DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Wednesday, January 4, 2012

901 DAN AGENDA UMNO

Langkah demi langkah menuju tanggal 9 Januari 2012, apabila direnung kembali Deklarasi Permatang Pauh 1998, apa yang diperjuangkan oleh generasi reformasi masih relevan hari ini. Bahawa diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram dibelenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil. Bahawa gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang daripada dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Saya cintakan Malaysia. Kita semua cintakan tanah air kesayangan ini. Kita menghormati undang-undang dan sistem kehakiman yang membawa kebaikan dan keadilan kepada semua. Menghadirkan diri di mahkamah Jalan Duta pada 9 Januari 2012 tidak bermaksud kita tidak menghormati undang-undang dan sistem kehakiman.

Sebaliknya, atas semangat cintakan perlembagaan, undang-undang dan sistem kehakiman negara, kita hadirkan diri untuk menyaksikan dengan kaca mata sendiri sejauh mana prinsip keadilan diangkat tanpa mengira perbezaan fahaman politik dalam kes fitnah II dan bukannya diperkosakan sistem kehakiman negara.

Sekian banyak berita yang terkandung dalam akhbar harian yang menjadi tatapan kita saban hari. Apakah akhirnya memenjarakan kita dengan ketidakupayaan memahami hubung kait sistem kehakiman dan kuasa politk yang dominan? Perhimpunan 901 bukan sekadar kerana seorang manusia berusia 65 tahun yang pernah ditelanjangkan, dibelasah sehingga mata berdarah, dipenjarakan dan diaibkan berkali-kali, tetapi berkait rapat dengan kerosakan sistem kehakiman dan institusi keadilan sehingga mampu memenjarakan kita dan memperdayakan kita dengan persepsi yang dilakarkan oleh jentera media kawalan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Jangan kita lupa semasa membaca akhbar atau menonton berita televisyen, dalam dunia kontemporari, institusi media merupakan sebahagian daripada institusi keadilan.

Tanggal 9 Januari 2012 bakal dicatatkan sebagai lembaran sejarah hitam Malaysia berkenaan dengan sistem kehakiman. Sama ada dipenjarakan atau tidak, penganiayaan yang dilakukan melalui manipulasi proses kehakiman dan media terus-menerus melakar persepsi bahawa insan bernama Anwar Ibrahim melakukan kesalahan tidak bermoral dan tidak sesuai menjadi Perdana Menteri.

Penganiyaan melalui proses kehakiman bukanlah sesuatu yang mudah difahami. Sebab itu, orang ramai bergantung kepada laporan media, khususnya media cetak dan penyiaran untuk mengetahui perkembangan dari masa ke masa.

Kalau kita tidak naif, kita bukan sahaja faham bahawa hadirkan diri dalam perhimpunan 901 tidak bermaksud kita tidak menghormati undang-undang, kita juga faham bahawa keputusan pada 9 Januari 2012 merupakan sebahagian daripada agenda UMNO. Daripada laporan berita akhbar harian yang berulang kali memetik komen yang lebih kurang sama daripada sesetengah individu yang sama contohnya Zulkifli Nordin sekian lama, barang siapa yang pernah bekerja dalam industri media, fahamlah dia, pelaporan seumpama bercanggah dengan nilai berita yang proses produksinya profesional. Tidak kira apa motif "pelarian politik" Raja Petra (gambar kanan) berkenaan dengan komennya baru-baru ini, barang siapa yang pernah bekerja sebagai wartawan tahu benar apa itu agenda setting. Sama ada sedar atau tidak, komen Raja Petra memenuhi agenda UMNO. Tak apa komen seorang "pelarian politik" dijadikan sebahagian daripada agenda UMNO, yang penting kita sedar dan kita tidak naif sehingga mempercayai sistem kehakiman dan institusi keadilan dapat dipulihkan dengan melakarkan persepsi negatif berhubung tertuduh yang tidak melarikan diri.

Di mana berlaku ketidakadilan yang melampau sehingga menggeramkan rakyat terbanyak, di sana akan bangkit gelombang rakyat menuntut keadilan. Begitulah tatapan sejarah khalayak ramai yang juga menjadi topik diskusi di kedai kopi dan di sana sini.

Sejarah rakyat mengandungi elemen protes secara aman apabila institusi keadilan dilembukan oleh kuasa pemerintah. Sejarah rakyat mengandungi elemen memberontak apabila penganiyaan atau keganasan secara melampau dilakukan oleh pihak berkuasa.

Tetapi sejarah UMNO berbeza dengan sejarah rakyat. Dalam tatapan sejarah UMNO, rakyat tidak mampu bangkit asalkan manipulasi media cetak dan penyiaran dilakukan dengan bijak. Barang siapa yang pernah bekerja dalam kedua-dua media cetak dan media atas talian, fahamlah juga dia bahawa kewujudan internet dan kebangkitan media baharu khususnya media sosial tidak bermaksud media cetak dan penyiaran menjadi bebas secara semula jadi. Hakikatnya, beberapa konglomerat media UMNO-BN masih mengawal akhbar dan stesyen televisyen dan radio utama di Malaysia di samping media kerajaan yang juga didalangi agenda UMNO.

Pada ketika pemimpin UMNO memikirkan masa depan dan kepentingan diri, sama ada diri dapat bertanding pada pilihan raya akan datang, sama ada Najib akan merombak kabinet dan menukarkan pemimpi bertaraf menteri, dan sama ada diri dapat dinaiktaraf jadi menteri, biar kita memahami selok-belok media cetak dan penyiaran dalam konteks di mana media dilihat sebagai institusi kuasa yang juga merupakan sebahagian daripada institusi keadilan. Dengan kata lain, selain dikawal dengan undang-undang ketat, media cetak dan penyiaran juga dapat dimanipulasi saban hari untuk mencapai agenda UMNO.

Pemimpin UMNO lain mungkin tidak faham sejarah dan undang-undang, saya pasti Saifuddin Abdullah yang pernah berbicara mengikut gerak hati masalah-masalah negara faham, apa agenda sebuah parti politik yang kehilangan idealisme dan sedang berdepan dengan krisis kehilangan tampuk pemerintahan, dan sejauh mana sistem kehakiman dan institusi keadilan dimanipulasi untuk mencapai agendanya. Sebab itu, Saya yakin Saifuddin Abdullah yang menyokong hak berhimpun demonstran tidak akan membiarkan perhimpunan 901 secara aman dikucar-kacirkan oleh sesetengah pihak demi mencapai agenda tertentu.

Kalau kisah seorang insan berusia 65 tahun dianiayai berkali-kali tidak mampu menyedarkan kita berkenaan dengan kerosakan sistem kehakiman. "Biarlah orang tua masuk penjara, mati di penjara pun tak apa," kononnya. Harapan bukannya pada orang tua, tetapi bertapak atas kesedaran kita bahawa kebangkitan rakyat cukup mustahak dalam perjuangan demokrasi dan keadilan.

Semasa Internet mula bertapak di bumi Malaysia, masyarakat secara amnya digegarkan dengan pelbagai fitnah yang dilontarkan oleh seorang Perdana Menteri terhadap timbalannya. Kini sejarah berulang tetapi mungkin berakhir dengan perbezaan. Kalau dahulu rakyat berasa lega selepas Mahathir diundurkan tetapi UMNO kekal, kini rakyat hanya akan merasa lega kalau UMNO diundurkan dalam pilihan raya akan datang.

9 Januari 2012 bukan satu tarikh menyaksikan kelahiran seorang individu, kemudian menujum bila orang tersebut dipenjarakan dan sama ada orang tersebut mati dalam penjara atau di luar penjara, tetapi tarikh kita menterjemahkan kecintaan kita terhadap prinsip keadilan dalam kerangka undang-undang tertinggi dan sistem kehakiman.

Seperkara penting yang harus dikaitkan sebagai penutup. Tanpa kebebasan media cetak dan penyiaran, jangan kita mempercayai pembaharuan sistem pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sahaja dapat menjamin proses pilihan raya yang adil. Sama ada proses kehakiman atau pilihan raya, institusi media merupakan asas kepada pembaharuan yang bermakna. Sebab itu, kalau media tidak memainkan peranan sebagai sebahagian daripada institusi keadilan negara, maka media akan dimanipulasi sebagai sebahagian daripada agenda UMNO.

Oleh : Ooi Heng -MerdekaReview

No comments: