Utusan diperintah bayar Guan Eng RM200 ribu kerana memfitnah.. banyak lagi saman yang belum selesai.
Mana-mana pihak boleh memberikan alasan dan berhelah untuk mendapat sokongan dari rakyat dalam mana-mana pilihanraya. Berhelah dan melakukannya dengan berhemah boleh di terima dan mungkin rakyat mempercayainya. Tetapi kalau kita melakukan fitnah secara blatant dan secara tidak sopan maka ia menjadikan rakyat naik bosan dan tidak menghormati kita.
Apa yang telah diputuskan oleh mahkamah Tinggi P Pinang baru-baru ini menunjukkan yang Utusan sebagai organ media yang menyebelahi UMNO itu telah di perintah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200 ribu kepada Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Utusan telah di dapati melakukan fitnah yang DAP adalah parti yang anti-Islam, anti Melayu dan melakukan ‘christianisation’ terhadap orang Islam.
Apa sahaja yang tidak elok itu adalah perbuatan DAP dan segala rasuah dan penyalahan guna kuasa oleh UMNO itu tidak salah. Yang boleh melakukan kesalahan hanyalah UMNO kerana UMNO merasakan ia adalah parti berkuasa dan mempunyai immuniti dari menghadapi tindakan undang-undang. Kejayaan Guan Eng dalam samannya terhadap Utusan itu diharap menjadi pembuka mata orang ramai bahawa selama ini DAP telah menjadi korban fitnah yang terbuka oleh UMNO dan penyokong-penyokongnya.
Di zaman rakyat sedang berfikir ini Utusan sebagai organ untuk parti pemerintah sepatutnya menunjukkan sikap yang benar-benar berintergriti dan menjauhi dari sikap memporak perandakan pemikiran rakyat. Kita sedang berada di dalam zaman dan waktu dalam mana rakyat keseluruhannya sedang melakukan ‘soul-searching’ yang serius. Jika Utuan melakukan perkara yang tidak adil terhadap lawan maka secara atomatisnya pihak yang di fitnah itu sentiasa mendapat simpati yang tinggi dari rakyat yang menghakiminya.
Jika Utusan sudah tidak mampu mencari jalan untuk meyakinkan rakyat yang UMNO BN itu masih relevan, ia tidak menghalalkan Utusan untuk mempunyai peri laku yang buruk ini. Jika Utusan berterusan melakukan ‘slander’ terhadap parti yang sedang mendapat tempat di hati rakyat ini maka secara parallel nya Utusan dan UMNO akan hilang kredibilitinya dari hari ke hari dan apabila sampai ke tahap ini UMNO jangan pula menyalahkan pihak lain jika parti itu diketepikan oleh rakyat.
Rakyat sedang tertunggu-tunggu untuk hidup aman dan sentosa seperti apa yang mereka pernah alami sebelum ini. Jika Utusan masih mempunyai pemikiran yang UMNO akan selamat dalam keadaan yang bergelora seperti dahulu, ia merupakan tanggapan yang salah dan kita tunggu sahaja akibat penolakkan rakyat terhadap UMNO itu.
UMNO mesti ingat yang parti itu mempunyai satu jalan sahaja untuk menjadi relevan kepada rakyat: ia itu pemimpin-pemimpinnya berkorban dengan meletakkan semua jawatan dan di gantikan oleh rakyat untuk memilih pemimpin-pemimpin yang baru dari bawah sehingga ketahap yang tertinggi. Tetapi ini tidak mungkin mampu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dan ahli UMNO kerana mereka tidak akan mahu meninggalkan jawatan yang yang telah memberikan kesenangan kepada mereka di atas kesusahan rakyat termasuk ahli-ahli parti yang biasa di bawah ini. Mereka lebih mementingkan diri mereka dari parti yang telah memberikan kesenangan kepada mereka selama ini.
Ahli-ahli UMNO sendiri tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan mereka kerana mereka adalah manusia biasa dan mereka juga terasa yang mereka telah diperlakukan seperti kerbau di sawah, gunanya untuk membajak sawah bendang pagi dan petang tetapi hasil padinya di makan oleh tikus-tikus yang gemuk-gemuk di kepuk padi. Apa yang kerbau-kerbau dapat hanyalah rumput-rumput kering yang di sabit oleh tuan-tuan mereka.
