Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng
KUALA LUMPUR, 18 FEB: Syarikat Ivory Properties Group Berhad (IPGB) menjelaskan hari ini bahawa ia telah memperolehi tanah 41.5 hektar di Bayan Mutiara, Pulau Pinang melalui sistem tender terbuka yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Dalam satu kenyataan akhbar, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif IPGB, Datuk Low Eng Hock, menyatakan syarikatnya bangga apabila memenangi tender terbuka itu yang ditawarkan pada harga RM240 untuk satu kaki persegi atau nilai penuhnya RM1.072 bilion.
Katanya, IPGB memasuki tender terbuka oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditutup tarikh permohonan pada 31 Disember 2010 dan memenanginya setelah membuat tawaran yang paling tinggi, iaitu RM240 untuk sekaki persegi.
Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng telah menganugerahkan tender itu kepada IPGB dan menambah lagi syarat, iaitu meminta syarikat itu mempercepatkan tempoh bayaran, iaitu daripada lapan tahun kepada lima tahun.
Menurut Low, semua itu dipersetujui oleh IPGB dan segala keperluan termasuk pengumuman telah dibuat kepada Bursa Malaysia.
IPGB juga telah membayar deposit RM22.1 juta manakala bayaran selebihnya akan dibayar mengikut pembayaran berjadual selepas diluluskan oleh para pemegang saham IPGB dalam satu mesyuarat agung luar biasa syarikat yang dijadualkan pada 5 Mac depan.
Guan Eng semalam telah menyatakan kekecewaanya terhadap fitnah yang dilemparkan oleh para pemimpin UMNO, termasuk seorang Ahli Parlimennya dari Sabah, berhubung penjualan tanah Bayan Mutiara pada tahun 2010 yang dijalankan secara tender terbuka itu.
Katanya, antara penipuan yang dikeluarkan oleh Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman dan Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan ialah kononnya:
- Tiada tender terbuka;
- Harga penjualan dijual kepada pemaju swasta adalah 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran iaitu RM420 kaki persegi; dan
- Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memandang rendah kepada rakyat tempatan dengan melantik HDB Singapura sebagai pakar perunding untuk projek perumahan mampu milik Kerajaan Negeri di Batu Kawan.
Menurutnya, apabila kerajaan negeri membuat keputusan untuk menjual tanah Bayan Mutiara seluas 102.3 ekar (67.5 ekar tanah dan 35 ekar tanah tebusguna melalui tambak laut) melalui tender terbuka pada tahun 2010, satu harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi telah ditetapkan.
Jelasnya lagi, harga rizab sebanyak RM200 kaki persegi adalah tinggi telah ditetapkan oleh kerajaan negeri pada 7 April 2010 sungguh pun Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan pada 5 November 2009 menganggarkan harga penilaian adalah sebanyak RM65 kaki persegi.
Apabila tender terbuka yang dijalankan ditutup pada 31.12.2010, keputusan berani kerajaan negeri dibuktikan tepat dan benar apabila harga tender terbuka yang paling tinggi adalah sebanyak RM240 kaki persegi atau RM1.07 bilion, tambah beliau.
“Saya kecewa apabila harga anggaran penilaian sebanyak RM65 kaki persegi yang disediakan oleh Jabatan Penilaian Harga yang dikeluarkan Kementerian Kewangan tidak dilaporkan oleh media Bahasa Inggeris dan Melayu.
“Sehingga sekarang, UMNO dan Abdul Rahman masih tidak menyahut cabaran saya untuk membeli 102.3 ekar tanah dengan harga RM420 jika itu adalah harga pasaran yang dituntut oleh UMNO.
“Saya bersedia untuk berundur daripada area politik sekiranya UMNO dapat membuktikan sedemikian…Jika Datuk Zainal Abidin Osman dan Datuk Abdul Rahman gagal membuktikan bahawa tiada tender terbuka dijalankan, adakah mereka berani menerima cabaran saya untuk berundur dari arena politik?” soal beliau.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut menjelaskan bahawa HDB Singapura telah dipilih berikutan kepakaran dalam reka bentuk, perancangan, pelaksanaan dan pengurusan.
Katanya, HDB Singapura tidak terlibat dalam bangunan atau pembinaan, dan tender untuk bangunan dan pembinaan akan dijalankan pada akhir tahun ini.
“Atas sebab itu, kerajaan negeri kesal dengan tindakan UMNO yang cuba memainkan isu perkauman dalam perkara ini dengan menyoal mengapa rakyat tempatan tidak boleh melakukan kerja tersebut sebaliknya kita memilih Singapura.
“Memainkan sentimen anti-Singapura bukan sahaja provokasi perkauman tetapi juga double-standards kerana apabila Singapura datang ke Iskandar, Johor tiada masalah, tetapi tidak boleh pula di Pulau Pinang.
“Taktik ekstrem sedemikian oleh UMNO tidak berkesan di Pulau Pinang kerana rakyat Pulau Pinang menyokong usaha ikhlas Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menyediakan rumah mampu milik terbaik untuk golongan miskin di Malaysia,” ujarnya. –
Sumber : Roketkini.com
1 comment:
PEMBOHONGAN & FITNAH GEROMBOLAN PANDI KUTTY UMNO-BN APCO TERSERLAH LAGI ,MAKIN MENIPU MAKIN TAK JADI & LAGI NAMPAK KELEMBUAN PEMIMPIN & PECACAI UMNO-BN
Post a Comment