Politik 3D UMNO-BN
Oleh Adil Mat Selamat
Semakin jelas segala macam skandal penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO- Barisan Nasional sehingga nampak terang-benderang seperti dalam bentuk tiga dimensi atau 3D yang amat jelas bentuk, gaya dan rupanya.
Jika dahulu kita hanya mendengar khabar angin, gosip atau cakap-cakap kedai kopi, ia hanyalah ilusi 2D sebagai sekadar bahan jenaka, usik-megusik dan umpat-mengumpat.
Bentuk 3D adalah merujuk kepada ruang tiga dimensi. Dalam teori seni ia dimaksudkan sebagai bentuk yang punya sudut sisi, atas bawah dan belakang, iaitu gambaran 360o. Tidak sepertimana bentuk 2D yang hanya sekadar garis luar, sudut sisi dan atas bawah pada tahap 180o.
Kita lihat bagaimana manusia di zaman batu melakar dengan lukisan di dinding-dinding gua sebagai satu bentuk rakaman (dokumentasi) kejadian yang telah berlaku. Dari rupa (lakaran) kasar tanpa bentuk yang solid (sempurna), hinggalah ia berevolusi ke zaman teknologi ini menjadi 3D. Bentuk begitu realistik dan terperinci.
Begitu jugalah halnya dengan politik dan kerajaan kita.
Evolusi penyelewengan UMNO-BN
Apa yang kita maksudkan semua ini adalah bahawa UMNO-BN yang pada asalnya adalah sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan dibentuk atas dasar pemuafakatan antara berbilang kaum untuk membangunkan sosio-ekonomi negara.
Tetapi ia kini berevolusi menjadi sebuah kerajaan yang anti-rakyat dan anti-demokrasi. Bentuk-bentuk ini berubah dari bentuk asal dan menunjukkan ‘watak’ dan ‘warna’ sebenar mereka.
Apakah ini karma atau pilihan yang dibuat oleh kita sendiri?
Jika dapat disemak kes-kes yang pernah berlaku sejak dari kejatuhan ekonomi 1997/98 hingga kini, semua skandal itu jelas menunjukkan ada penglibatan kepentingan pihak kerajaan secara langsung. Ia bukan isu skandal persaingan di pihak swasta atau peribadi.
Kenyataan ini begitu menjolok perhatian kita, dan seharusnya ia begitu. Jika kita lihat bagaimana Malaysia boleh terlibat dengan krisis matawang pada 1997/98, Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pantas menyalahkan George Soros, pedagang mata wang antarabangsa.
Hakikatnya, mungkin kita semua sudah sedar bagaimana kerajaan menerusi Bank Negara telah melakukan satu kerja yang sangat tidak bertanggungjawab apabila ‘bermain’ dengan ‘pakar’ seperti Soros, dengan memperjudikan wang rakyat.
Hasilnya, perjudian ini tewas, dan apabila tersungkur, maka Soros yang juga seorang Yahudi dipersalahkan. Perkataan ‘Yahudi’ dipersebarkan pula oleh pecacai-pecacai Mahathir untuk membangkitkan sentimen kemarahan orang Melayu, semata-mata mahu mengalih pandangan rakyat daripada permainan judi menggunakan wang rakyat oleh kerajaan UMNO-BN.
Kita rakyat pula yang menanggungnya menerusi wang KWSP dan Petronas sebagai harta rakyat yang digunakan untuk menyelamatkan atau bail out syarikat-syarikat kroni Mahathir dan jebauk-jebauknya.
Kesan salah urus terhadap rakyat
Kesan langsung kepada rakyat pada masa itu ialah, harga barang naik, cukai naik dan minyak naik. Kita diminta untuk mengubah gaya hidup, kita diminta bersabar, diminta yakin dan bermacam-macam lagi.
Seolah-olah rakyat Malaysia ini hamba kepada UMNO-BN. Mereka pula tidak perlu ubah apa-apa, dan terus senang-lenang kerana kerugian akibat perbuatan sendiri telah ditanggung oleh wang rakyat.
Kemudian kita dapat lihat skandal PKFZ, berbilion-bilion ringgit urusniaga itu melibatkan dana kerajaan – dana ini adalah wang hasil dari cukai kita. Kita dapat lihat bagaimana UMNO-BN menggunakan dana ini dengan mengagih-agihkan kepada ‘sahabat-sahabat’ mereka dalam parti dan kerajaan.
Oleh kerana wang yang berbilion ringgit itu tidak dapat dilihat secara zahir di mata rakyat, maka kebanyakan kita tidak begitu mengambil peduli tentang korupsi itu hinggalah kes ini diperkatakan dan diangkat oleh parti-parti Pakatan Rakyat bagi menuntut siasatan dan pendakwaan.
Kalau Pakatan membisu, masakan bekas-bekas Menteri boleh dihadapkan ke mahkmah. Hanya masa akan menentukan sama ada keadilan akan benar-benar terlaksana.
Begitu juga halnya dengan kes Perwaja Steel. Hingga hari ini, tiada ada mana-mana pihak yang dipertanggungjawabkan. Namun yang pasti, wang berbilion itu sudah habis dibelanjakan oleh para karuptor.
Hinggalah kepada kes terbaru yang melibatkan seorang Menteri UMNO dan keluarganya, iaitu National Feedlot Corporation (NFC). Hakikatnya, isu ini didedahkan oleh Ketua Audit Negara dalam buku laporan tahunannya 2010. Kemudian isu ini disambut oleh Pakatan Rakyat, dan daripada situ barulah semua intipati kes-kes ini berjaya didedahkan satu persatu.
Barangkali jika tidak kerana Ketua Audit Negara dan Pakatan Rakyat, tentu sekali kes ini sekadar menjadi kes 2D sahaja. Jadi kisah kedai kopi dan gossip politik, berlingkar di sekitar luaran sahaja.
Dalam kes ini, segala rasional pihak kerajaan untuk menjelaskan kedudukan sebenar sebaliknya bertukar menjadi semakin kusut. Memang sukar untuk menjustifikasikan bagaimana wang rakyat menerusi kementerian yang bertanggungjawabkan telah disalahguna. Perniagaan yang seharusnya berjaya dan menguntugkan kini bertukar menjadi hal yang merepek dan terbengkalai.
Dan kini, kerajaan dilihat cuba menolak masalah ini kepada syarikat NFC sendiri untuk menjawabnya. Itulah jalan terakhir yang mampu dilakukan oleh UMNO-BN. Baling batu sembunyi tangan. Namun, walau apa pun yang dilakukan, imej dan kredibaliti kerajaan UMNO-BN sudah tiada.
Terang sudah skandal 3D
Jika semua skandal-skandal ini dapat kita lukiskan, pasti bentuk-bentuk imej itu menjadi semakin nyata seperti imej 3D. Setiap bentuk 3D mempunyai ciri-ciri lengkap sebagai satu bentuk yang sempurna.
Bentuk yang dapat kita lihat secara menyeluruh jalinan dan elemen-elemennya, bentuk yang dapat kita fahami keadaan warna dan sifatnya, bentuk yang dapat kita rasai kesannya.
Maka, menerusi perumpamaan dalam kes seperti ini kita akan dapat melihat, punca bagaimana korupsi itu boleh terjadi, di mana selalunya ia berlaku, berapa banyak wang yang boleh disalahgunakan, kuasa apa yang mengizinkan ianya berlaku hinggalah kita dapat melihat peranan masyarakat dan undang-undang dalam mengubati kanser ini.
Bentuk 3D UMNO-BN ini sudah jelas buat kita. Ia memberi kita petunjuk bahawa, ubat terbaik untuk mengubati kanser ini adalah dengan menolak keluar mereka dari pentadbiran negara dengan jalan yang sah, iaitu pilihan raya.
Jalan ini merupakan jalan tengah yang menolak cara-cara ganas termasuk panggilan revolusi yang tidak kena pada tempatnya di Malaysia yang masih aman walau sentiasa gelisah ini. Kita memilih jalan tengah untuk berubah, dan kita yakin jalan itulah yang terbaik dalam berhadapan dengan kabilah besar seperti UMNO-BN ini.
Inilah hakikatnya apabila sesebuah kerajaan itu sudah terlalu lama memerintah, mereka menjadi terlalu selesa hingga korup yang suatu ketika dulu begitu menjijikan tetapi kini hal itu menjadi budaya politik UMNO-BN.
Kita sudah memberi peluang kepada kerajaan UMNO-BN mereformasikan diri. Apa yang ada cuma janji demi janji.
Janji Tun Abdullah Ahmad Badawi sejak 2004 gagal ditunaikan. Janji Datuk Seri Najib Razak pun akan tinggal janji. Malah menjilat semula ludahnya apabila reformasi yang dicanangkannya bukan sahaja tak nampak bayangnya tetapi sedang dimansuhkan satu demi satu.
Sebelum terlambat dan parah, kita sebagai rakyat perlu ingat kata-kata hikmat ini: Mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Sumber: Roketkini.com
No comments:
Post a Comment