DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Wednesday, January 25, 2012

UMNO PUN SAMA HEBAT DENGAN DAP

Oleh : Daing Yahya

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Sememangnya parti kita adalah sebuah parti bangsa Melayu. Sejak zaman-berzaman parti kita memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Namun, zaman telah berubah. Kini parti politik yang berbilang kaum telah mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia. Selain PKR, parti PAS juga sudah membuka kelab penyokong PAS yang terdiri dari ahli yang bukan Melayu.

Malah yang terbaru, DAP juga sudah semakin diterima oleh semua lapisan masyarakat Malaysia, termasuk orang Melayu. Sejak kebelakangan ini kita semakin kerap mendengar orang Melayu menjadi ahli DAP. Yang profesional ada, yang berpengalaman politik ada, yang awam ada, yang di kampung pun ada.

Menurut laporan akhbar, seorang pemimpin kita Datuk Mohd. Shafie Apdal telah berkata: “…jika benar DAP sebuah parti berasaskan berbilang kaum seperti yang didakwa, mereka perlu berani memperjelaskan kepada orang ramai mengenai agenda mereka untuk membela nasib masyarakat berbilang kaum.

Ini turut disahkan oleh oleh seorang lagi pemimpin Khairy Jamaludin yang berkata:

Pemuda BN cabar DAP umumkan berapa ramai ahlinya yang datang daripada masyarakat Melayu…jangan hanya tunjuk tiga orang itu sahaja tapi (tunjukkan) keanggotaan keseluruhan jika benar mereka ini adalah parti berbilang kaum.

Saya dengar ada ramai lagi orang Melayu mahu DAP. Nampak gayanya, semakin ramai Melayu yang waras dan bijak pandai akan menyertai DAP, ini pastinya akan menghakis keyakinan rakyat tentang usaha yang kita tanam selama ini bahawa DAP adalah parti Cina.

Pelbagai kaum

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

Janganlah hendaknya kita merasa bimbang dan gundah-gulana. Oleh kerana zaman sudah berubah, maka dalam diam-diam kita juga terpaksa mengikut rentak perubahan itu. Walau pun kita masih sebuah parti hanya untuk satu kaum, kita pun sebenarnya berbilang kaum, sama seperti DAP. Ini berlaku secara tidak sedar dan tidak sengaja.

Jika DAP memiliki Karpal Singh, M. Kulasegaran, S. Sivakumar dan Prof. Ramasamy, kita juga juga ada pemimpin berkaliber seperti Nor Mohamed Yakcop, Shaik Hussein Mydin, Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Reezal Merican Naina Merican dan ramai lagi.

Jika DAP ada Senator Tunku Aziz yang juga bekas Naib Pengerusi Transparency International, kita juga ada penyokong hebat seperti Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah. Jika hendak dibandingkan dengan Tunku Aziz yang berdarah bangsawan itu, Ridhuan Tee ini lebih hebat lagi kerana beliau berjuang untuk bangsa, lebih Melayu dari orang Melayu sendiri.

Jika DAP ada pemimpin dan ahli beragama Kristian, kita pun ada ahli-ahli beragama Kristian di Sabah. Walau pun kita menggunakan agama Kristian sebagai isu untuk menghentam DAP, kita tetap terima kawan-kawan Bumiputera dari Sabah yang beragama Kristian sebagai ahli parti kita.

Ini menunjukkan bahawa idealisme kita dapat mengubah persepsi, minda dan sesuatu nilai iaitu dari nilai yang buruk menjadi molek, sedap mata memandang dan enak telinga mendengar. Semuanya ini kerana kita memegang kuasa politik.

Apa salahnya kita tiru DAP asalkan kita terus berkuasa

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

Janganlah kita bimbang dengan penyertaan orang Melayu ke dalam DAP. Kini, sememangnya kita sama seperti DAP kerana kita pun sebuah parti yang berbilang kaum. Apa yang DAP boleh buat, kita juga boleh buat.

Walau pun dulu kita benci dan memomokkan “Malaysian Malaysia” slogan DAP, hari ini kita tiru dengan menamakannya 1Malaysia. Walau pun sudah lebih 45 tahun DAP berjuang untuk keadilan bersama dan peluang saksama, kita pun mencipta slogan-slogan yang sama walau pun kita tidak akan akan melaksanakannya.

Yang penting, kita tiru apa yang baik dari DAP tapi kita mesti terus fitnah dan tohmah DAP, takut kalau-kalau ramai lagi orang Melayu teringin nak sokong DAP.

Jika kerajaan Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mampu membayar hutang kepada kerajaan persekutuan sebanyak RM600 juta dalam tempoh tiga tahun melalui urus tadbir cekap, akauntabel dan telus, kita ingin memberitahu bahawa kita boleh buat lebih baik lagi.

Kebijaksanaan pemimpin kita telah menunjukkan bahawa sejak 14 tahun berturut-turut kita menghasilkan defisit dan hutang negara hampir mencecah RM1 trilion atau RM1,000 bilion atau entah berapa ribu ribu juta ringgit. Semuanya ini untuk kebaikan tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Lagi pun bukan tuan-tuan dan puan-puan yang perlu bayar hutang ini. Yang membayarnya nanti ialah anak cucu cicit tuan-tuan dan puan-puan. Jadi untuk hari ini tak perlu bimbang dengan hutang negara.

Jika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor boleh meningkatkan rizab negeri dari RM600 juta kepada RM1.6 bilion, kita juga boleh berbuat begitu.

Contohnya dahulu lembu diternak di kandang dan ladang. Kini dengan inisiatif kita yang kreatif, lembu sudah boleh diternak di kondominum mewah di tengah-tengah kota raya. Para penternak lembu yang diberi kontrak oleh kerajaan dibahagi-bahagikan untuk suami dan anak-anak dengan gaji besar dan boleh berbelanja mewah sesuka hati.

Kalau tak percaya dengan cakap saya, lihat laporan penggunaan kad kredit pegawai atasan syarikat jaga lembu itu. Kalau masih tak percaya, lihat sahaja cara penriagaan lembu dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Mengapa parti kita perlu kekal relevan

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

Sebenarnya memang DAP bersama dengan PKR dan PAS mampu menjadi kerajaan pusat yang akan mengekalkan, malah menambah baik lagi hak, peluang dan kehidupan orang Melayu. Tetapi tak kan kita nak biarkan mereka memerintah. Kalau Pakatan Rakyat memerintah, bagaimana dengan nasib para pemimpin parti kita serta keluarga dan kroni?

Jadi perlulah difahami bahawa parti kita perlu relevan. DAP kata dia nak hapuskan rasuah. Kita sokong. Kita tidak mahu orang bagi rasuah dekat polis dan kepada pegawai majlis bandaran.

Tetapi kita kena faham bahawa wang komisen berjuta-juta ringgit untuk projek di kalangan keluarga dan kroni kita itu tidak boleh dianggap rasuah.

Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, ada orang kata ini namanya korupsi tetapi sebenarnya ia adalah bayaran faedah. Rasuah memanglah haram tetapi apabila namanya sudah bertukar menjadi wang komisen, maka itu sudah menjadi halal. Apa salahnya mendapat wang komisen, bukan?

Jika tidak membantu para pemimpin kaum kita menjadi kaya-raya, bagaimana kita menumpang bangga kejayaan tokoh-tokoh korporat dan politik dari kalangan kaum kita?

Biarlah Melayu tak sedar diri yang mahu kepada keadilan, demokrasi, hak asasi dan peluang saksama sesat bersama DAP. Hanya Melayu yang berjuang atas nama kaumnya sahaja akan selamat bersama kita.

Sumber – Roketkini.com

No comments: