahudi seperti Israel sekarang.
Bukankah ini dalil sahih untuk mengatakan bahawa tindakan dan kenyataan Datuk Seri Anwar itu adalah tepat dari segi syariat Islam?
Sebagai orang yang mendakwa diri sebagai ulama tersohor, penulis tidak faham bagaimana Nik Aziz boleh terlepas pandang akan hal ini. Piagam Madinah adalah ‘idaman’ mana-mana pihak mengaku dirinya ingin mendaulatkan sebuah negara Islam, dengan PAS tidak terkecuali.
Tapi bila Anwar menggunakan pendekatan yang sama untuk menyelesaikan konflik Arab Israel ini, kenapa pula beliau dilabel dengan bermacam-macam label yang tidak baik?
Soal rejim Zionis hari ini menindas, membunuh dan memenjarakan orang Islam Palestin, itu perlu dlihat dari konteks yang berbeza. Pada penulis, tindakan itu adalah lebih kepada faktor keselamatan rakyat Israel sendiri. Pendekatan yang diambil itu mungkin salah tapi tidak bermakna kita tidak boleh pada bila-bila masa menegur mereka.
Banyak negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel hari ini mengamalkan konsep sama.
Lagipun, Israel tidak merampas atau mencederakan mana-mana rakyat negara ini, jadi tidak timbul masalah untuk kita mengadakan kerjasama dengan Israel dan melindungi keselamatan mereka dalam masa yang sama.
Faktor inilah yang menjadi hemat penulis, kurang difahami PAS dan Majlis Syura Ulama yang mengambil pendekatan UMNO untuk ‘menghakimi’ Anwar dalam isu ini.
Penulis yakin, UMNO/BN juga faham akan hakikat ini tapi sengaja memilih jalan ‘berbalah’ dan malangnya, langkah tersebut turut menjadi ikutan PAS (dengan mengeluarkan surat penjelasan kepada Anwar).
Penulis dimaklumakan, inilah pendekatan yang akan digunakan Anwar dalam pertemuan dengan Nik Aziz di Kuala Lumpur nanti. Penulis tidak nampak bagaimana PAS mampu menolak pendekatan sedemikian kerana ia jelas menurut tindak tanduk sama Nabi Muhammad saw pada zamannya.
Harap dapat perhatian dan tindakan sewajarnya dari pihak Tuk guru.
Artikel Berkaitan:
No comments:
Post a Comment