DARI beberapa kenyataan Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, persefahaman antara komponen BN mahu dikaji semula – iaitu mana-mana kawasan yang Melayu majoriti, mestilah diletakkan calon Umno manakala, MCA, Gerakan dan MIC/PPP memerlukan “kajian semula”.
Shafie sudah banyak kali bercakap perkara yang sama dan dua lagi Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein juga pernah menyindir mengenai kawasan-kawasan yang diwakili calon-calon dari parti komponen, tidak semestinya dikekalkan, jika mahu melihat BN kembali memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).
Presiden MIC, Dato’ Palanivel sudah menekankan, MIC tetap tidak akan berganjak dengan jumlah kerusi yang diperuntukan dan tidak mahu berbincang lagi untuk mengurangkannya walaupun dalam PRU12, Mac 2008 yang lalu, parti itu senasib dengan Gerakan, PPP dan MCA tewas banyak kerusi.
Jadi, apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak bercakap di depan ahli-ahli Mubarak (Persatuan Bekas Wakil Rakyat) di Seri Perdana, 10 November lalu bahawa calon BN kali ini tidak kisah berapa usia mereka, berapa kali sudah bertanding, asalkan boleh menang, akan diletakkan sebagai calon.
Ketika itu, tentunya ada bekas-bekas wakil rakyat yang merasakan Najib masih memerlukan mereka, kerana faktor umur bukan menjadi alasan bagi Najib hendak memilih calon – tetapi percayalah, PM Najib hanya “menanam tebu di tepi bibir” kerana bimbang jika bekas wakil rakyat bertindak melompat meninggalkan BN menjelang PRU13.
Cakap-cakap Najib mengenai calon, tidak boleh dipegang sangat. Maklumlah, beliau hendak mengambil hati sesiapa sahaja yang berada di depannya.
Maknanya, siapa audiennya, itulah lenggok beliau bercakap. Tetapi bila tiba pilihan raya kecil, di beberapa kawasan, lain nada ucapannya.
Ambil contoh Pilihan Raya Kecil Kerdau, Melimau dan Tenang. Najib mengatakan BN memerlukan seorang yang berpelajaran, muda dan disukai pengundi. Tetapi apabila sampai masa Pilihan Raya Negeri Sarawak, Najib tidak mempunyai cukup keberanian menyebut BN memerlukan calon-calon muda dan disukai pengundi bagi mengelakkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkecil hati.
Jadi, mana-mana calon yang sudah melebihi dua penggal, berusia lebih dari 60 tahun (usia pencen bagi penjawat awam), usahlah berangan-angan mahu menjadi calon dalam PRU13 akan datang.
Najib berjanji “tidak kira berapa umurnya dan sudah berapa kali bertanding” hanya mahu meredakan keadaan panas politik dalaman BN.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor misalnya, Najib hampir-hampir tidak mampu menyelesaikan masalah, apabila Palanivel dikatakan berkeras mahu menjadi calon di situ, sedangkan Umno Bahagian Hulu Selangor mahukan calon lain, selain daripada Palanivel.
Itulah sebabnya, ketika Timbalan Pengerusi BN membuat pengumuman calon, kelibat Palanivel kelihatan dengan alasan ada tugasan lain.
Hakikatnya, dia tidak dapat menerima “campur tangan” Umno di dalam menentukan calon BN yang mewakili MIC.
Apakah Umno berani bersuara untuk kerusi Parlimen Teluk Kemang yang lazimnya diwakili MIC tetapi kali ini, meletakkan calon Umno mewakili BN? Begitu juga dengan kerusi Parlimen Sungai Siput dan Klang?
Begitu juga beberapa kerusi Dun yang agak panas, antaranya Dun Batu Caves yang secara tradisinya diwakili MIC tetapi kini rancak diperkatakan mahu diwakili calon Umno.
Kebetulan calon MIC di Dun Batu Caves dalam PRU 12, T Mohan tewas kepada calon KeADILan, Amiruddin Shaari.
Itu cerita MIC. Belum lagi cerita MCA yang tentunya berkeras tidak mahu bertolak ansur dalam mengurangkan jumlah kerusi yang mereka tandingi kerana rekod sebelum ini, dalam PRU 1999, undi pengundi Cina menyelamatkan BN daripada kehilangan banyak kerusi.
Strategi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, satu-satu kawasan pilihan raya, pengundi Cina dikehendaki mewakili 40 peratus manakala pengundi Melayu 60 peratus. Ini kerana dalam isu pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari Umno, BN kehilangan banyak undi Melayu tetapi undi Cina betul-betul memberi BN peluang untuk berkuasa.
Namun, strategi Dr Mahathir itu hanya sesuai untuk PRU 1999 dan ia sudah tidak relevan dalam PRU 2008 apabila undi Cina berpihak kepada Pakatan Rakyat dan di beberapa tempat, pengundi Melayu juga menolak BN.
Nyata, dalam beberapa pilihan raya kecil ternyata pengundi Cina masih belum mahu kembali menyokong BN dan BN menang dengan undi Melayu yang dikatakan bertambah tetapi, mereka yakin undi India tidak merudum seperti PRU 12.
Selagi Najib tidak yakin BN mampu mengutip 15 peratus sokongan di setiap kerusi Parlimen, Najib tidak akan mahu mencadangkan pembubaran Parlimen kerana memetik kata-kata Najib, bahawa PRU 13 adalah pilihan raya yang paling sengit.
Dari 222 kerusi Parlimen, BN memerlukan 112 untuk kembali berkuasa. Setakat ini, TPM Muhyiddin dikatakan hanya yakin BN hanya mampu menang selesa di 90 kerusi dan 22 kerusi lagi dalam kedudukan 50-50.
Itulah sebabnya, Muhyiddin diberi tugas oleh Najib supaya memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang berpotensi menang tetapi kemungkinan kalah jika berlaku krisis dalaman.
Di Johor, khabarnya Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman memberi tumpuan khusus kepada 10 kerusi Parlimen yang dilihat kemungkinan tumbang, berdasarkan pengalaman kekalahan Parlimen Bakri dalam PRU12, 2008 yang lalu.
Najib sendiri kurang yakin untuk menang semula Kedah dan ingatannya kepada ketuaketua bahagian di Kedah supaya berubah jika tidak mahu rebah, nampaknya tidak mendapat kerjasama yang baik daripada kepimpinan di peringkat bahagian di sana.
“Simpanan Tetap” Sabah dan Sarawak juga merunsingkan Najib ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak beberapa bulan lalu, tidak seperti yang diharapkan.
Sumber : DISINI
No comments:
Post a Comment