DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Saturday, December 31, 2011

PAHIT MANIS 2011

Tahun 2011 banyak menyaksikan pelbagai peristiwa penting dalam kancah senario politik tempatan yang menjadi penanda aras untuk dianalisa pada tahun hadapan. Berikut adalah beberapa kejadian/peristiwa/pekara yang terhangat sepanjang tahun 2011 untuk peringatan kita bersama.

Teropong lebih mahal dari Myvi Special Edition

Rata-rata saban tahun kita menantikan laporan Ketua Audit Negara supaya rakyat dapat mengetahui tentang bagaimana kerajaan membelanjakan wang kita, dan juga untuk menyaksikan angka-angka perbelanjaan yang tidak masuk akal.

Pada tahun ini juga, banyak persoalan timbul tentang bagaimana wang kita dibelanjakan. Antaranya teropong berharga RM1,940 dibeli dengan harga RM56,350 iaitu 2,805 peratus lebih mahal dari harga pasaran! Malah, ia lebih mahal dari harga kereta manual Myvi Special Edition. Pemain DVD dan TV LCD pula dibeli dengan harga RM16,100 walhal harga sebenarnya cuma RM2,182, iaitu 638 peratus perbezaan dengan harga asal.

Lebih menakutkan lagi, jumlah dan kadar hutang negara juga meningkat. Hutang kerajaan pusat pada tahun 2006 ialah RM242 bilion, dan ia kian melonjak setiap tahun. Kini pada tahun 2011, jumlah hutang kerajaan pusat ialah RM456 bilion!

Jika kita menganalisis kadar hutang negara berbanding KDNK, ia mencapai tahap 54.8 peratus. Jika melebihi paras 50%, ia boleh dikatakan amat merbahaya.

Trend menunjukan bahawa kadar hutang negara meningkat setiap tahun dan jika kita membuat andaian berdasarkan peningkatan hutang sejak tahun 2006, dan purata Kadar Pertumbuhan Terkumpul Tahunan adalah sebanyak 12 peratus hutang perbendaharaan negara akan terus melonjak kepada RM1 trilion (atau RM1,000 bilion) pada 2019.

Mengapa banyak hutang merbahaya? Kerana setiap individu rakyat akan menanggung kesannya di mana tidak lama lagi cukai akan dinaikkan atau cukai baru dicipta. Pelabagai jenis bayaran ‘perhidmatan’ akan diperkenalkan dan sebagainya yang membebankan lagi perbelanjaan keluarga.

Jika anda tidak yakin dengan Pakatan Rakyat dan bagaimana mereka boleh memperbaiki keadaan ini, lihat sahaja Laporan Ketua Audit Negara untuk negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Kesemuanya mengalami lebihan atau surplus belanjawan, dan pendapatan hasil negeri juga meningkat. Ini amat berbeza sekali dengan kesemua negeri-negeri Barisan Nasional yang mengalami defisit belanjawan dan hutang kerajaan negeri juga turut meningkat (kecuali Perak yang ditadbir oleh Pakatan di antara Mac 2008 dan Februari 2009).

Lebihan belanjawan ini pula digunakan untuk banyak lagi program rakyat di samping bentuan dan sumbangan tunai kepada keluarga miskin, warga emas, OKU, kanak-kanak dan mereka yang memerlukan. Tidak ada wang rakyat yang tiris atau bocor oleh pentadbiran negeri-negeri Pakatan.

Skandal duit ternak lembu diguna beli kondo mewah

Rata-rata semua orang tahu tentang skandal NFC (National Feedlot Corporation) yang melibatkan suami dan anak-anak Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil sehinggakan Utusan Melayu pun tidak boleh menutup skandal tersebut.

Apabila mula dilancarkan, sasaran NFC adalah untuk menghasilkan 60,000 ekor lembu setahun. Namun setelah tiga tahun beroperasi sejak 2008, hanya sejumlah 8,016 ekor sahaja dihasilkan, iaitu purata 2,672 setahun, bersamaan 4.45 peratus daripada sasaran asal. Maknanya ia gagal.

Untuk menghasilkan 8,016 ekor lembu tersebut, sejumlah RM141 juta telah dibelanjakan, iaitu jauh menyimpang dari anggaran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, iaitu hanya RM6.37 juta untuk menghasilkan 9,000 ekor lembu. Ini merupakan 22 kali ganda lagi mahal daripada anggaran kementerian. Maknanya kira-kira RM17,500 dibelanjakan untuk seekor lembu!

Kementerian juga mensasarkan projek ini akan menghasilkan 50,000 tan daging menjelang 2009 di mana 330,000 ekor lembu akan dikorbankan. Namun sehingga November 2010, hanya 5,752 ekor lembu telah dikorbankan. Ia amat tersasar dari anggaran asal.

Buatlah penilaian anda sendiri, siapa yang harus dipercaya? Fakta-fakta ini boleh didapati dari Laporan Ketua Audit Negara dan juga laporan Jabatan Haiwan dan Veterinar.

Siapa dapat projek RM250 juta tersebut? Keluarga menteri. Bagaimana wang tersebut dibelanjakan? Antaranya, kondominium mewah di Kuala Lumpur bernilai RM10.2 juta, kondominium mewah di Singapura bernilai RM9.9 juta, sebuah kereta mewah Mercedes Benz CLS 350 CGI berharga RM534,622, tanah premium di Putrajaya bernilai RM3.4 juta, dan macam-macam lagi perbelanjaan seperti pakej percutian dan sebagainya.

Pehimpunan agung UMNO

Tidak pernah dalam sejarah UMNO mahu pun UMNO Baru yang menyaksikan perhimpunan agung mereka yang seteruk tahun ini. Tiada agenda Melayu maju dan berdikari, yang ada hanya agenda kemandiran perkauman mereka yang semakin tidak relevan. Kasihan 3.3 juta ahli UMNO, hanya ini yang menjadi kebanggan mereka dek pimpinan yang sudah hilang adab sopan.

Ia bagaikan pesta memaki hamun dan memfitnah pembangkang semata-mata. Bagaikan siapa boleh cipta fitnah paling buruk, dialah yang terhebat. Siapa yang paling keras makian dan kata-kata kesatnya, dialah jaguh.

Antara pihak yang paling banyak difitnah ialah DAP. DAP difitnah sebagai ejen Kristian, ingin menubuhkan republik, tidak menghormati Raja, bersikap rasis dan pelbagai tuduhan lain yang amat tidak masuk akal. PAS dan PKR pula dikatakan sebagai pondan dan bapok.

Yang paling memalukan umat Melayu ialah Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang yang berketurunan India Muslim, atas nama Allah SWT dan Rasulullah SAW, telah menggelar warga Malaysia yang menyokong DAP sebagai “bangsat”.

Sampai begitu sekali jijik dan kejinya politik mereka, tiada harapan lagi untuk dipulihkan. Tiada ruang untuk diskusi intelek. Tiada pemimpin yang boleh membawa arus perubahan positif untuk parti itu.

Lihat sahaja Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifudin Abdullah yang dikritik oleh puak-puak perkauman dalam partinya sendiri kerana beliau ingin melihat perubahan dalam UMNO supaya lebih relevan. Rakyat boleh melihat, dalam perhimpunan mereka itu bahawa sesungguhnya, pimpinan UMNO tidak layak dan tidak wajar menjadi pemimpin bukan sahaja peringkat kampung, apatah lagi menerajui Malaysia ke arah yang lebih tinggi.

Tranformasi hangat-hangat tahi ayam

Slogan-slogan yang menarik, akronim-akronim yang mengagumkan. Namun setakat di situ sahaja kita kagum. Kerana slogan-slogan dan akronim tersebut tiada sebarang makna mahu pun keikhlasan dari segi pelaksanaan mahu pun isinya.

Meski pun pada Hari Malaysia tahun ini Perdana Menteri mengumumkan pengkajian semula dan penghapuskan beberapa undang-undang zalim, jelas kepada kita bahawa transformasi yang dibawakan oleh beliau hanya seperti sesumpah yang berubah mengikut persekitaran.

Kononya mahu dimansuh Seksyen 27 Akta Polis dan membenarkan lebih banyak ruang kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun secara aman. Namun digantikannya pula dengan Akta Perhimpunan Aman (sedap namanya, jijik isinya) yang lebih teruk mengongkong daripada junta tentera Myanmar. Bila wakil rakyat membantah, tiada ruang diskusi diberikan. Bila Majlis Peguam memprotes, tidak dipedulikan sama sekali. Bila rakyat mahu bangkit, diberi amaran keras bahawa tindakan keras akan diambil.

Juga dalam kes tanda mercu Hilman et al v Government of Malaysia yang mana Mahkamah memutuskan bahawa Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah haram kerana bercanggah dengan Pelembagaan Persekutuan. Apa kerajaan UMNO-BN buat? Ia masih lagi mahu merayu terhadap keputusan tersebut agar mahasiswa tidak boleh terlibat dalam politik negara.

Transformasi? Hanya pada nama untuk mengaburi mata rakyat tetapi tiada pengisian. Kita tunggu sahaja dan lihat apa dia undang-undang yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kumpulan perkauman Melayu, Perkasa yang seiring dengan UMNO, sudah ‘memartabatkan’ ISA sebagai ‘Taming Sari’ orang Melayu. Kita sedang nantikan apa lagi tunggang terbalik Datuk Seri Najib Razak terhadap ISA dan akta-akta zalim lain yang akan diumumkan tahun hadapan.

KR1M: Sekali lagi yang miskin menjadi mangsa

Sebagaimana kita sedia maklum, disebabkan segala-gala harga barang naik dan kos sara hidup kian meningkat oleh kerana ketidakcekapan kerajaan pusat dalam menguruskan dana negara, maka timbulnya satu konsep Kedai Rakyat 1Malaysia yang bunyinya amat bijak.

Pertama, ia dilihat sebagai tindakan proaktif kerajaan untuk membantu rakyat, dan kedua, ia boleh dijadikan monopoli untuk kroni UMNO. Ia berharap dapat meringankan beban ekonomi keluarga dan dengan itu rakyat tidak akan bising dengan projek yang diberikan kepada kroni UMNO.

Namun, dengan subsidi RM40 juta yang kononnya mengurangkan beban rakyat untuk membeli barangan keperluan, terdapat banyak kepincangan dalam kedai konsep tersebut.

Antaranya, dakwaan bahawa barangan di kedai tersebut lebih murah daripada mana-mana pasaraya telah dibuktikan tidak benar. Tetapi yang lebih penting, ada barangan didapati tidak selamat untuk pengguna. Ini kerana bahan-bahan tersebut adalah barangan generik dan tidak mengikut tahap piawai yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri seperti yang tertakluk dalam Akta Makanan.

Sebagai contoh, sos tiram KR1M terpaksa ditarik balik kerana didapati tidak selamat untuk pengguna. Susu kanak-kanak juga didapati melebihan had vitamin A yang ditetapkan Akta dan susu pekat manis telah melebihi peratusan gula 76 peratus yang dibenarkan.

Selain isu keselamatan, rata-rata produk tersebut amat mengelirukan pengguna kerana label barangan tidak tepat, dan kemudian terpaksa ditarik balik, seperti aiskrim, susu membesar, kari ayam, dan sardin.

Kita amat bernasib baik kerana pekara ini telah diutarakan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat dan kini sedang diperbaiki oleh Kementerian Kesihatan. Biar pun ada menteri UMNO yang cuba menjadikannya isu perkauman, akhirnya kebenaran telah timbul.

Ini hanya sebahagian kecil daripada masalah penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai kesalahan yang telah dilakukan oleh pimpinan UMNO-BN terhadap rakyat. Semua ini akan mengalir dalam arena politik, ekonomi dan sosial negara pada tahun depan.

Pada 9 Julai 2011 puluhan ribu rakyat telah berkumpul secara aman di ibu kota menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan telus. Polis bertindak dengan membelasah rakyat yang hanya mahu memartabatkan demokrasi dan kebebasan melalui Bersih 2.0. Ia petanda jelas tidak akan ada perubahan positif daripada kerajaan UMNO-BN.

Hanya kita sebagai rakyat mampu menghentikan segala kemungkaran ini pada 2012.

Sumber :Roketkini.com

No comments: