UMNO ARAH PARTI-PARTI KOMPONEN BN SERAH KERUSI MEREKA
Sudah ternyata Umno tidak mahu memberi ruang kepada rakan-rakannya di dalam Barisan Nasional (BN) dan kini telah lebih berani menonjolkan kuasa ketuanannya dengan mengarahkan parti-parti komponen BN yang tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan pada pilihanraya umum yang lalu agar segera menyerahkan kerusi-kerusi yang diperuntukan itu kepada Umno untuk ditandingi.
Naib-presiden Umno Datuk Mohd Shafie Apdal dengan nada yang keras menyatakan bahawa parti-parti komponen BN perlu rela menyerahkan kesemua peruntukan kerusi-kerusi mereka yang kalah tiga tahun yang lalu dengan alasan bahawa sekiranya Umno bertanding, parti itu akan dapat memenangi kembali kerusi-kerusi tersebut untuk BN.
Selain daripada itu, naib-presiden Umno itu juga menyebut bahawa nasihat beliau kepada parti-parti komponen BN agar menyerahkan kesemua kerusi-kerusi yang kalah dan yang tidak yakin kepada Umno adalah juga berdasarkan semangat perkongsian kuasa di antara satu sama lain di dalam BN.
Nampaknya Umno telah beriah-riah dengan nada bongkaknya menunjukkan kuasa ketuanannya terhadap parti-parti komponen BN dan langsung tidak menghormati kesaksamaan yang sepatutnya ditunjukkan sesama rakan di dalam gabungan BN tersebut.
Jadi apakah gabungan BN ini yang sebenarnya? Hanya Umno yang berkuasa penuh untuk menentukan calon-calon rakan parti-parti komponen BN dan bukannya kepimpinan parti-parti komponen BN itu sendiri.
Sebab itulah kita sering mendengar kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin parti komponen BN khususnya daripada MCA, Gerakan, MIC dan PPP yang mengatakan bahawa mereka akan menyerahkan kepada pengerusi BN (selaku presiden Umno) untuk menentukan calon-calon daripada parti mereka.
Nampaknya para pemimpin parti-parti komponen BN langsung tidak mempunyai kuasa penentu di dalam parti masing-masing dan masing-masing dengan mentah-mentah menyerahkan nasib mereka kepada presiden Umno untuk menentukannya.
Pada pilihanraya umum yang lalu, Umno menang 79 kerusi parlimen, sementara Gerakan hanya mendapat 2, LDP 1 kerusi, MCA (15), MIC (3), PBB (14), PBRS (1), PBS (3), PRS (6), SAPP (3), SUPP (6), manakala Upko (3).
Untuk kerusi dewan undangan negeri (DUN) pula, Umno mendapat 239 kerusi, Gerakan (3), LDP (2), MCA (32), MIC (7), PBRS (1), PBS (12), SAPP (5) dan Upko (6). Walaubagaimanapun BN hilang beberapa kerusi parlimen dan DUN apabila SAPP mengambil keputusan nekad untuk keluar daripada BN pada penghujung 2008 yang lalu dengan alasan BN tidak memanfaatkan rakyat jelata di Sabah dan Sarawak.
Sejauh manakah para pemimpin parti-parti komponen BN akan dapat bertahan dengan sikap angkuh dan bongkak yang sering ditunjukkan oleh Umno dan ketuanan mereka terhadap rakan-rakan parti komponen BN ini? Atau mereka ini hanya rela ditindas semata-mata ingin mengekalkan jawatan dan kedudukan mereka di dalam kerajaan?
Cadangan SUPP, MCA dan Gerakan keluar BN?
Sebelum ini terdapat desas desus yang menyatakan bahawa pemimpin SUPP telah menemukan rakan sejawat mereka daripada MCA dan Gerakan secara rahsia untuk menentukan sama ada mereka akan dapat membentuk satu gabungan yang baru jika sekiranya ketiga-tiga parti tersebut keluar daripada BN.
Bagaimanapun pertemuan tersebut gagal mencapai sebarang kata sepakat mengenai cadangan keluar BN tersebut kerana masing-masing takut kehilangan kedudukan mereka di dalam kerajaan.
Krisis dalam Gerakan
Yang paling getir kini adalah presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon yang baru-baru ini menghadapi kritikan yang hebat daripada beberapa bekas pemimpin parti tersebut yang menyatakan kelemahan beliaulah yang telah menyebabkan Gerakan terus ditelan arus perubahan politik sekarang.
Ada di kalangan akar umbi parti tersebut turut menyalahkan Dr Koh dan rakannya di Pulau Pinang, pengerusi jawatankuasa perhubungan negeri Dr Teng Hock Nan atas kekalahan teruk parti di negeri tersebut pada pilihanraya umum yang lalu dan terlalu tunduk kepada desakan serta pelbagai asakan daripada Umno.
Rakan-rakan BN yang lain
Rakan-rakan komponen BN yang lain seperti MCA, MIC, PPP dilihat tidak banyak menghadapi masalah kerana mungkin pemimpin mereka masih kuat dan tidak ada yang berani mencabar ataupun mereka ini telah berjaya mengekang sebarang tentangan yang bakal tercetus di dalam parti masing-masing.
Komponen-komponen BN di Sarawak juga dilihat tidak banyak bermasalah, kecuali PRS dan SPDP yang sering bersaing sesama sendiri, manakala SUPP yang kini dilanda krisis kepimpinan ekoran kekalahan teruk dalam pilihanraya negeri yang lalu bakal mengadakan persidangan perwakilannya tidak lama lagi yang akan melihat kesemua jawatan utama di dalam parti tersebut akan dipertandingkan.
Di Sabah pula, Umno dilihat tidak menghadapi sebarang saingan, kerana komponen BN kedua terbesar PBS masih tunduk kepada kehendak Umno. PBRS and LDP pula adakala menunjukkan ketidak puashati mereka terhadap pucuk pimpinan BN negeri di dalam beberapa isu dan cadangan pengagihan kerusi dan jawatan-jawatan kerajaan.
Sampai bilakah kesemua parti-parti komponen BN ini rela tunduk kepada ketuanan Umno sehinggalah sanggup kehilangan taring dan maruah masing-masih? Terpulanglah kepada diri mereka masing-masing.
Sumber: Malaysia Chronicle
No comments:
Post a Comment