Oleh Fairuz Azhan
Negara sekali lagi dikejutkan dengan skandal keji yang menyelweng wang rakyat. Kali ini ia melibatkan projek ternakan lembu yang diberikan kepada keluarga seorang menteri yang gagal mendapat hasil tetapi duit pula digunakan untuk membeli sebuah kondominium mewah.
Isu National Feedlot Corporation (NFC) yang melibatkan keluarga Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil yang dipertahankan pula oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar serta beberapa pemimpin UMNO lain.
Isu NFC ini terbongkar dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan baru-baru ini. Sebanyak RM250 juta disediakan bagi projek ini di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menternak dan memproses daging lembu bagi memenuhi keperluan makanan domestik.
Namun demikian, seperti mana didedahkan Laporan Ketua Audit Negara, terdapat banyak pekara yang meragukan tentang projek tersebut.
Kegagalan projek NFC
Apabila kita ingin menilai sesuatu kejayaan atau kegagalan sesuatu projek itu, harus ada kayu ukur bagi membuat satu perbandingan.
Kayu ukur untuk NFC adalah matlamat yang ingin dicapainya. Adakah matlamat itu tercapai? Sekiranya matlamat tersebut tersasar jauh, maka boleh dikatakan bahawa projek itu telah gagal. Apabila RM250 juta wang rakyat menjadi taruhan, maka rakyat berhak mendapat penjelasan sewajarnya dari pihak-pihak terbabit.
Jadi, mari kita lihat statistic-statistik NFC tersebut.
Apabila mula dilancarkan, sasaran NFC adalah untuk menghasilkan 60,000 ekor lembu setahun. Namun setelah 3 tahun beroperasi sejak 2008, hanya 8,016 ekor sahaja dihasilkan, iaitu purata 2,672 setahun, bersamaan 4.45 peratus, daripada matlamat asal yang ditetapkan.
Untuk menghasilkan 8,016 ekor lembu itu pula, sejumlah RM141 juta telah dibelanjakan. Ini jauh menyimpang daripada anggaran kementerian tersebut, iaitu RM6.37 juta untuk menghasilkan 9,000 ekor lembu. Ini merupakan 22 kali ganda lagi mahal daripada anggaran kementerian.
Kementerian juga mensasarkan projek NFC akan menghasilkan 50,000 tan daging menjelang 2009 di mana 330,000 ekor lembu akan dikorbankan. Namun sehingga November 2010, hanya 5,752 ekor lembu telah dikorbankan. Ini sekali lagi amat tersasar dari anggaran asal.
Fakta-fakta ini bukan rekaan mana-mana pihak. Ia boleh didapati dari Laporan Ketua Audit Negara dan juga laporan Jabatan Haiwan dan Veterinar.
Dana RM83juta disalurkan kepada syarikat milik suami Shahrizat
Menurut penjelasan Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, sebanyak RM181 juta telah disalurkan kepada projek NFC. Dari wang itu, syarikat milik suami Shahrizat mendapat dana sebanyak RM83 juta daripada wang tersebut, iaitu syarikat yang bernama National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd (NMLC).
Bagaimanakah sebuah syarikat sahaja boleh membolot lebih kurang 40 peratus daripada jumlah dana yang telah diberi? Di mana dana untuk penternak-penternak lembu yang lain, yang lebih memerlukan dana tersebut berbanding keluarga seorang menteri?
Mungkin ia tidak menghairankan apabila kita mengetahui bahawa syarikat milik keluarga Shahrizat tersebut memenangi kontrak tersebut melalui sistem tender tertutup, seperti mana yang dijelaskan oleh Noh Omar.
Apabila diminta menjelaskan pekara tersebut, Shahrizat mengatakan bahawa “Keluarga saya bekerja kuat, ini serangan peribadi terhadap keluarga saya dan Wanita UMNO”. Itukah penjelasan seorang yang bergelar menteri?
Kondo RM10juta
Sudahlah menteri dan keluarga diberi projek yang dikhususkan untuk rakyat, timbul pula cerita syarikat itu membeli sebuah kondominium mewah dengan harga hampir RM10 juta. Bagaimana projek ternak lembu untuk memastikan rakyat cukup bekalan daging tiba-tiba boleh membeli kondominium mewah?
Tatkala Shahrizat cuba alih perhatian daripada tuduhan salah guna kuasa, timbul pula seorang graduan Oxford yang memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO yang cuba menyelamatkan skandal ini dengan menggunakan logik dan kepintaran yang dipelajarinya dari U.K. yang mengatakan kondo tersebut adalah untuk tujuan pelaburan.
Setakat ini tiada angka untuk menjelaskan apa-apa tentang ‘pelaburan’ tersebut. Jika rakyat marhaen pergi ke bank atau pun agensi kerajaan untuk meminta pinjaman RM81 juta untuk menternak lembu, dan menyenaraikan pembelian kondominium mewah RM10 juta sebagai pelaburan dalam kertas cadangan pinjaman, sudah pasti dia diketawakan atau lebih teruk lagi, dihalau keluar dari bank.
Pembohongan Najib dan Noh Omar di Parlimen
Perdana Menteri telah berbohong kepada Parlimen dan rakyat apabila memberitahu Dewan Rakyat pada 1 November lalu bahawa hanya RM181.9 juta daripada jumlah RM250 juta diluluskan kepada NFC. Begitu juga Noh Omar pada 31 Oktober lalu mengatakan tidak semua peruntukan RM250 juta itu telah diluluskan.
Menurut Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, rekod kewangan NFC menunjukkan semua RM250 juta itu disalurkan sepenuhnya kepada Shahrizat sebelum 31 Mac 2009, iaitu pinjaman pertama RM130 juta telah diambil dalam tahun 2008 dan kedua RM120 juta pada 31 Mac 2009.
Inilah yang dipersoalkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, sama ada penyalahgunaan wang rakyat, di mana pinjaman besar diberi kpeada syarikat keluarga atau kroni menteri, yang kemudian disalahgunakan pula untuk perkara yang lain daripada matlamat pinjaman diluluskan, telah menjadi amalan biasa dalam pentadbiran kerajaan masa kini.
Sumber: Roketkini.com
Ulasan :
Lihat U-Tube di SINI dan di SINI dan para pemimpin UMNO macam di SINI. Pendokong UMNO sahaja yanbg boleh diberuk-berukan, diperbodohkan dan diperlembukan. Orang lain jangan cuba-cuba! Cari nahaslah
No comments:
Post a Comment