Ahli-ahli UMNO sendiri merasakan yang mereka di jadikan kaldai untuk membawa harta-harta rampasan untuk tuan-tuannya yang kaya raya itu. Bagaimanakah Utusan hendak menghilangkan persepsi ahli-ahli UMNO terhadap kepimpinan mereka?
Sesungguhnya yang melemahkan UMNO bukannya pembangkang tetapi ahli-ahli UMNO itu sendiri. Jika Utusan masih mempunyai kepercayaan yang melakukan porak peranda terhadap parti lawan itu tidak lagi menjadi tektik ampuh untuk mendapatkan sokongan orang ramai. Dulu-dulu bolehlah tetapi bukan lagi dalam keadaan sekarang.
Utusan mesti faham yang rakyat tidak lagi serba salah dalam membuat keputusan. Tidak lagi ramai yang mengambil langkah ‘middle left’ atau ‘middle right’. Rakyat tidak mahu lagi dipengaruhi dengan ungkitan jasa-jasa lama kerana yang lebih penting ialah masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka. Memberi jasa di zaman dahulu tidak lagi boleh memaksa rakyat memberikan sokongan kepada UMNO jika berterusan melakukan tindakan yang boleh menjahanamkan masa depan rakyat terutamanya anak-anak muda.
Utusan sepatutnya memberikan teguran kepada UMNO itu sendiri. Kalaulah UMNO itu bertindak betul, masakan rakyat ramai marah. Takkanlah rakyat marah jika UMNO melakukan perkara-perkara yang betul.
Dengan perintah mahkamah untuk Utusan membayar Guan Eng sebanyak rm 200 ribu itu, ianya elok dijadikan iktibar kepada Utusan, bahawa walaupun Utusan berpihak kepada pihak yang berkuasa ia tidak boleh menjamin perlindungan dari kerja jahat jika badan kehakiman itu kembali bebas untuk membuat keputusan yang adil.
Sesungguhnya yang rasis itu adalah UMNO, bukannya DAP. DAP adalah sebuah parti yang multi-racial yang kini sedang berusaha untuk membuktikan sifat keperbilangan kaumnya dengan meminta orang Melayu untuk melihat parti itu secara objektif, bukannya dimomokkan terus-terusan sebagai parti cina sebagai yang di tuduh oleh Utusan dan Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Untuk mencapai penyatuan rakyat parti-parti yang berteraskan kepada sesuatu bangsa sahaja semakin hari semakin tidak diterima lagi. Kami rakyat ingin hidup muhibbah di antara kaum dan jika perpaduan di antara kaum itu menjejaskan UMNO maka UMNO tidak perlu bertindak secara tidak ‘civil’ dalam menghadapi orang ramai yang sudah merubah persepsi dalam siasah negara dalam dunia yang serba berubah ini.
Jika rakyat berbilang kaum berkehendakkan penyatuan ummah dalam parti-parti yang multi racial, ia mungkin menjejaskan UMNO, MCA dan MIC, tetapi ia tidak akan menjejaskan keharmonian di antara kaum yang hidup kasih mengasih di antara rakyat dalam negara ini.
Jika UMNO di tolak, ianya tidak menjejaskan orang Melayu. Lagi pun UMNO itu sendiri telah mati pada tahun 1988 dahulu. Pada hakikatnya UMNO sudah lama tiada. Yang ada sekarang hanyalah parti yang senama dengannya yang tertubuh pada tahun 1988 dahulu untuk menyelamatkan seorang pemimpin yang sangat sayang pada kuasa yang dipegangnya secara peribadi.
Akibatnya rakyat berpecah belah sehingga hari ini. Yang hanya selamat hanya beliau seorang dan sekarang masih kuat bercakap tentang Melayu.
Kini pilihanraya hampir tiba. Marilah kita semua memerhatikan apa yang akan di tulis oleh Utusan untuk mempertahankan parti yang sudah hilang segala intergritinya sebagai parti yang telah diberikan mandat untuk menjaga kita semua.
Sumber : AspanAlias.blogspot
No comments:
Post a Comment