DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Monday, August 15, 2011

KERAKYATAN MALAYSIA SEPERTI MEMBELI IKAN DI PASAR

Semudah membeli ikan di pasar begitulah simbolik yang boleh diberikan kepada Kerajaan Malaysia. Semuanya berpunca disebabkan pembongkaran kisah ‘Mismah’ yang sedang hangat diperkatakan. Begitu mudah untuk menjadi warganegara Malaysia. Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab selaku organisasi pengurusan pendaftaran negara harus dipersalahkan dan dipersoalkan. Soal dan salahnya adalah kelonggaran yang memusykilkan kerakyatan yang diberikan kepada penduduk tetap (PR) di negara ini.

Mungkin ramai masih ingat lagi di mana sebelum menjelangnya Ramadhan tempoh hari pasukan Bola Sepak Malaysia telah dimalukan dengan pasukan Bola Sepak Singapura. Ramai yang mengeluh dengan mempertikaikan tindakan pasukan Bola Sepak Singapura yang banyak menggunakan khidmat pemain import untuk membantu kemenangan pasukan Bola Sepak Singapura. Ramai juga yang mengatakan bahawa pasukan Bola Sepak Singapura tidak ada jati diri kenegaraan. Kalau begitu pandangan umum, bagaimana pula dengan kes Mismah?

Baik, cuba kita lihat dari sudut yang positif untuk semangat jati diri negara. Singapura mengambil pemain import dari China dan Serbia tempoh hari bertujuan membantu pasukan Bola Sepak mereka untuk menang menentang Malaysia dan sekaligus melangkah ke peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia. Kerakyatan yang diberikan kepada pemain-pemain tersebut berjaya menghasilkan sesuatu yang positif untuk negara mereka. Kehadiran pemain-pemain tersebut adalah sebagai alat pelengkap bagi ruang kelemahan mereka. Kalau dilihat dari sudut pandangan seorang negarawan, hal ini kesannya positif. Kemahiran yang tidak wujud diwujudkan dengan kehadiran pemain-pemain import atau warga yang diberikan kerakyatan tadi.

Berbeza pula dengan Malaysia. Mismah yang sedang hangat diperkatakan ini adalah manusia yang kemahirannya ternyata banyak boleh didapati melalui warga tempatan sendiri. Kerjaya Mismah adalah pembancuh simen. Saya rasa di Malaysia masih tidak ketandusan lagi pembancuh-pembancuh simen yang profesional sehingga kerakyatan harus diberikan kepada warga asing. Apakah kemahiran yang hebat yang boleh dikongsikan dari Mismah kepada kita?

Saya bukanlah memerangi Mismah, cuma saya musykil, mengapa begitu ramai kerakyatan diberikan kebelakangan ini. Dari April 2009 sehingga Julai 2011, sudah 29,290 penduduk tetap (PR) diberikan kerakyatan. Apa sebenarnya yang menyebabkan longgokan pemberian warganegara ini berlaku?

Mungkin ini adalah taktik kementerian untuk mengadakan ‘pengundi hantu’ dalam PRU 13 akan datang. Perhatikan saja, selepas kekalahan BN di Selangor pada PRU 12, Mac 2008, gerak kerja memberikan taraf warganegara kepada penduduk tetap (PR) begitu berleluasa sekali. 29,290 jumlahnya yang telah didaftarkan sebagai warganegara yang sah. Semudah itu seseorang yang menuntut kewarganegaraan diterima sebagai warganegara yang sah.

Ada yang memberi pendapat ini hanyalah kebetulan. Baik, jika ianya kebetulan mengapa jumlahnya begitu besar? Penduduk tetap (PR) yang diterima pula bukanlah dari kalangan golongan profesional yang dapat memberi khidmat kemahiran tinggi kepada negara kita sekaligus menaikkan taraf Malaysia di mata dunia. Perkara ini harus diteliti dengan cermat. Selepas taraf warganegara diberikan kepada penduduk tetap (PR) tersebut, pasti mereka akan terhutang budi dengan jasa yang ditaburkan kerajaan. Ini sekaligus membuatkan mereka akan memberikan undi kepada BN pada PRU 13 akan datang. Perkara ini bukanlah sebuah kebetulan, saya mengesyaki ianya adalah rancangan sulit bagi menghadapi PRU 13 akan datang.

Saya tidak pernah menyalahkan Kementerian dalam memberikan kerakyatan kepada Yuan Yufang atlit pejalan kaki yang berasal dari China. Sekurang-kurangnya kemahiran Yufang dapat dibuktikan dan kemahiran itu diturunkan serta diajarkan kepada atlit-atlit muda bimbingan beliau. Yufang berjaya mengisi kekurangan Malaysia dalam sukan berjalan kaki dengan beberapa kali merangkul pingat dalam acara yang ditandinginya.

Kementerian haruslah bertanggungjawab dan lebih menfokuskan ciri-ciri atau garis panduan untuk menjadi warganegara Malaysia. Longgokan yang terlalu ramai penduduk tetap (PR) yang diberikan taraf warganegara ini akan menyempitkan lagi skop perkerjaan warga asal Malaysia yang bertaraf rendah. Golongan seperti Mismah sudah terlalu ramai di Malaysia. Kita tidak perlukan lagi orang berkemahiran seperti Mismah.

Kementerian harus sedar akan perkara ini. Jabatan Pendaftaran Negara juga perlu lebih bertanggungjawab dalam memberikan kerakyatan kepada negara ini dan janganlah dengan sebarangan sahaja memberikan kerakyatan tanpa usul periksa. Berapa ramai lagi manusia yang wujud di Malaysia ini yang tidak ber’bin’ dan ber’binti’.

Dato’ Onn pernah memperjuangkan akan hal kewarganegaraan tersebut. Dato’ Onn meminta orang yang bermastautin tetap di Malaysia tidak kurang dari 20 tahun barulah sah diberikan kerakyatan kepada mereka. Nampaknya hal ini kurang dipersetujui oleh cucunya yang kini menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri. Dato’ Onn juga adalah individu yang benar-benar cermat dalam memberi pemilaian penerimaan sebagai status warganegara kepada penduduk tetap atau bangsa asing. Namun cucunya pada hari ini sewenang-wenangnya memberikan kewargnegaraan kepada penduduk tetap (PR) tanpa memikirkan apakah aplikasinya kepada rakyat di masa akan datang.

Hebatnya Mismah sehingga hampir seluruh menteri memberi maklum balas mengenai beliau. Tahniah Malaysia kerana berjaya menambahkan lagi kewarganegaraan di negara ini. Maka bersedialah rakyat Malaysia untuk menyambut kemerdekaan yang ke 54 pada 16 September nanti bersama-sama warganegara baru serta PATI yang baru sahaja ‘putih’.

Sayangilah negara anda dari anasir jahat yang ingin menjahanamkan negara...


Oleh : AMNI JAGAT

No comments: