DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Tuesday, January 31, 2012

KEGAGALAN BN URUS BANTUAN RAKYAT

OLEH : HAFIZ ZAINUDDIN

Sama ada rakyat gembira, skeptik, bersyukur atau apa pun, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi RM500 seorang telah dan sedang diagihkan mengikut beberapa fasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melihat bahawa bantuan ini dapat menaikkan moral penyokong dan imej pentadbiran beliau yang semakin buruk dengan pelbagai pembongkaran skandal.

Pemberian bantuan ini melibatkan anggaran kos RM2.6 bilion meliputi sekurang-kurangnya 79.5% isi rumah negara ini. Belanjawan 2012 yang lalu turut memperuntukkan sejumlah besar RM790 juta baucar buku bagi pelajar sekolah, penuntut IPT awam dan swasta.

Kita amat mengalu-alukan inisiatif sebegini. Ia duit rakyat dari cukai rakyat dan hasil sumber negara. Ia bukan duit poket mana-mana parti.

Tanda soal besar yang berlegar di fikiran rakyat ialah kenapa pemberian one-off seperti ini merupakan yang pertama kali setelah 54 tahun negara merdeka walhal ekonomi Malaysia tidaklah sestabil seperti dulu.

Apa lagi dengan jumlah defisit negara mencatatkan kenaikan mendadak dari RM217 bilion pada tahun 2004 kepada RM437.2 bilion seperti yang dicatatkan sehingga Jun 2011.

Umpan PRU ke-13

Seperti mana yang rakyat jangkakan, adakah durian runtuh ini ikhlas dari kerajaan atau pun semata-mata umpan untuk PRU ke-13? Apakah dengan bantuan ini juga rakyat boleh berasa lega dengan keadaan perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat? Lagi pun pemberian ini ‘berkala’ dan bukannya setiap bulan.

Mungkin juga pemberian bantuan one-off ini adalah bantuan once in a whole life, sekali seumur hidup.

Kita sendiri boleh menilai sejuh mana keberkesanan pemberian ini dalam menangani masalah ‘duit poket’ rakyat dan kemiskinan bandar yang semakin meruncing.

Banyak lagi isu terdahulu yang harus diselesaikan dengan kadar segera oleh kerajaan. Kajian Perolehan Pendapatan oleh Kementerian Sumber Manusia pada 2009 yang menunjukkan bahawa 34% daripada 1.3 juta pekerja di negara ini menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan iaitu dibawah RM720 sebulan.

Kita percaya pada tahun 2012, peratusan pekerja yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan akan meningkat selagi kerajaan tidak melaksanakan gaji minimum seperti yang diperjuangkan oleh kesatuan-kesatuan pekerja dan Pakatan Rakyat.

Ini tidak lagi melibatkan masalah pelajar dan kos pendidikan tinggi di Malaysia yang boleh dilihat sebagai sebuah ‘kilang cap duit.’

Tambah lagi masalah…

Sedangkan masalah lama belum mampu diatasi, ia ditambah pula dengan isu bantuan one-off ini yang berbangkit.

Yang pertamanya melibatkan ketelusan dan kaedah penilaian penerima bantuan. Keduanya ialah, bantuan ini seolah-olah menggalakkan lagi budaya konsumerisme melampau yang tidak sihat di kalangan warga.

Budaya konsumerisme bermaksud keasyikan masyarakat membeli-belah. Memang ia hak bebasan individu tetapi apabila yang tidak mampu memaksa diri berbelanja kerana tekanan psikologi persekitaran, ia boleh menimbulkan krisis kemasyarakatan.

Lihat sahaja kedai-kedai buku sekitar pusat membeli-belah utama dan sebagainya yang menerima baucar RM200 pelajar, bukan sahaja digunakan untuk membeli bahan rujukan tetapi juga majalah dan komik-komik kegemaran sekali gus mencipta ‘keperluan-keperluan baru’.

Kita juga digemparkan dengan penjualan baucar buku di internet, malah ada juga yang menggunakan wang bantuan RM500 tersebut untuk menukar telefon bimbit baru dan sebagainya.

Jika kerajaan benar-benar ingin membantu rakyat yang kurang berkemampuan, mengapakah bantuan ini tidak disalurkan melalui agensi-agensi yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal, rumah-rumah kebajikan dan sebagainya? Apakah kerajaan sendiri tidak yakin dengan kemampuan agensi-agensi tersebut mengurus dana yang diamanahkan?

Atau, cukuplah dengan menurunkan takrif elektrik dan kadar petrol semasa sen, seluruh negara akan bergembira. Jika kapitalis penjana kuasa bebas (IPP) boleh mendapat subsidi kerajaan, mengapa tidak rakyat jelata?

Dengan kadar rakyat yang muflis dan penggangguran yang semakin meningkat, ditambah lagi dengan kebanjiran pendatang asing, kenaikan harga barang keperluan, kebocoran dana awam, gejala rasuah dan salah guna kuasa, defisit negara yang meningkat lebih 50% dari KDNK; kita hanya mampu menggeleng kepala sebelum merumuskannya di atas kertas undi.

Ternyata, inisiatif bantuan rakyat ini tempang dengan segala masalah ‘lepas pandang’ dan retorik semata-mata untuk meraih sokongan rakyat yang semakin merosot terhadap Barisan Nasional dan kepimpinan Najib. –

Sumber : Roketkini.com

No comments: