DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Monday, August 22, 2011

WONG CHIN HUAT :PRU TIDAK BERSIH SELAGI HAK PENGUNDIAN 3.7 JUTA RAKYAT DINAFIKAN

Perdana Menteri akhirnya tunduk kepada suara rakyat dengan melontarkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JPP) - setelah mengambil pendekatan menekan dan memburuk-burukkan BERSIH 2.0. Pada hakikatnya, banyak reformasi pilihan raya boleh dilakukan tanpa pindaan akta, justeru itu cadangan ini lebih dilihat sebagai langkah diplomatik.

Bagaimanapun, penubuhan JPP yang terdiri daripada anggota bi-partisan mampu membina muafakat yang melangkaui parti politik. Ia mungkin satu langkah yang sesuai jika dilihat dari perspektif demokrasi. Dan ia merupakan kemenangan besar untuk rakyat apabila PM perlu menjilat ludah sendiri - kerana terpaksa menerima tuntutan reformasi, sungguhpun baru memfitnah perhimpunan aman BERSIH 2.0 dengan menyamakannya dengan rusuhan.

Sama ada JPP mahupun Suruhanjaya Diraja, persoalan yang sama berbunyi, apakah "deliberative democracy" hanya taktik untuk melengah-lengahkan masa? BERSIH 2.0 mengemukakan cadangan dua langkah, iaitu mahu JPP mengemukakan satu laporan yang mengandungi 10 perkara reformasi jangka pendek dalam tempoh tiga bulan, malah mesti dilaksanakan sebelum PRU ke-13; reformasi untuk jangka panjang pula perlu dihabiskan dalam masa setahun, dan dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan selepas tu.

Antara 10 perkara reformasi jangka pendek yang diutarakan BERSIH 2.0 mengandungi hak pengundian (6 perkara), dan persaingan yang saksama (4 perkara). Antara yang terpenting adalah pendaftaran pengundi secara automatik.

SPR menolak pendaftaran automatik

Insiden kegagalan 680 ribu pengundi baru untuk mengundi dalam PRU-10 pada tahun 1999 kerana tidak sempat tersenarai dalam daftar pemilih menjadi detik hitam dalam PRU itu. Masalah pendaftaran pengundi secara automatik jauh lebih penting daripada insiden pada tahun itu, kerana ia melibatkan hak pengundian 3.7 juta orang pengundi. Mungkin ada yang akan mempertikaikan, mengapa menyalahkan orang lain sedangkan diri mereka yang tidak mendaftarkan diri?

Pada hakikatnya, kepantasan pendaftaran pengundi baru oleh SPR adalah kira-kira sejuta orang setiap tahun, sedangkan pengundi yang layak bertambah dengan 450 ribu, maka SPR hanya dapat mengurangkan 550 ribu orang pengundi yang layak tapi tak daftar setiap tahun. Dengan angka-angka ini, maka seandainya pilihan raya diadakan setahun kemudian (Ogos 2012), maka kira-kira tiga juta orang yang masih belum layak mengundi pada PRU akan datang.

Jika kesemua mereka pergi mendaftarkan diri sekali pun, pendaftaran tidak mungkin disempurnakan dalam jangka pendek. Ini kerana senarai pengundi baru perlu diumumkan untuk disemak dan dibantah orang umum, maka ia memerlukan masa beberapa bulan. Bahkan kakitangan SPR pun tidak mencukupi untuk mempercepatkan pendaftaran pengundi baru.

Cara yang paling mudah adalah pendaftaran secara automatik. Pelbagai alasan diberikan SPR untuk menolak pendaftaran secara automatik. Ia boleh dikategorikan sebagai "tidak perlu", "tidak baik" dan "tidak boleh".

"Tidak perlu" yang dimaksudkan terjelma dalam kenyataan seperti "jangan paksa apabila mereka yang layak menjadi pengundi enggan mendaftarkan diri". Bukan sahaja tidak perlu "memaksa" pengundi untuk mendaftarkan diri, malah "tidak baik", kerana telah bercanggah dengan kebebasan pengundi, dan seterusnya akan menurunkan peratusan pengundian. Kenyataan sedemikian mencampur-adukkan pendaftaran automatik dengan mewajibkan pengundian - hujah yang amat tidak berpengetahuan.

Bilangan vs Peratusan pengundian

Apabila anda membuka akaun baru di bank, secara amnya bank akan menyediakan kad atm untuk anda. Apakah ia bermaksud bank memaksa anda untuk mengeluarkan wang? Semestinya tidak. Ia sekadar memberi kemudahan agar anda tidak perlu menunggu bank dibuka pada waktu pagi apabila anda mahu mengeluarkan wang pada lewat malam. Sama teorinya dengan pendaftaran pengundi secara automatik. Anda boleh memilih untuk tidak mengundi, tapi anda tidak perlu bimbang bahawa anda tidak layak apabila anda ingin mengundi.

Sememangnya peratusan pengundian mungkin menurun seandainya mereka yang tidak tinggi hasratnya untuk mengundi (maka tidak proaktif untuk mendaftar sebagai pengundi) didaftarkan sebagai pengundi. Namun, bilangan pengundi yang keluar mengundi semestinya meningkat. Antara bilangan pengundi yang tinggi dengan peratusan pengundian yang tinggi, apakah pertimbangan yang harus didahulukan SPR?

Satu lagi alasan "tidak baik", adalah pengundi menukar alamat tetapi tidak menukar kawasan pengundian. Maka jika pendaftaran pengundi diautomatikkan, maka pengundi itu akan dipindahkan kawasan pengundiannya ke alamat terbaru, dan ia bakal menimbulkan kekeliruan.

Apa yang dimaksudkan "pendaftaran pengundi secara automatik" adalah, menyalurkan maklumat anda dari Jabatan Pendaftaran Negara ke gedung maklumat SPR ketika anda layak menjadi pengundi (pada hari jadi usia ke-21 tahun).

Tiga perkara yang boleh dilakukan apabila wujud jalinan terus antara JPN dengan SPR, iaitu pertama, pendaftaran secara automatik sebagai pengundi; kedua, pelucutan pengundi secara automatik (meninggal dunia atau dilucutkan kewarganegaraan) dan ketiga, memperbarui maklumat pengundi baru. Seandainya kediaman baru pengundi masih terletak dalam kawasan asal, maka tidak timbul soal pertukaran kawasan pengundian meskipun alamat ditukar. Kita hanya berdepan dengan soal untuk menukar kawasan pengundian atau tidak mengikut alamat barunya, apabila seseorang pengundi berpindah ke satu kawasan pengundian yang lain.

Bercanggah dengan perlembagaan


"Tidak boleh" yang dimaksudkan adalah soal bercanggah dengan perlembagaan. Perkara 119 (4)(b) dalam perlembagaan mendefinisikan "tarikh kelayakan" sebagai tarikh seseorang memohon supaya didaftarkan sebagai pemilih dalam sesuatu bahagian pilihan raya, atau tarikh dia memohon untuk menukar pendaftarannya sebagai pemilih dalam suatu bahagian pilihan raya yang lain.

Mengikut penjelasan yang ketat, pelaksanaan pengundian secara automatik perlu menggugurkan frasa "memohon untuk menukar pendaftarannya". Namun, perlembagaan bukannya tidak boleh dipinda sejak dahulu.

Apa masalahnya seandainya kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menyokong untuk meminda? Berkenaan dengan frasa "menukar bahagian pilihan raya", adalah untuk menjamin hak pengundi untuk memilih kawasan pengundian dirinya. Melainkan persempadanan semula kawasan pengundian atau permohonan untuk menukar kawasan pengundian, pengundi pada dasarnya akan kekal di satu kawasan pengundian. Seandainya kita mahu mengelakkan masalah "tukar alamat maka tukarlah kawasan pengundian", maka kita boleh memilih untuk mengekalkan frasa tersebut.

Pendek kata, sama ada 3.7 juta rakyat memperolehi hak mengundi secara automatik, ia bergantung sepenuhnya kepada tekad politik kerajaan. Ia seharusnya tugas utama masyarkat sivil dan gerakan sosial selepas 709.

Seandainya 3.7 juta pengundi diagihkan kepada 222 kawasan pengundian, maka secara puratanya setiap kawasan pengundian mengalami penambahan 17 ribu orang pengundi. Jikapun hanya 30% daripada golongan ini keluar mengundi, ia bakal menambah 6,000 undi - cukup untuk mengimbangi impak daripada undi dari pengundi hantu, undi pos dari polis dan tentera (seandainya belum dimansuhkan ketika itu).

Untuk saya, seandainya hak mengundi 3.7 juta rakyat (kira-kira 20% daripada pengundi yang layak) ini tidak diselesaikan sebelum PRU akan datang, maka PRU adalah kotor meskipun masalah yang lain diredakan atau diselesaikan. Maka kita perlu turun lagi untuk membersihkan jalan raya!

Sumber : MerdekaReview

No comments: