Diterbitkan pada : 25 Nov 2006
Mana orang Melayu nak tolong orang Melayu? Yang robohkan rumah kami orang Melayu juga… Nak kata Yahudi, tak Yahudi.
Pn. Noraini, penduduk Kampung Berembang
Tengoklah, anak-anakku, jangan kau lupa peristiwa ini bila engkau dewasa kelak. Jika engkau membesar menjadi orang yang berjaya, ingatlah peristiwa ini. Inilah nasib orang-orang miskin macam kita… Buka matamu, ingat apa yang mereka lakukan kepada kita orang miskin, ingatlah sampai bila-bila.
Seorang ibu di Kg. Berembang kepada anak-anaknya disebalik tangisan
Baru minggu lepas pimpinan UMNO sibuk bertekad mengancam menggunakan keris, hendak bermandi darah mempertahankan hak Melayu.
Minggu ini, penduduk yang telah menetap selama 30 tahun di Kampung Berembang, Ampang mendapati rumah-rumah mereka dirobohkan oleh MPAJ dengan kerjasama polis dan anggota RELA meskipun perumahan alternatif mereka hanya akan siap dalam masa 6 bulan. Mereka menyaksikan rumah yang mereka bina selama ini dirobohkan ketika hujan sedang melanda.
Kira-kira 470 penduduk kampung tersebut terpaksa tidur dalam bangsal-bangsal sementara yang dibina untuk berteduh dari hujan lebat yang kerap melanda akhir-akhir ini. Ada sesetengah penduduk yang sedang menghadapi peperiksaan SPM dan STPM. Beberapa penduduk lain pula mengambil keputusan berteduh di surau dengan harapan ia tidak dimusnahkan.
Ironisnya, penduduk di sana dikenali sebagai penyokong kuat UMNO. Dan lebih memilukan lagi, syarikat pemaju tersebut yang diasaskan oleh usahawan Tee Leh Teck, mempunyai dua orang pengarah Melayu yang pernah berkhidmat di dalam UMNO / kerajaan. Syarikat tersebut juga mempunyai hubungan rapat dengan Permodalan Negeri Selangor Berhad – syarikat milik kerajaan negeri. Syarikat kerjasama antara PNSB dan pemaju tersebut juga gagal menghantar akaun diaudit kepada Pendaftar Syarikat sejak tahun 2000.
Pn. Noraini yang dipetik kata-katanya diatas juga terpaksa menanggung kecederaan anaknya, yang ditampar oleh anggota MPAJ dan dipukul dengan perisai FRU. Kemarahannya boleh dilihat di dalam klip video ini. Anaknya yang cedera tersebut ditemubual di sini.
Dua buah rumah juga terbakar ‘secara misteri’, menurut Bernama. Semalam seorang rakan menghantar SMS bertanya lanjut insiden tersebut kerana salah seorang pemandu di syarikatnya tinggal di sana. Lebih 20 aktivis yang cuba membantu penduduk Kg. Berembang ditahan polis. Menurut Star, seorang penduduk kehilangan 10,000 cucuk sate yang disediakan untuk sebuah rumah terbuka ketika Kg. Berambang dimusnahkan.
Yang lebih menarik lagi, surat daripada Pejabat PM meminta agar tindakan MPAJ tersebut dihentikan tidak dihiraukan, kerana kerajaan negeri memberikan kebenaran. SUHAKAM juga telah meminta agar MB Selangor menjelaskan tindakan tersebut. Ketua Penerangan Keadilan, Tian Chua, merakamkan catatan peribadinya ketika peristiwa tersebut.
Seperti kata kenalan saya, Tony Pua, tiada siapa mempersoalkan hak pemilik tanah untuk meminta mereka berpindah. Tetapi penduduk Kg. Berembang sudah tinggal di sana selama 30 tahun, dan perumahan alternatif mereka belum siap. Di mana perikemanusiaan pemaju dan PBT?
Saudara-saudaraku di dalam UMNO – ini bukan sahaja orang Melayu yang tuan-tuan dakwa tuan nak pertahan bermati-matian, tetapi Melayu yang ‘betul’ politik mereka – penyokong UMNO. Di mana anda pada waktu itu, ketika penyokong kuat anda menjadi seolah-olah pendatang di tanah sendiri? Kalau orang persoal isu saham, memang cepat melatah. Tetapi perumahan peneroka bandar yang sudah tinggal tiga dekad (umur si menantu!) tak pula menjadi isu.
Sumber : DI SINI
No comments:
Post a Comment