DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Wednesday, February 22, 2012

DEBAT DAP-MCA


Nota editor: Debat di antara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang diadakan dalam bahasa Mandarin di Kuala Lumpur pada 18 Februari 2012 dijalankan dalam keadaan yang berat sebelah di mana hampir semua penyokong adalah daripada MCA, semua kecuali satu soalan daripada hadirin adalah daripada MCA dan semuanya bersifat menyerang peribadi Guan Eng.

Berikut adalah transkrip debat yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.

Pendahuluan - Chua Soi Lek

Tuan pengacara, Setiausaha Agung DAP, para perwakilan sekalian, selamat petang.

Dalam negara yang demokrasi, sistem dua parti adalah sesuatu perkara yang baik jika ada persaingan sesama lain dan mekanisme ‘semak dan imbang’. Tetapi malangnya di Malaysia, apa yang kita nampak waktu 308 (nota: pilihan raya umum 8 Mac 2008), DAP tidak berhenti-henti menyerang dan menfitnah pihak saingan, mewujudkan suatu politik kebencian, dan menyebabkan berpecah-belah demi merampas kuasa.

Yang lebih serius lagi, DAP sudah berlainan dengan DAP yang dahulu. Hari ini, DAP sudah berpakat dengan PAS dan PKR menjadi barisan pembangkang. Tuan-tuan dan puan-puan harus faham bahawa PAS akan medominasi segala-galanya, kerana ahlinya lebih ramai, sumbernya lebih banyak, kerusi yang ditandinginya pun lebih banyak. Oleh sebab itu, PAS tidak akan mudah berputus asa untuk memerintah dengan Islam, melaksanakan hudud dan merealisasikan negara teokratik Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan harus faham, agama adalah satu isu yang amat sensitif dalam masyarakat berbilang kaum. Kalau agama dijadikan agenda politik, dengan pastinya ia akan membawa kesan negatif kepada negara dalam pelbagai aspek mahu pun institusi masyarakat, ekonomi, pendidikan atau politik. Sesungguhnya, DAP akan memberitahu, “Kami akan mengimbangi kuasa PAS, jangan risau”. Saya berpendapat bahawa itu satu janji kosong politik.

Kenapa saya cakap sebegitu? Kerana perkara yang mudah pun DAP tidak dapat selesaikan. Di Kedah, perempuan dan lelaki perlu duduk berasingan, pusat penyembelihan babi diroboh; di Kelantan, arak diharamkan; di Selangor pun berlakunya isu pawagam di Bangi. Dengan jelasnya, ia menunjukkan bahawa DAP cuma sida politik kepada PAS! Sememangnya, Karpal Singh ada bersuara, yang lain pula berdiam sahaja. Tetapi ada orang memberitahu saya, ini DAP punya ‘gag order’ untuk menyelesaikan masalah.

Walau macam mana pun, kita harus mengucapkan tahniah kepada DAP, kerana dari segi mengelirukan dan mewujudkan ilusi yang palsu, dari segi promosi dan penampilan, DAP sememangnya akan dianugerahkan Oscar Award.

Kenapa saya cakap begitu? Kerana DAP di Malaysia selama 46 tahun, menampilkan diri sebagai parti pelbagai kaum. Tetapi kalau kita lihat sejarah mereka, hanya berani bertanding dalam kawasan yang majoriti pengundi Cina. DAP mengawal Cina dengan Cina, mereka memberitahu orang Cina, tibanya masa kita mengajar UMNO, UMNO terlalu berkuasa, tetapi mereka tidak berani menentang UMNO, sebaliknya mereka hanya menentang parti orang Cina.

Selain itu DAP juga memberitahu orang Cina, sokonglah kami supaya kedudukan pembangkang lebih kuat. Lepas itu mereka kata, kerana sokongan anda, sekarang DAP menguasai Pulau Pinang. Ketua Menteri pun pemimpin DAP. Mereka mewujudkan suatu ilusi palsu, suatu harapan palsu kepada orang Cina bahawa orang DAP juga boleh menjadi pemimpin tertinggi di negeri lain.

Tetapi saya ingin kata dengan sejujurnya, selain daripada Pulau Pinang, yang lain tak ada harapan lah. Hari ini kita harus terima suatu hakikat politik, iaitu DAP sekarang bukan DAP dahulu. DAP sekarang sudah menyertai PAS dan PKR menjadi barisan pembangkang. Jadi hari ini jika kamu mengukuhkan DAP, kamu bukan sahaja mengukuhkan DAP, tetapi membantu DAP untuk menyediakan jalan untuk PAS menjadi ‘abang long’.

Kita lihat dengan jelasnya di Perak, PKR dan PAS hanya mendapat 13 kerusi, DAP sepatutnya menjadi ‘abang long’, tetapi kamu sudah salah, ‘abang long’ adalah PAS! Sama juga di Kedah. Dalam negara yang pelbagai kaum, kita tidak boleh menerima pemerintahan negara dengan Islam. Kita harus tolak, tidak sokong Negara Islam.

Siapa dalang Negara Islam? (dalam dewan, para penyokong MCA menjeritkan “DAP!”) Kita lihat dalam pilihan raya Sarawak, orang Cina menyambut seruan DAP untuk mengawal Cina dengan Cina. Hari ini, 30 peratus daripada orang Cina di Sarawak menjadi pembangkang, kaum lain menjadi kerajaan. Pulau Pinang juga sama, orang Cina menjadi kerajaan, kaum lain menjadi pembangkang. Oleh sebab itu saya mengatakan, sistem dua parti dalam negara ini akan menjadi sistem dua kaum.

Pendahuluan - Lim Guan Eng

Pertama sekali saya ingin mengucap terima kasih kepada penganjur kerana melangsungkan debat televisyen ini. Ini mencipta satu bab yang baru dalam politik berdemokrasi Malaysia, debat televisyen merupakan satu unsur penting dalam kemajuan demokrasi. Saya berharap mulai hari ini, debat televisyen akan menjadi satu phenomena yang umum dalam sistem demokrasi Malaysia seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

Oleh itu saya berpendapat bahawa, apa yang warga Malaysia benar-benar ingin saksikan, adalah debat antara Perdana Menteri Najib dengan Anwar, untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih layak menjadi Perdana Menteri. Siapa tidak berani berdebat, jangan harap nak jadi Perdana Menteri.

Presiden MCA Chua ada menimbulkan bahawa DAP dipergunakan oleh PAS. Tetapi jikalau tuan-tuan dan puan-puan memberi perhatian, di kalangan orang Melayu, UMNO mengatakan bahawa PAS dipergunakan oleh DAP. Oleh itu, hujah yang sendirinya bercanggah sendiri ini, saya percaya ia adalah taktik kotor BN.

Saya ingin tekankan di sini, parti komponen dalam Pakatan Rakyat, biar pun PAS, PKR atau DAP, kami tidak mempergunakan sesama sendiri, kami hanya bersiap sedia untuk ‘dipergunakan’ oleh rakyat! Pada masa yang sama, kami bukan anti-Melayu, atau pun anti-bukan Melayu, kami cuma anti kerajaan yang mereput dengan rasuah!

Tema hari ini adalah ‘Adakah Sistem Dua Parti akan menjadi Sistem Dua Kaum?’. Sebenarnya saya berasa pelik. Kerana, sekarang sudah sistem dua kaum, kami nak menjadikannya sistem dua parti. Sistem dua kaum ini sememangnya ideologi BN selama ini, sejak kemerdekaan sehingga kini, BN sudah membezakan rakyat sebagai Melayu dan Bukan Melayu, ini adalah pecah dan perintah. Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin pernah berkata, saya Melayu dahulu, kemudian baru orang Malaysia. Adakah ini Satu Malaysia? Atau pun ini Sapu Malaysia? Ini adalah sistem dua kaum. Sebaliknya, sistem dua parti itu demi ideologi, demi wawasan dan prinsip, tidak membezakan kaum, kita semua rakyat Malaysia.

Dalam BN, UMNO hanya jaga orang Melayu, MCA hanya jaga orang Cina, MIC hanya jaga orang India, Gerakan itu… tak taulah dia jaga siapa.. Itulah BN yang ‘kamu jaga kaum kamu, saya jaga kaum saya’, ini adalah sistem dua kaum. Sebaliknya, dalam sistem dua parti, kita semua bersaudara, kita jaga kebaikan sesama lain, setiap warga Malaysia adalah ahli sekeluarga.

UMNO selalu melaung-laungkan ‘Ketuanan Melayu’, adakah MCA tidak terlihat, tidak terdengar dan tidak terasa, sebab itu tidak berani untuk menghalang? Justeru itu, kita lihat masyarakat kita kini masih mengatakan orang Cina tidak berhak bermastautin di sini, tidak berhak mendapat peluang sama rata.

PR berlainan dengan BN. Apa yang kita mahu bukan ‘Ketuanan Melayu’, apa yang kita mahu ialah ‘Ketuanan Rakyat’! Anwar bukan sahaja bercakap tentang ‘Ketuanan Rakyat’ di depan orang bukan Melayu, tetapi dengan orang Melayu juga beliau cakap yang sama. Saya tidak pasti sama ada pemimpin UMNO boleh berhenti melaungkan ‘Ketuanan Melayu’ tetapi menyokong ‘Ketuanan Rakyat’.

Apabila rakyat atau pun pemimpin PR membongkar penyalahgunaan kuasa atau rasuah dan menyoal integriti polis atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah, kami dituduh mencabar institusi Melayu. Inilah sistem dua kaum. Kerana rasuah itu tidak ada perbezaan warna kulit. Ahmad Sarbaini, pegawai kastam itu, dia bukan orang kah?

Pakatan Rakyat membanteras rasuah, BN hendak rasuah. PR akan memastikan pemimpin yang jujur dan kerajaan yang bersih, termasuk mengumumkan aset, tender terbuka, ini barulah sistem dua parti! Yang terpenting sekali itu menahan pegawai yang benar-benar rasuah, bukan menfitnah Teoh Beng Hock yang tidak bersalah.

Pencabar saya selau berkata: “Kaum lain menjadi kerajaan, Kaum Cina menjadi pembangkang”. Ini salah sama sekali. Sebenarnya, “BN MCA menjadi pembangkang, PR DAP menjadi kerajaan” barulah kerisauan sebenar MCA. Bukan sahaja orang Cina yang menyokong PR untuk berubah, Melayu pun sama, jika kami tidak dapat sokongan Melayu 40 peratus (pada PRU 2008), tsunami politik tidak mungkin akan berlaku. Saya percaya, saya pun tidak akan berpeluang berdiri di sini sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, Presiden Chua pun mungkin tidak berpeluang menjadi Presiden MCA.

Dalam sistem yang demokratik, sistem dua parti perlu pertukaran kerajaan secara alternative. Biar BN tumbang jadi pembangkang, biar PR bangkit jadi kerajaan. Jikalau PR tidak berbuat dengan baik, rakyat berhak bertukar lagi selepas lima tahun. Ini barulah sistem dua parti, pertukaran kerajaan secara alternatif, rakyat baru akan ada kehidupan yang baik.

Soalan – Moderator

Masyarakat Cina sudah mulai mengalu-alukan sistem dua parti sejak 1980, jikalau kita menggunakan keputusan 2008 sebagai satu piawaian, undi yang diberi kepada BN dan PR adalah masing-masing lebih kurang separuh. Ini menunjukkan separuh rakyat berpuas hati dengan pemerintahan BN, separuh rakyat mempunyai harapan kepada PR. Adakah ini bermaksud sekarang kedua-dua pihak telah mencapai tahap perjuangan dua parti? Macam manakah parti anda memenangi undi yang separuh lagi?

Jawapan – Chua Soi Lek

Jikalau kita benar-benar hendak menyokong sistem dua parti, hari ini kita lihat DAP dalam kawasan yang kalah, orang hilang, pejabat pun hilang. Ketua Menteri Pulau Pinang mengatakan, dia hendakkan Pulau Pinang pembangkang sifar. Para hadirin sekalian, kalau pembangkang sifar, macam mana ada sistem dua parti? Jadi bagi saya, sistem dua parti hanya satu slogan politik DAP untuk merampas kuasa. Itu sahaja.

Jawapan – Lim Guan Eng

Kalau PR berpeluang menjadi kerajaan, polisi kita adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat. Sekarang semua barang harga naik, duit tak cukup, kita nak meringankan beban rakyat. Kalau jadi kerajaan (pusat), kita akan memansuhkan tol Utara-Selatan dan tol Jambatan Pulau Pinang. Kita juga akan meningkatkan royalti minyak dari 5 peratus kepada 20 peratus bagi Sabah dan Sarawak. Lagi, warga emas. Saya tahu, sejak Pulau Pinang memberi secara sistematik warga emas RM100 setiap tahun, BN meniru. Bukan sahaja BN yang meniru, MCA pun meniru. Jadi, selain daripada berterima kasih kepada Presiden Chua, ini harus berterima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang juga lah.

Jika kami boleh mengambil kuasa di peringkat pusat, kita akan beritahu warga emas seramai 2.1 juta di seluruh negara bahawa kita janji akan beri RM1,000 setiap tahun secara sistematik. Ini adalah kebaikan pertukaran kerajaan secara alternatif. Kebaikannya adalah bahawa parti dinilai berdasarkan polisi mereka, kami hendak jadi negeri polisi dan bukan negeri polis. Sekian. – Roketkini.com

Sesi soal jawab bersama hadirin

  1. Adakah anda bersetuju dengan sistem pendidikan satu aliran atau sistem pendidikan dwi-aliran yang termasuk pendidikan vernakular dan macam mana anda akan mempromosikan agenda tersebut?
  2. Tadi Ketua Menteri (Lim Guan Eng) bercakap dengan ghairah, tapi saya rasa kamu (Guan Eng) hanya memberi janji kosong. Kamu kata hendak memansuhkah tol seluruh negara, tetapi yang paling asas Jambatan Pulau Pinang masih dikutip tol. Saya masih ingat masa itu kamu cakap, jika kamu menang Bagan, Raja Uda, Bagan Dalam dan Perai, kamu akan memansuhkan tol yang paling kecil di Sungai Nyiur. Tetapi rasanya sekarang masih dikutip tol di sana, sebab itu kamu hanya syok sendiri, janji kosong, tipu rakyat!.
  3. Kawan tadi tidak faham, kalau PR menang kuasa di kerajaan pusat, semestinya tol boleh dimansuh. Saya ingin bertanya kepada Presiden Chua, jika anda kata DAP harus bertanding di kawasan UMNO kerana mengutuk UMNO, tidak haruskah MCA bertanding di kawasan PAS kerana MCA sering mengutuk PAS? Kedua, jika MCA mengutuk polisi PAS yang kononnya ekstrem, kenapa pula Jabatan Hal-Elwal Islam di Jabatan Perdana Menteri menahan Muslim yang meraikan Hari Valentine? Sila jawab.
  4. Tadi YAB Lim cakap BN mempelajari daripada PR untuk bagi wang kepada rakyat, ini bermaksud BN sudah bermula mempelajari apa yang baik. Saya nak YAB Lim jawab, Perdana Menteri Najib sudah berhasrat memansuhkan 30 peratus kuota Bumiputera, kenapa PAS pula yang menentang? (Nota editor: PM Najib tidak pernah membuat kenyataan sedemikian)
  5. Dalam negara kita yang pelbagai kaum, bagaimanakan sistem dua parti boleh mencegah pelaksanaan Negara Islam Teokratik? YAB Lim sila jawab secara terus.
  6. Saya dari Kedah. Kami di Kedah dibuli teruk oleh PAS. Saya hendak tanya YAB Lim, dulu kamu minta kami undi PAS, kenapa apabila PAS membuli kami orang Cina, kamu tidak termuncul-muncul? Kedua, YAB Lim cakap hendak membanteras rasuah, kenapa kerajaan Kedah belajar dari kerajaan lepas, malah bukan sahaja ambil 10 peratus, tetapi 30 peratus (komisen)?
  7. Saya hairan YAB Lim asyik cakap tentang ketelusan, tetapi kenapa dalam isu “Tailor-gate” di Perak, kenapa DAP tidak sabar-sabar dengan pelbagai aksi sedangkan SPRM masih menyiasat. Adakah kamu sedang melindungi sesetengah orang? Kedua, DAP yang asyik cakap mendahulukan rakyat, kenapa di Perak ketika BN hendak memberi tanah kepada rakyat, kenapa kamu bantah?

Jawapan – Lim Guan Eng

Tadi (yang tanya itu) Exco Perak Ma Han Soon kan? Saya rasa kita semua tahu waktu PR menjadi kerajaan di Perak, PR lah yang mula memberi tanah kepada sekolah, dan juga memberi pajakan tanah kekal kepada penduduk kampong baru dan penduduk miskin. Tetapi sejak BN menjadi kerajaan, ini sudah ditamatkan. Sebab itu, saya berasa anda tidak layak untuk mempersoalkan sesiapa lagi.

Tentang soalan bahawa kerajaan Pulau Pinang bagi janji kosong, saya nak menekankan bahawa kami sudah menunaikan semua janji sewaktu pilihan raya. Tentang kenapa tol Sungai Nyiur tidak dimansuhkan, para hadirin harus ingat bahawa itu kuasa kerajaan pusat (UMNO-BN). Kami belum mengambil kuasa kerajaan pusat, jadi sabarlah… Bila kami mengambil kuasa kerajaan pusat, sudah tentu kami akan memansuhnya, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang. Tetapi, walau pun belum dimansuhkan tol, kami sudah membina satu jalan untuk memintas tol itu. Jadi samalah, tidak perlu membayar tol dengan sia-sia.

Kejayaan Pulau Pinang, saya percaya ia boleh dilihat. Selepas 308, semua orang boleh terlihat, tersentuh dan terasa perubahan. Di Semenajung Malaysia, papan tanda berbahasa Cina yang pertama didirikan di Pulau Pinang. Papan tanda berbahasa Tamil yang pertama di Malaysia juga ada di Pulau Pinang. Pulau Pinang pertama kali mendirikan papan tanda berbahasa Arab, juga kerana kejayaan kerajaan PR.

Kejayaan Pulau Pinang dalam membanteras rasuah pun yang paling terserlah, sehingga kami dapat pujian Transparency International. Kalau ada orang yang bersalah, kami tidak akan melepaskannya begitu sahaja, tetapi Pulau Pinang rasuah sifar adalah satu fakta yang diakui oleh organisasi dunia. Tak makan duit itu memang tak makan duit. Terima kasih.

Jawapan – Chua Soi Lek

Kalau dilihat, ketika itu banyak orang Cina memberi sokongan kepada PR kerana ingin mendapat agihan yang lebih sama rata, tetapi, sehingga hari ini, kerajaan Pulau Pinang dan Selangor tidak pernah lagi memberi satu tanah pun kepada sekolah Cina. Tak ada. Kebanyakan pengumuman hanya untuk telinga sendiri dan syok sendiri. Ini adalah putar-belit politik (spinning). Ketika saya berada dalam satu dialog di Sungai Petani, seorang pemuda memberitahu saya, “peruntukan kami perlu diberi 30 peratus komisen kepada seorang wakil EXCO kerajaan”, saya kata, jangan merepek. Saya ingat hanya BN sahaja (yang minta komisen). Dia kata, bukan, ini kerajaan negeri Pakatan Rakyat. RM450 tidak dapat tender, RM600 yang dapat.

Selain itu, Ketua Menteri kita ini tadi mengelirukan. Dulu PR di Perak cakap hendak memberi tanah kepada sekolah swasta Cina, yang itu juga cakap untuk syok sendiri sahaja. Hanya lepas BN ambil kuasa baru kami sedari bahawa PR ini tidak ada buat susulan, akhirnya BN yang kena berusaha dan membolehkan 9 buah sekolah swasta Cina sekarang mempunyai 2,500 ekar tanah. Cakap nak mansuhkan tol, semua orang tepuk tangan. Tetapi satu tol Sungai Nyiur di Pulau Pinang pun tidak dapat dibuat, macam mana nak buat seluruh negara?

Soalan Lim Guan Eng kepada Chua Soi Lek

Saya ingin bertanya kepada Dr Chua tentang skandal PKFZ yang melibatkan 13.1billion. Ini bukan pertama kali kita nampak pemimpin MCA. Sejak skandal koperasi sehingga sekarang, sering ada pemimpin MCA yang bertarap presiden yang terlibat. Apakah perubahan MCA sekarang? Lagi pun, kenapa hanya presiden MCA yang didakwa, tetapi tidak ada satu pemimpin UMNO pun yang didakwa. Adakah pemimpin UMNO ada imuniti? Bolehkah MCA terima bahawa tidak ada satu pemimpin UMNO yang didakwa?

Jawapan Chua Soi Lek kepada Lim Guan Eng

Dari pertanyaan YAB Lim, kita boleh lihat kenyataan beliau yang berbau perkauman. Dia tanya, kenapa hanya orang Cina didakwa, tidak ada orang Melayu yang didakwa? Kita semestinya menyokong kempen anti-rasuah, oleh itu anda boleh lihat apabila pemimpin parti MCA didakwa dalam mahkamah, kita tidak mengadakan tunjuk perasaan seperti sesetengah orang. Ini kerana kita berpendapat bahawa sistem kehakiman itu adil. Kita ada keyakinan, oleh itu kita tidak perlu tunjuk perasaan untuk membuktikan pemimpin kita tidak bersalah, saya berasa itu perbuatan yang tidak betul.

PKFZ sudah disiasat dengan menyeluruh, saya percaya ada lagi yang akan diumumkan. Saya bukan pihak yang terlibat, lagi pun kes ini disiasat oleh mahkamah, tidak sesuai bagi saya berkata banyak kerana ini sub-judice. Tetapi, janganlah risau tentang rasuah. Kita sememangnya anti-rasuah.

Tetapi para hadirin harus faham. PR, 3 tahun setengah, MCA, 63 tahun. Kalau satu orang hidup sehingga 63 tahun, boleh membuat banyak perkara yang baik dan juga yang buruk, tetapi yang berumur 3 tahun setengah itu tidak ada banyak peluang untuk buat baik atau buruk. Tetapi hanya 3 tahun setengah sudah boleh nampak perkara rasuah semakin berlaku. Kalau bagi mereka 60 tahun lagi, aiyo, kita tidak dapat tangani mereka pada masa itu.

Soalan Chua Soi Lek kepada Lim Guan Eng

Kita dengar polisi yang populis, beri RM100, mansuh ini mansuh itu, adakan anda boleh memberitahu pada platform ini apakah model pembangunan masyarakat dan ekonomi Pakatan Rakyat supaya Malaysia boleh keluar dari situasi berpendapatan rendah dan mencapai pendapatan tinggi, termasuk menunaikan janji-janji dalam Buku Jingga?

Jawapan Lim Guan Eng kepada Chua Soi Lek

Saya rasa ini perbezaan antara saya dengan President Chua, dia tidak risau kepada isu rasuah, saya pula risau sangat tentang isu rasuah. Kita perlu ada satu rangka untuk mengurus hal elwal negara untuk tengok macam mana membawa pembangunan ekonomi. Saya ingin mengambil model Pulau Pinang sebagai contoh, saya menggunakan prinsip ‘empat ringgit dapat satu ribu’, iaitu melalui pengurusan kewangan memastikan tiap-tiap tahun ada menguntung dan ada lebihan.

Apa maksud pengurusan wang ‘empat ringgit dapat satu ribu’? Maksud itu ‘duit, duit, duit dan duit’. Apa itu ‘duit, duit, duit, duit’? Maksudnya ‘duit dapat duit, duit untung duit, duit lahir duit, duit jimat duit’.

Duit dapat duit, maksudnya menjadikan sektor swasta rakan perkongsian untuk menjalankan program rakyat, macam itulah kami dapat kurangkan penggunaan wang kerajaan.

Duit untung duit, maksudnya menggunakan tender terbuka untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Duit lahir duit, maksudnya menggunakan daya inovasi dan kreatif untuk menjimatkan wang.

Duit jimat duit… Itu mudah sahaja, tidak makan duit maka boleh jimat duit lah.

Oleh itu, dalam empat tahun ini, prinsip ‘empat ringgit dapat satu ribu’, ‘duit, duit, duit, duit’ inilah yang membolehkan kerajaan Pulau Pinang tiap-tiap tahun boleh untung duit, selepas itu beri balik kepada rakyat melalui Skim Warga Emas RM100 setiap tahun, yang meninggal dunia keluarga dapat RM1000, malah lahir bayi pun ada RM200.

Semasa Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang, satu sen pun tak beri, tetapi dengan prinsip ‘empat ringgit dapat satu ribu’ ini, kami memberi manfaat kepada orang Pulau Pinang, ini sebenarnya manfaat anti-rasuah! Di samping itu, di Malaysia, saya percaya jika kita boleh membanteras rasuah, dan bukan makin banteras makin rasuah, kita boleh menjimatkan banyak wang dan memberi balik kepada rakyat jelata. Inilah janji kami, Pulau Pinang adalah bukti yang terbaik! Jikalau kita berani membanteras rasuah, kita tentu akan dapat wang. Terima kasih.

Sesi soal jawab bersama hadirin

  1. Bolehkah anda menghuraikan macam mana parti anda mempromosikan pendidikan dan meningkatkan peluang pendidikan dan tahap membaca? Soalan kepada kedua-dua pendebat.
  2. Tadi Dr Chua Soi Lek berkata bahawa DAP mengawal Cina dengan Cina, tetapi saya rasa yang benar-benar mengawal Cina itu UMNO yang mempergunakan MCA untuk mengawal orang Cina, menipu orang Cina dan mengkhianati orang Cina. Saya ingin bertanya sama ada Chua Soi Lek bersetuju saya cakap begitu?
  3. Soalan saya kepada kedua-dua pendebat. Dalam satu negara yang demokrasi, adakah penggunaan ‘gag order’ yang kerap melanggar prinsip dan semangat demokrasi?
  4. Soalan ini kepada Lim Guan Eng. Sebagai seorang Ketua Menteri, kita tidak datang sini untuk mendengar kata-kata manis anda. Tadi sudah ada yang bertanya, DAP ini sudah menyertai Pakatan Rakyat, saya ingin bertanya lagi, bagaimana anda boleh berjanji kepada orang Cina seluruh negara bahawa PAS tidak akan menubuhkan Negara Islam?
  5. YAB Lim, saya separuh orang Pulau Pinang. Tadi anda berkata, anda nak meringankan beban rakyat, kedua, anda sudah untung wang banyak, saya ingin berkata, kamu mengelirukan rakyat! Kerana kamu meningkatkan cukai pintu, apa-apa pun sudah naik harga, termasuk selepas 10.30 malam, saya lihat dengan mata sendiri dua kali, selepas 10.30 malam, sudah tak ada satu kereta pun, tetapi kamu masih suruh pegawai penguatkuasa tunda kereta! Sehingga orang bergaduh dan tercedera, masalah keselamatan ini, kamu macam mana jelas?! Adakah ini maksud meringankan beban rakyat?! (nada marah yang amat sangat)
  6. YB Lim, wayang kulit, mak yong adalah warisan negara, tetapi selepas PAS memerintah Kelantan, kedua-duanya sudah diharamkan. Lagi satu, kenapa penyu di Terengganu itu diharamkan selepas PAS memerintah?

Penutup – Lim Guan Eng

Pertama sekali saya ingin membalas sesetengah tuduhan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak memberi tanah kepada sekolah Cina, saya rasa ini penipuan sama sekali. Ini kerana kami mempunyai bukti, sekolah pun boleh mengesahkan. Jangan lupa, kerajaan negeri sekarang memberi peruntukan secara sistematik kepada semua aliran sekolah, selain daripada sekolah Cina, ada lagi sekolah Tamil, sekolah Agama Rakyat dan sekolah swasta cina. Dulu tidak ada langsung, kini tiap-tiap tahun dapat peruntukan.

Di sini, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia, berani berubah, kita tidak harus akur kepada nasib. Kita berhak menikmati peluang yang sama rata. Kita tidak harus melutut untuk minta, kita harus bangkit dengan berani dan bermaruah untuk berubah! Kita tidak mahu ditipu lagi, berubah sekarang juga! Tengok, Presiden MCA juga sudah berubah, pertama kali berdebat dengan Roket (DAP). Tetapi berdebat itu tidak penting, yang penting itu, berani tak MCA cakap ‘tidak’ kepada UMNO?

Kenapa harus kata ‘tidak’ kepada UMNO? Kerana UMNO menggunakan sentimen perkauman dan agama, termasuk menyokong PERKASA yang ekstrem untuk menghasut dan mempecah-belahkan rakyat! UMNO menyalahgunakan akta yang tidak berperikemanusiaan, UMNO rasuah dan reput, isu Kak Lembu itu hanya ‘tip of the iceberg’. Yang lagi serius itu, dalam 10 tahun yang lalu, ada RM1 trillion yang telah diseludup keluar dari negara ini. Yang ini macam mana kira? Inilah sebab kita hendak kepada sistem dua parti selama 10 tahun ini.

Seperti apa yang diakui oleh mantan presiden MCA Ong Tee Keat, MCA bekerjasama dengan UMNO, dulu MCA sekurang-kurangnya boleh makan sisa makanan UMNO, sekarang paling bagus hanya harap boleh dapat sisa roti sahaja.

Ramai Melayu tidak dapat menikmati pembangunan negara, tidak ada RM250 juta untuk menternak lembu, kerana terlalu banyak buah yang baik dimakan kroni BN, rakyat hanya boleh tertunggu-tunggu, makan sisa buah!

Masalah yang dihadapi masyarakat Cina, saya percaya para hadirin pun tahu, satu longgok, kita semua tahu apa masalahnya. Selain daripada masalah sijil sekolah swasta (UEC) tidak diakui, sekolah Cina tidak mendapat peruntukan yang mencukupi, guru-guru yang tidak arif berbahasa Cina dihantar ke sekolah Cina, ada juga masalah guru sementara yang belum diselesaikan.

Oleh itu kesemua isu tidak sama rata dalam ekonomi dan pekerjaan ini, saya percaya bukan sahaja orang Cina yang menghadapinya, kaum lain juga menghadapinya, oleh sebab itu kita harus mengambil peluang ini untuk berusaha dengan kaum lain untuk membawa perubahan.

Apa yang kita menitikberatkan sekarang ialah masa hadapan anak kita. Masa depan kita sudah ditindas BN selama 50 tahun, jangan biar masa depan anak kita ditindas juga, oleh itu, kita sedang menunggu peluang ini.

Pagi ini sebelum saya datang, saya beritahu anak perempuan saya, kalau ada peluang, saya suara generasi muda kamu. Saya harap kita ada polisi yang terbuka untuk membolehkan kamu tinggal di sini, jangan alir keluar lagi. Kita hendak menitikberatkan bakat dan bukan sahaja kayu balak. Ingat, hanya dengan menitik berat, menghargai dan memilih bakat, baru Malaysia boleh cerah dan beruntung besar.

Kita tengok Korea Selatan, pada tahun 1970, pendapatan purata mereka hanya USD260 seorang, pada tahun 1970 Malaysia lebih baik, ada USD380. Tetapi sekarang Korea Selatan sudah melangkaui Malaysia, sekarang Malaysia ada pendapatan purata USD7,760, Korea Selatan sudah USD20,000!

Kenapa Korea Selatan boleh menjadi negara berpendapatan tinggi, tetapi Malaysia masih sangkut? Faktor terutama ialah Korea Selatan adalah negara demokrasi, ada sistem dua parti, ada pertukaran kerajaan secara alternatif. Oleh itu, jikalau kita hendak berubah, kita hendak Malaysia jadi negara berpendapatan tinggi, kita perlu ada keberanian untuk bangkit, ada keberanian untuk merealisasikan sistem dua parti.

Jalan ini sememangnya tidak mudah, tetapi saya hendak mengingatkan anda semua, kami bekerjasama dengan PAS, PKR adalah satu deklarasi yang bertulis, ini sudah diumumkan. PAS ada ideologi PAS, DAP ada ideologi DAP, tetapi jangan lupa, PAS tidak pernah bunuh satu orang Cina pun. Ini realiti, biarlah kita bertabah hati, bertekad berubah, walau pun susah, tetapi demi generasi muda, kita harus sempurnakan jalan perubahan ini! Kalau tidak mengalami musim sejuk, mana boleh dapat bunga yang harum? Sekian.

Penutup – Chua Soi Lek

Saya perhati ucapan YAB Lim, dia tanya sama ada MCA berani menentang UMNO, jawapan saya, sama ada DAP berani menentang PAS? Mudah saja. Beliau mengatakan bahawa salah satu mantan presiden MCA mengatakan bahawa MCA makan sisa makanan orang lain; itulah kerana beliau (Ong Tee Keat) tidak memimpin dengan baik, belum cukup satu tahun lagi kami sudah menumbangkan beliau!

Tadi ada satu soalan tentang pemupukan bakat, saya rasa YAB Lim tidak jawab. Saya cakap dengan rendah diri, MCAlah yang berusaha dengan paling baik dalam hal ini. UTAR dan Kolej TAR hari ini sudah memupuk 180,000 bakat. DAP memupuk bakat dengan air liur sahaja. RM5 juta yang diperuntukkan sekolah Cina, yang itu bukan peruntukan yang diinstitusikan, dari awal Johor pun sudah ada. Saya ini bukan sombong, saya orang pendidikan Inggeris, saya cakap berterus-terang.

Saya sering kata, kalau Ketua Menteri selalu menunjuk-nunjukkan pemberian RM5 juta, saya Chua Soi Lek tak ada satu jawatan kerajaan pun satu tahun paling kurang memberi RM10juta! Ini untuk pendidikan, jangan selalu disebut-sebutkan.

Rasuah, anti-rasuah lagi, langsung tidak menjawab soalan saya, apakah model pembangunan ekonomi anda? Bukan saja ‘duit untung duit’, yang itu bapa saya sudah ajar waktu kecil. Hari ini, saya nak berterus-terang, DAP ada pencapaian, hari ini di Pulau Pinang ialah ‘abang long’. Tetapi saya tengok YAB Lim, dia masih berperangai ‘street warrior’. Tiap-tiap kali naik pentas atau isu kenyataan media, kalau bukan marah orang, dia menyerang tanpa memahami konteks sebenar untuk mendapat publisiti.

Kami datang dari satu kampung, saya tidak ada apa-apa jawatan kerajaan, tetapi saya ingin mengingati YAB bahawa apa yang dijanjikan, anda tidak menunaikan satu pun. Yang paling mudah itu rumah kos rendah, hari ini Pulau Pinang ada 150,000 orang sedang menantikan rumah kos rendah, tetapi kerajaan negeri satu buah pun tidak bina.

Baru-baru itu, mungkin kerana dimarahi orang, atau kerana hendak datang berdebat hari ini, dia baru memberi RM500 juta ‘mock cek’ tetapi saya tahu, YAB pun tahu, YAB pun kena mengakui, RM500 juta ini tidak ada dalam belanjawan kerajaan negeri, RM50 juta saya rasa pun tak ada.

Anda sentiasa cakap, anda sudah menyelesaikan hutang kerajaan negeri, tetapi itu tidak benar, anda hanya menyusun semula hutang air kerajaan, membuatkan kerajaan pusat menanggung beban hutang tersebut, lepas itu kamu beritahu orang, hutang kami sudah dikurangkan. Kalau macam itu, Perak pun sama. Sebelum saya datang, seorang kawan minta saya memberitahu YAB, “jadilah Liu Bei (pahlawan Cina kuno yang strategis), jangan jadi Zhang Fei (pahlawan Cina kuno yang tidak berfikir panjang)’.

Ramai orang suka risau tentang polisi populis, bagi warga emas RM100, MCA pun boleh buat, bayi juga kami sudah beri RM200, apa yang kami ingin lihat ialah transformasi, penjaminan dan kebajikan yang jangka panjang, inilah yang ingin dilihat, bukan polisi populis. Saya pernah baca Buku Jingga, mansuh tol, setiap keluarga sekurang-kurangnya dapat RM4,000, ini bukan saya yang cakap…

Sumber : Roketkini.com

No comments: