Oleh: Fairuz Azhan
DAP memperolehi hampir 900,000 undi atau 12.8 peratus daripada keseluruhan undi bagi kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 2008. Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, DAP mendapat 1.1 juta undi atau 14 peratus.
Peratusan undi terbanyak DAP di peringkat DUN diperolehi di Pulau Pinang dengan 54.6 peratus dan Perak 42.4 peratus.
Selepas PRU 2008, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan. DAP hanya bertanding satu PRK bagi Parlimen Sibu di Sarawak pada Mei 2010. Kemenangan berpihak kepada DAP dengan mendapat 18,845 undi atau 49.7 peratus.
Pada April 2011, DAP yang meletakkan 15 calon dalam pilihan raya negeri Sarawak telah menang 12 kerusi dengan mendapat 134,847 undi atau 20 peratus daripada keseluruhan undi.
Walau pun Barisan Nasional mengekalkan penguasaan, keputusan DAP amat membanggakan kerana menambah kerusi bnegitu banyak berbanding hanya enam yang dimenangi pada 2006.
Dalam PRU 2008, ramai pengundi Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain telah memilih DAP. Pilihan raya negeri Sarawak 2011 pula menyaksikan 32 peratus undi DAP diperolehi daripada kaum Iban, Bidayuh, Melayu dan Melanau.
Dan semua mereka ini yang telah mengundi DAP digelar sebagai “bangsat” oleh seorang pemimpin Pemuda UMNO. Maknanya, lebih sejuta rakyat Malaysia adalah “bangsat” dari kaca mata UMNO.
Siapa “bangsat”
Kata-kata nista dalam Perhimpunan Agung UMNO jelas memperlihatkan siapa yang sebenarnya petualang negara yang memainkan api perkauman.
Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin sudah mengeluarkan kata-kata bahawa semua penyokong DAP adalah “bangsat”. Ini bermaksud sesiapa sahaja yang telah mengundi DAP dan menyokong DAP, tanpa mengira kaum dan agama, kesemua mereka merupakan “bangsat”.
Tafsiran umum untuk “bangsat” adalah anak luar nikah atau manusia tidak berguna manakala definisi Kamus Dewan membawa orang jahat, hina atau kutu yang berbau busuk.
Malah, jika mengikut andaian politik UMNO sendiri yang sering menggambarkan DAP sebagai parti orang Cina, kenyataan pemimpin UMNO itu mencerminkan hampir semua orang Cina adalah “bangsat” kerana telah memilih DAP.
Adakah ini bermakna hampir semua kaum Cina dan India di Pulau Pinang yang menyokong pentadbiran Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri adalah “bangsat”?
Adakah ini bermakna hampir semua pegawai dan kakitangan awam di Pulau Pinang yang cemerlang dalam tugas mereka melalui urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) adalah “bangsat”?
Adakah ini bermakna guru-guru KAFA, para huffaz dan iman serta kakitangan masjid di Pulau Pinang yang menerima baik pentadbiran DAP dan Palatan Rakyat di Pulau Pinang adalah “bangsat”?
Adakah ini juga bermakna semua kontraktor, terutamanya para kontraktor Melayu yang berkelayakan dan berkemahiran, yang mendapat kontrak melalui tender terbuka di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah “bangsat”?
Pemimpin Pemuda UMNO itu dari golongan professional, dia bertaraf jurutera. Adakah ini bakal calon “boleh menang” UMNO yang bakal mendapat undi daripada kebanyakan para pengundi yang telah digelarnya sebagai “bangsat”?
Yang menyeru kebaikan adalah “bangsat”?
Mengikut hujah Pemuda UMNO itu, sesiapa yang menentang rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, politik lucah dan fitnah adalah “bangsat” kerana menyokong DAP yang berpendirian sedemikian.
Begitu juga sesiapa yang mahu kepada keadilan, demokrasi, pilihan raya bersih dan telus, hak dan peluang saksama adalah “bangsat” kerana DAP juga berpendirian seperti itu.
Dalam demokrasi – demokrasi moden bererti politik yang menolak pemerintahan kuku besi, yang mahu kepada kebebasan, keadilan dan hak serta peluang saksama – para politikus biasanya akan memujuk pengundi untuk mendapatkan sokongan mereka. Ada politikus yang melawat rakyat, beramah mesra, belanja makan dan sebagainya.
Belum pernah terdengar orang berkempen dengan menuduh bakal pengundi sebagai “bangsat”. Mungkin inilah kejutan yang akan dibuat oleh UMNO bagi menghadapi PRU ke-13 nanti.
Kuasa di tangan rakyat, sama ada digelar “bangsat” atau tidak
Rakyat jelata yang prihatin tidak akan bertindak seperti mereka, iaitu memilih jalan singkat dengan mendesak mereka disumbatkan ke dalam penjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) atau menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2011 untuk mengekang hak mereka berkumpul, menjerit dan memaki-hamun.
Rakyat akan memilih jalan demokrasi, jalan yang memberi kuasa kepada kita semua untuk memilih pemimpin dan kerajaan melalui peti undi. Biarlah kita dituduh “bangsat” kerana para “bangsat” inilah yang akan menentukan nasib politik UMNO.
Jika sejuta lebih pengundi memilih DAP di antara tahun 2008 dan 2011 dikatakan “bangsat”, maka bayangkan jutaan lagi yang menyokong PKR dan PAS yang berada dalam Pakatan bersama DAP.
Jika PRU 2008 menunjukkan undi popular Pakatan Rakyat sudah mencecah 49 peratus, tidak mustahil angka itu ditingkatkan oleh para pengundi, sama ada mereka yang dituduh “bangsat” oleh UMNO atau tidak,untuk membawa pembaharuan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat. –
Sumber : Roketkini.com
No comments:
Post a Comment