DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Monday, August 1, 2011

WAHABI: ISUNYA BUKAN UMNO TAPI ADA PIHAK MAHU CANTAS, KATA ULAMA

Ulama muda Umno mengetepikan saranan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti itu, sebaliknya mahu mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dilapor mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.

Malah kata mereka, isunya bukan Umno tetapi ada pihak yang tidak suka dengan keanggotaan pihaknya dalam parti itu dan mahu mencantas dengan menggunakan label Wahabi.

“Saya sebenarnya tidak mahu beri apa-apa komen kerana kita tunggu untuk mengadakan perbincangan dengan MKN, bila ada perbincangan mungkin akan ada jalan keluar.

“Kita masih menunggu (untuk jumpa MKN), kita dalam proses ke arah itu, saya tidak mahu nak cakap banyak... kita mahu selesaikan masalah ini secara harmoni,” kata jurucakap ulama muda Fathul Bari Mat Jahya.

Mengenai saranan Asri Fathul Bari menegaskan “ini bukan pasal Umno.”

“Tuduh Wahabi bukan satu masalah sebab dulu sebelum masuk Umno juga orang dah tuduh.

“Apa yang berlaku ini hanya perbezaan pendapat dan pandangan, mungkin ada orang yang tak suka dan mahu cantas dengan labelkan orang sebagai pengganas,” katanya.

Selain 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu, Asri juga disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau oleh para mufti dan agensi agama.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan rasmi daripada MKN berhubung perkara itu.

Dalam laporan The Malaysian Insider semalam, Asri berharap ulama-ulama muda Umno mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.

Beliau juga terkejut apabila ada pihak yang menganggap ulama muda menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi dan dikaitkan boleh menjurus kepada aktiviti pengganas.

Dalam tulisan di laman Facebooknya kelmarin, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”

“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”

Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”

Ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu dilihat sebagai rakan Asri. Asri juga pernah dikatakan akan menyertai Umno bersama mereka ketika itu, tetapi bekas mufti itu memutuskan untuk kekal di luar arena politik dan meneruskan pendirian beliau tanpa memihak mana-mana pihak.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.

Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Juanda juga muncul. Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.

The Malaysian Insider difahamkan nama Hadi dan Shahidan tidak muncul kali ini.

Isu itu sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Sumber : Oleh Syed Mu’az Syed Putra- DISINI

No comments: