Utusan Malaysia menjerit dengan tajuk akhbar semalam “Komunis resapi Bersih” dengan dakyah ciptaannya: “Ancaman terhadap keselamatan negara melalui gerakan komunis yang kini meresapi demonstrasi haram, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berada pada tahap membimbangkan”.
“Pada tahap membimbangkan” kerana ada orang pakai t-shirt merah imej gambar Che Guevara?
Andaian palsu oleh lidah rasmi UMNO itu dibuat berdasarkan tangkapan polis terhadap 30 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dalam perjalanan untuk menyertai ceramah politik yang tidak ada kena-mengena dengan Bersih 2.0.
Polis pula, selain menahan anggota PSM bersama Ahli Parlimennya Dr Michael Jeyakumar, turut merampas t-shirt berwarna merah dan risalah-risalah parti; dan kemudian menuduh mereka yang ditahan dengan dakwaan cuba “memerangi Yang di-Pertuan Agong” dan “menghidupkan semula fahaman komunis”.
Sikap hipokrit yang berselindung di sebalik amalan kuku besi ini lah yang memperlihatkan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional sebagai pemerintah komunis zalim sebagaimana yang biasa dilakukan oleh regim-regim komunis pada era Perang Dingin dahulu.
Pemerintahan zalim ala Joseph Stalin, Mao Zedong dan Fidel Castro itu kini menjadi amalan UMNO-BN, terutamanya sejak pengumuman dibuat untuk rakyat Malaysia berhimpun secara aman melalui Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Sehingga semalam, lebih 80 orang ditahan di seluruh negara, kebanyakannya kerana memakai t-shirt kuning yang mempunyai tulisan Bersih 2.0.
UMNO rakan seperjuangan Parti Komunis China
Mungkinkah amalan zalim dan kejam ini dipelajari oleh UMNO melalui hubungan akrabnya dengan Parti Komunis China yang dikatakan kagum dengan corak pemerintahan UMNO?
Dalam laporan UMNO Online pada 20 Oktober 2010, Ketua delegasi Parti Komunis China (PKC), Huang Xiangyao, yang berkunjung ke Malaysia telah melahirkan keyakinan kepada UMNO yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara.
Ketua delegasi komunis itu berminat untuk belajar bagaimana UMNO mentadbir negara. Kenyataan ini disambut baik oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang gembira dengan hubungan erat kedua-dua parti.
Dalam pertemuan itu juga, UMNO berkongsi maklumat dengan PKC tentang organisasi UMNO dan persiapan UMNO pada waktu itu untuk menghadapi dua pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah.
Laporan laman web UMNO itu tidak pula mendedahkan butir-butir penerangan tentang isu-isu politik Malaysia yang diceritakan kepada PKC.
Sepanjang pemberontakan komunis di negara ini pada 1948-60, dan kemudiannya serangan gerila diteruskan sehingga perjanjian damai 1989, PKC memberi sokongan penuh kepada Parti Komunis Malaya (PKM).
Mungkin Tengku Adnan lupa tentang hal itu apabila dengan bangganya mengumumkan bahawa PKC dan UMNO telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Beijing, 5 Ogos 2010.
“Sewaktu mengadakan perbincangan, menterinya memaklumkan bahawa mereka amat kagum terhadap cara UMNO menangani masalah perkauman dan ingin mempelajari daripada kita bagaimana mengatasi masalah-masalah berkaitan etnik yang wujud,” kata Tengku Adnan.
Malaysia juga mempunyai hubungan rapat dengan negara-negara lain, terutamanya dalam hal-ehwal perdagangan dan pelaburan, tetapi jarang kedengaran UMNO mengadakan MoU antara parti di negara-negara berkenaan.
Walau pun akrab dengan hubungan dagang dengan negara-negara Barat, tidak pernah kedengaran UMNO mengadakan MoU dengan Parti Demokrat atau Republikan di Amerika Syarikat, atau dengan Parti Konservatif, Buruh atau Liberal Demokrat di Britian; mengapa MoU diadakan dengan rejim komunis di China?
Malah, Tengku Adnan dipetik sebagai berkata UMNO berminat menghantar Pemuda dan Puteri UMNO untuk mempelajari cara-cara PKC melaksanakan program mereka.
Regim komunis China tangkap pejuang hak asasi
Apa yang mereka pelajari? Rejim komunis China hanya membenarkan satu parti sahaja memerintah, iaitu PKC, dan sebarang bentuk penentangan adalah dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan dalam negara.
Menurut laporan Amnesty International 2010, kebebasan media, hak berhimpun secara aman dan hak menubuhkan persatuan dikekang di China. Pejuang-pejuang hak asasi dipenjarakan, didakwa di mahkamah, ditahan di rumah dan ada juga laporan tentang aktivis-aktivis hak yang “hilang”.
Rejim komunis juga cuba mengawal internet dengan menggubal undang-undang sekatan serta menutup laman-laman web yang dituduh memburukkan sistem politik negara, memutarbelitkan sejarah PKC dan memecahbelahkan perpaduan kaum.
Pada Disember tahun lalu, rombongan ibu pejabat UMNO yang disertai beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta ahli Exco Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO telah melawat China untuk berkongsi pengalaman demi mengekalkan persefahaman dan kerjasama dengan PKC.
Mereka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PKC yang memberi banyak maklumat jelas tentang parti dan regim komunis di China.
Komunis Vietnam kongsi pengalaman dengan UMNO
Selain PKC, Parti Komunis Vietnam juga gembira dengan hubungan mesra bersama UMNO dan mahu berkongsi pengalaman dengan UMNO sebagai parti dominan dalam kerajaan BN.
Laporan laman web UMNO menyebut bahawa delegasi Akademi Parti Komunis Vietnam yang diketuai oleh Setiausaha Agungnya Dr. Nguyen Minh Tuan ke ibu pejabat UMNO pada Januari 2010 teruja dengan pemerintahan UMNO-BN di Malaysia.
Dr. Nguyen dipetik sebagai berkata komunis Vietnam ingin berkongsi pengalaman, khususnya tentang bagaimana UMNO menjaga masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Dalam pertemuan pada awal tahun lalu itu, delegasi komunis Vietnam diberi penerangan tentang perjuangan UMNO oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, seorang tokoh UMNO yang dijatuhkan hukuman denda oleh mahkamah kerana kesalahan menyebarkan video lucah baru-baru ini.
Apakah yang UMNO pelajari dari regim-regim komunis itu? Apakah UMNO telah diresapi komunis dan ejen-ejen asing?
Dan jika yang dipelajari itu baik, apakah ia sudah membuka hati UMNO dan kerajaan BN untuk menghormati hak asasi rakyat, hak bersuara, hak berhimpun secara aman, hak menuntut pilihan raya diadakan secara bebas, adil dan bersih?
Perang Dingin global sudah lama berakhir. Komunisme telah ditolak oleh warga dunia. Yang ada pun hanya cebisan sejarah lampau.
No comments:
Post a Comment