Dr Mahathir telah meminta Shahrizat berundur sebelum beliau diundurkan. Dr Mahathir merupakan individu yang terakhir meminta Sharizat berundur kerana terlibat dengan pinjaman mudah dari kerajaan sebanyak RM250 juta untuk membangunkan NFC di Gemas, Negeri Sembilan.
Sebenarnya berundur itu memang tidak payah disuruh dan dipaksa kerana isu itu memang menuntut Shahrizat untuk mengundurkan diri secara ‘voluntary’ sesuai dengan semangat demokrasi yang tulen. Sepatutnya Sharizat lebih awal lagi berundur tetapi beliau sebaliknya menyingsing lengan dan mengkritik pembangkang pula yang melakukan fitnah dan sebagainya.
Seperti yang saya sebut dalam tulisan saya beberapa hari yang lalu keputusan kerajaan untuk memberikan pinjaman dengan begitu mudah adalah disebabkan Shahrizat adalah seorang ahli jemaah kabinet negara. Kalau Shahrizat seorang bidan di klinik desa di kampung saya suaminya tidak mungkin mendapat pinjaman yang mudah daripada kerajaan.
Kalau dipandang dari sudut mana sekali pun, skandal ini melibatkan bukan sahaja Shahrizat tetapi seluruh ahli jemaah kabinet dan sepatutnya yang berhenti bukan Shahrizat seorang tetapi kesemua ahli yang berada di dalam jemaah kabinet semasa itu, terutamanya TS Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi menteri pertanian dan asas tani negara.
Jika Shahrizat bertanggungjawab, maka Muhyiddin sepatutnya mengambil ‘accountability’ kerana projek ini mendapat sokongan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab. Sayalah orang yang paling awal menerima cadangan TUN yang Shahrizat patut berundur tetapi masalahnya kenapa Sharizat sahaja? Kenapa tidak mereka yang lain yang telah menggunakan kuasa untuk kepentingan anak-anak dan keluarga dengan menggunakan duit orang ramai untuk menyelamatkan keluarga yang gagal dan perniagaan.
Tentu Dr Mahathir tahu siapa yang menggunakan lebih dari satu billion wang rakyat untuk digunakan untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang dalam kerugian besar semasa itu. Kenapa pemimpin itu tidak meletakkan jawatan dengan serta merta? Kita akui yang kesalahan politik dan moral yang dilakukan oleh Shahrizat adalah besar tetapi kenapa tidak mengambil tindakan kepada kes yang lebih besar dari itu?
Saya juga hendak bertanya bagaimana hendak membuang Shahrizat sedangkan parti telah mengambil ketetapan untuk mempertahankan Shahrizat. Muhyiddin Yassin, Noh Omar, Khairy Jamaluddin dan ramai lagi yang mempertahankan Shahrizat. Dalam perhimpunan agong 3 sayap parti dan perhimpunan agong UMNO sendiri tidak ada apa-apa tindakan yang di ambil terhadap Shahrizat.
Inilah masalahnya UMNO ini. Pemimpin-pemimpin mereka mempunyai kepentingan perniagaan. Kepentingan perniagaan itu satu hal. Yang lebih menyedihkan berlaku di dalam UMNO ini ialah nilai kepimpinan, nilai kemanusiaan serta budaya di kalangan ahli-ahli dan penyokongnya telah terlalu ,’un Malay’, budaya yang bukan dimiliki oleh Melayu.
Persepsi kepada sesuatu isu itu sudah terlalu jauh menyimpang dan tidak pernah kita sangka yang keadaan sudah sampai ke tahap yang sangat merunsingkan. Kita boleh lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang beberapa hari yang lepas di mana sekumpulan penyokong kerajaan yang anti DAP telah menampakkan kebobrokan mereka dengan menghantar kek berbentuk tahi kepada Lim Guan Eng.
Apa semuanya ini? Tindakkan tidak berbudaya dan beragama ini disokong pula oleh media masa perdana kepunyaan UMNO TV3 dengan menyiarkan berulang kali untuk memberi tekanan kepada DAP. Inikah hasil perjuangan UMNO? Ini kah budaya yang UMNO bentuk selama ini. Ini kah budaya Melayu?
Mentaliti yang sudah jatuh ke tahap ini sekali gus melambangkan pihak yang menyokong UMNO itu sudah berada di dalam keadaan desperate yang tidak terhingga. Di perhimpunan agong di Kuala Lumpur kita mendengar ada pemimpin-pemimpin yang menggunakan ayat-ayat suci, tetapi di bawah, penyokong-penyokongnya menggunakan taktik politik yang bukan islamik.
Mereka membuat kek berbentuk tahi untuk di hadiahkan kepada Ketua Menteri yang menyambut hari jadi yang ke 51. Kalaulah hanya ini yang UMNO mampu untuk mencapai maka kita eloklah berfikir 1000 kali sebelum memberikan undi kepada parti yang kian hari kian gila ini.
Sampai bila kita rakyat hendak hidup bersama dengan kumpulan yang tidak berbudaya ini. Menghantar kek berbentuk tahi ini memang satu insiden yang sudah cukup untuk di nilai bagaimana UMNO membentuk budaya dan sifat penyokong-penyokong mereka. Sifat amarah yang tidak ada batasan semata-mata kerana hendak menjatuhkan pimpinan negeri dengan melakukan tindakkan yang tidak terperi hinanya ini amat memalukan bangsa.
Kenapa tidak bertindak dengan melakukan kerja-kerja baik untuk meyakinkan rakyat untuk menyokong pimpinan UMNO? Percayalah ini bukan budaya yang sepatutnya ada dalam UMNO. Itulah sebabnya saya telah menyebutkan ratusan kali, budaya ini bukannya budaya UMNO yang asal. Ini budaya UMNO baru, parti yang ditubuhkan untuk menyelamatkan Dr Mahathir dahulu. Jika UMNO yang ada pada hari ini serupa dengan UMNO dahulu, politik negara tidak akan jadi begini keadaannya.
Bagi pendapat setengah pihak samada Shahrizat berhenti atau pun tidak UMNO akan tetap berada dalam keadaan yang sama. UMNO itu telah jatuh imejnya bukan oleh kerana Shahrizat seorang. Ia di sebabkan oleh semua pemimpin-pemimpin parti itu. Terus terang saya nyatakan yang patut berhenti ialah Najib dan seluruh barisan pimpinannya. Kata perbilangan, ‘busuknya ikan itu bermula dari kepalanya’.
Jika kita selalu ke pasar untuk membeli ikan kita akan tengok kepalanya dahulu untuk menentukankan samada ikan itu elok atau pun tidak. Kita tidak payah melihat badan ikan itu; cukup sekadar melihat kepala ikan itu sahaja. Kalau engsang ikan itu sudah hitam ikan itu sudah tidak baik untuk dimasak lagi.
Kalau kita pandang dari sudut etika kepimpimpinan semua pemimpin UMNO yang ada sekarang sudah sepatutnya mengundurkan diri, tetapi mungkin oleh kerana Shahrizat tidak sekuat setangah pemimpin yang lain maka Shahrizat tidak mendapat keistimewaan ramai lagi pemimpin yang telah melakukan kerja tidak baik yang jauh lebih hina dari Shahrizat.
Itulah sebabnya di negara-negara maju etika kepimpinan ini merupakan perkara yang lebih di titikberatkan oleh negara-negara tersebut. Seorang ahli kabinet Jerman pernah hilang jawatannya kerana menggunakan kad kredit kerajaan untuk membeli cokelat untuk cucunya yang tidak seberapa harganya. Seorang ahli kabinet Britain hilang jawatannya kerana menggunakan pengaruhnya sebagai menteri dalam negeri untuk mempercepatkan proses permohonan permit kerja untuk orang gaji teman wanitanya.
Saya menyebut perkara dan contoh-contoh ini untuk menunjukkan betapa ketinggalannya kita dalam memilihara etika kepimpinan dalam sebuah negara demokrasi saperti kita ini. Pemimpin-pemimpin kita telah menggunakan pengaruh dan kuasa dengan tidak ada hadnya dan ada seorang pemimpin utama negara yang menggunakan wang rakyat yang berbillion utnuk menyelamatkan perniagaan anaknya. Pemimpin yang saya maksudkan itu tidak pula berhenti dan telah duduk di kerusi tertinggi negara ini dengan begitu lama selepas perkara itu berlaku.
Saya telah selalu sebut tentang perkara ini: iaitu yang membuat salah yang lebih besar meminta pemimpin lain yang telah melakukan kesalahan yang sama untuk berhenti. Ini merupakan satu perkara yang tidak adil.
Benar, Shahrizat wajar berhenti, tetapi yang lain-lain pun perlu berhenti kerana telah melakukan kesalahan yang sama suatu ketika dahulu. Lagi pun apa yang dilakukan oleh Shahrizat ini sepatutnya diambil ‘accountability’nya oleh keseluruhan barisan kabinet kerajaan.
Moralnya Najib dan semua ahli-ahli jemaah kabinetnya perlu berhenti dalam isu NFC ini. Itulah etikanya. Dr Mahathir patut menyeru semua ahli jemaah kabinet negara berhenti bersama-sama dengan Sharizat Jalil. Kesemua mereka itu sama sahaja.
Sumber : AspanAlias.blogspot
No comments:
Post a Comment