DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Saturday, December 25, 2010

KELAMNYA ‘HIDUP MELAYU’

Oleh : Marhaintua


Jarang sangat kita mendengar pemimpin UMNO yang sedang mencengkam kuasa bersama Mahathir mahu mengulang sejarah betapa UMNO telah diharamkan ekoran pemilihan majlis tertinggi parti pada 24 April, 1987. Kenapakah mereka pura-pura tidak ingat akan peristiwa itu sedangkan mereka sama-sama memainkan peranan pada waktu itu?


Ekoran peristiwa 24 April, 1987, Mahathir telah merombak kabinetnya dan menyingkirkan semua menteri kabinet yang disebut telah menganggotai ‘Team B’ pimpinan Tengku Razaleigh dan Musa Hitam. Ini membuatkan munculnya satu kumpulan di kalangan ‘Tim B’ yang tidak puas dengan keputusan pemilihan majlis tertinggi itu. Mereka telah mengambil tindakan mahkamah agar pemilihan di mesyuarat Agung Umno dikira tidak sah, dengan alasan ada beberapa bahagian yang membuang undi belum lagi didaftar dengan sah, membuatkan pengundian mereka dikira tidak sah juga.


Keputusan Mahkamah Tinggi dalam hal ini memeranjatkan semua pihak, kerana memutuskan bahawa UMNO sebagai sebuah parti yang tidak sah. Tindakan ini meledakkan bermacam-macam usaha banyak pihak yang mengemukakan permohonan mendaftar sebuah parti baru menggunakan nama UMNO, tetapi telah ditolak. Antara mereka yang mencuba mengemukakan permohonan mereka termasuklah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn; permohonan mereka berdua ditolak oleh Pendaftar Syarikat dengan alasan proses ‘pengharaman’ UMNO belum diselesaikan.


Apabila proses itu dikuat-kuasakan, barulah timbul pelbagai berita bagaimana semua harta dan wang kepunyaan UMNO telah dibekukan. Tetapi sehingga hari ini tidak ada sesiapa yang berani menulis dengan jelas betapa pengharaman UMNO yang asal itu adalah satu tipu-muslihat Mahathir yang bersekongkolan dengan Sanusi Junid. Tetapi lambat laun, kisah yang sebenar akan terdedah juga apabila tiba masanya, InsyaAllah.


Lantas tertubuh dua parti serpihan UMNO 1946 (Asal) yang telah mati tanpa pusara. Satu bernama UMNO (Baru) dan yang satu lagi Semangat 46.


Politik Wang


Kemunculan Tim A dan Tim B dalam pemilihan majlis tertinggi UMNO sebenarnya menyerlahkan budaya politik wang yang sudah mula menambat akar umbi UMNO gara-gara projek Dasar Ekonomi Baru, yang pada asalnya adalah bertujuan menaikkan taraf ekonomi Melayu. Yang semakin menyerlah ialah Dasar Ekonomi Baru itu adalah untuk memperkayakan iblis dan syaitan yang bermaharajagila di pucuk kepimpinan UMNO. Politik wang adalah budaya Melayu ciptaan UMNO seiring jalan budaya Ali-baba, di mana si ‘Ali’ (Melayu - UMNO ) mendapat lesen perniagaan besar-besar dan si ‘baba’ (Cina) mengusahakan perniagaan itu dan menyauk untungnya yang besar juga.


Politik Wang bercambah sejurus kematian Tun Razak gara-gara kegagalan Pemuda UMNO di bawah kepimpinan Dato’ Harun menaja perlawanan tinju Ali-Joe Bugner di Kuala Lumpur. Tujuan perlawanan tinju itu ialah untuk mengisi tabung UMNO yang kering kontang gara-gara pilihanraya 1969. Tetapi disebabkan tragedi 13 Mei 1969, Dato’ Harun yang naik menjulang namanya, telah diaibkan oleh pelbagai muslihat beberapa tokoh UMNO yang sudah lama tahu akan keadaan kesihatan Tun Razak. Penyakit Tun Razak merupakan satu rahsia besar UMNO ketika Tunku Abdul Rahman berkuasa, tetapi orang sudah lama tahu akan keadaan kesihatan Tun Hussein Onn.


Sejurus selepas Tun Razak mengambil-alih pucuk kepimpinan parti, (pada 20 September 1970 ketika berusia 48 tahun) beberapa tokoh UMNO mula bergocoh secara rahsia untuk menonjol calon mereka seandainya Tun beredar daripada jawatannya. Usaha mereka menjadi lebih ketara apabila timbalan perdana menteri Tun Ismail meninggal dunia dan tempatnya digantikan oleh Hussein Onn. Serangan mereka yang pertama ialah Dato’ Harun Idris yang menyelamatkan UMNO daripada ‘bungkus’ selepas pilihanraya 1969. Tetapi usaha Harun menyelamatkan UMNO pada peristiwa 1969 itu telah menjadikan dana UMNO kering kontang dan beliau sendiri dimusuhi di segenap penjuru politik. Cadangan untuk menaja perlawanan tinju Mohamed Ali-Joe Bugner telah dirancang oleh beberapa pihak sedangkan lebih banyak pihak dalam UMNO dan di luar yang turut merancang untuk memboikot perlawanan itu. (Saya pernah menulis akan perkara ini secara lebih panjang dalam tulisan-tulisan yang terdahulu).


Perlawanan itu diboikot oleh banyak pihak terutama sekali masyarakat Cina dan masyarakat perniagaan di Lembah Kelang. Sebelum itu masyarakat Cina telah melancarkan satu raptai pemboikotan itu dengan memboikot semua durian keluaran orang Melayu, sehinggakan melambak-lambak buah durian yang tidak laku. Pemuafakatan Cina terhadap UMNO bukannya disebabkan Harun Idris, tetapi kerana mereka marah dengan sikap seorang ultra-Melayu yang menulis sepucuk surat mengaibkan Tunku Abdul Rahman Putra sehinggakan beliau terpaksa meletakkan jawatannya.


Oleh kerana wang mengongkosi perlawanan itu diuruskan oleh Bank Rakyat, proses pemboikotan yang dirancang itu membuatkan beberapa orang turut teraniaya. Pertama Dato’ Harun Idris yang masuk merengkok dalam penjara disusuli oleh Dato’ Abu Mansor pengarah urusan Bank Rakyat ketika itu dan juga beberapa orang pegawai tinggi bank itu yang kehilangan jawatan mereka. Peristiwa Bank Rakyat merupakan satu peristiwa besar yang membawa perpecahan dalam UMNO secara tidak disedari, kerana berjaya dibendung cerita sebenarnya daripada diketahui umum. Mungkin Tunku Abdul Rahman memainkan peranan besar untuk melembutkan keadaan yang tegang. Pegawai pendakwaraya yang bertanggungjawab menekan Harun Idris dan orang-orangnya kini adalah insan yang menjadi pengerusi SUHAKAM menggantikan tempat Musa Hitam. Inilah juga musibat yang mengarahkan polis memusnahkan semua video rakaman kerja-kerja liwat-meliwat yang dilakukan oleh seorang pegawai tinggi MIC yang bernama Vijinderan.


Ada banyak teori mengenai pengaiban Dato’ Harun Idris yang masih belum terdedah lagi. Salah satu teori itu ialah peranan segelintir pemimpin UMNO dalam Majlis Tertinggi yang mendapat ransangan daripada kerajaan Singapura dan/atau pertubuhan asing seperti Freemason yang memang aktif di Singapura. Perkara ini belum terdedah lagi kerana orang-orang Melayu yang dikatakan terlibat dalam kerja jijik ini dikatakan masih lagi berkuasa dan berpengaruh. Sayangnya Dato’ Harun Idris tidak mahu mendedahkan nama mereka secara bertulis kerana sebab-musabab hanya dia sendiri yang mengetahuinya. Mungkin juga kalau dia bersedia membuat pendedahan itu tidak ada akhbar perdana yang sanggup menyiarkannya. Apapun kisahnya nanti, akan terdedah juga nama-nama pemimpin Melayu dalam UMNO yang berperangai begitu satu hari nanti dan rakyat jelata akan terkejut dan tersentak mengetahui bagaimana mereka masih lagi hidup senang lenang dengan gaji persaraan sebagai wakil rakyat serta pangkat dan bintang yang berjela-jela. Setakat ini ramai antara mereka itu sedang hidup nampak ceria tetapi sebenarnya sedang mengharungi satu fasa hidup yang ternyata sungguh tersiksa.


Veteran UMNO yang arif akan episod bagaimana Dato’ Harun teraniaya masih ingat perjuangan beliau dan kumpulan veteran yang sama masih sedar betapa pelantikan Abu Talib menjadi pengerusi Suhakam adalah satu balasan terakhir seorang perancang besar episod 13 Mei dan juga kejatuhan Dato’ Harun Idris. Soalnya sekarang, perancang utama dua malapetaka orang Melayu itu tidak berjaya dengan kerja jijiknya tanpa sokongan dan bantuan beberapa lagi musang Melayu yang berbulan ayam kampung.


Harun Idris menjadi teraib secara terbuka oleh ucaptama Tun Razak ketika dilangsungkan Mesyuarat Agung UMNO pada 1972. Ucapan Razak itu disokong pula oleh ucapan Hussein Onn yang menyindir orang Melayu akan kemunculan wira Melayu laksana ‘Robin Hood’. Keputusan pemilihan naib-presiden parti menunjukkan undi berikut yang telah dimenangi oleh calon yang bertanding: Ghafar, 838; Razaleigh, 642; Mahathir, 474; Harun, 427. Ghafar dapat menewaskan Tengku Razaleigh walaupun Tun Razak beria-ia mahukan beliau mendapatkan undi yang paling banyak dengan cara mengendos pencalonan Tengku Razaleigh. Ghafar menang besar kerana sokongan guru-guru di kalangan perwakilan. Kemenangan Ghafar yang besar ketika itu menjadi satu iktibar kepada Mahathir untuk melantik orang luar menjadi menteri pendidikan dan timbalan menteri pendidikan dalam kabinetnya yang terbaru.


Tun Razak meninggal pada 14 Januari, 1976. Pada waktu itu timbul kekecohan untuk menerbangkan Toh Puan Rahah ke London untuk berada di sisi jenazah suaminya. Memang menjadi amalan Tun Razak keluar negara tanpa ditemani isteri tersayangnya kerana mahu menjimatkan belanja negara ini. Tidak seperti presiden UMNO hari ini yang akan keluar negara dengan isterinya di sisi. Ada kalanya seluruh isi rumahnya dibawa bersama dengan perbelanjaan negara. Tetapi gelagat musibat ini tidak diketahui oleh majoriti Melayu kerana tidak ramai antara mereka yang mengetahui semua cerita ini. (Catatan : Pak Lah dan Najib tidak mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Tun Razak. Najib tidak mewarisi prinsip penjimatan yang diamalkan oleh ayahnya)


Tun Hussein yang menggantikan tempat Tun Razak pernah diserang sakit jantung pada tahun 1975. Sepanjang memegang jawatannya, kesihatannya tetap terganggu walaupun pernah melalui pembedahan jantung pada 1981. Beliau mengambil masa yang panjang untuk melantik timbalan perdana menteri kerana pada tahap awalannya dia sudah mahu melantik Tan Sri Ghazali Shafie sebagai timbalannya. Apabila mengetahui pilihan Hussein berlaku satu persekongkolan di kalangan beberapa ahli majlis tertinggi yang didalangi oleh Mahathir dan Dolah Komunis (sila lihat Berita Minggu Ahad 5 Mei, 2002 muka surat 14). Mereka mendesak Hussein memilih timbalannya di kalangan tiga orang naib-presiden UMNO. Bagaimanakah Dollah Komunis boleh menyibuk sedangkan dia bukannya memegang jawatan naib presiden, mungkin memerlukan jawapan beliau dalam ‘Kolum ISU bersama A.A’. Yang nyata Dollah Komunis hidup senang-lenang hari ini sana-sini dengan wang rakyat jelata, menjadi penasihat kepada Mahathir dan menjadi penghasut pemikiran rakyat untuk menegakkan ketokohan Mahathir selagi orang tua itu masih waras. Kalau esok-lusa Mahathir diserang angin ahmar, Dollah Komunis akan merupakan orang yang pertama memburuk-burukkan Mahathir secara terbuka. Tetapi hampir semua veteran UMNO sedar siapakah yang meracuni pemikiran Tun Razak dan Hussein Onn untuk menganggap Harun Idris sebagai musuh ketat mereka.


Almarhum Tun Hussein Onn pernah menceritakan bagaimana dia memilih Mahathir sebagai timbalan perdana menteri. Katanya, dia tidak memilih Ghafar kerana mahukan seorang timbalan yang fasih berbahasa Inggeris. Dia lebih cenderung melantik Razaleigh, tetapi ketika itu beliau masih muda dan masih bujang terlajak lagi. Terpaksalah dia memilih Mahathir, lagipun beliau adalah seorang doktor perubatan. Sejarah menunjukkan, apabila Tun Hussein ‘tersingkir’ disebabkan masalah kesihatannya, barulah dia mendedahkan rahsia besar di hadapan Tunku dan menyatakan betapa dia amat menyesal dengan pemilihannya yang dulu.


Kumpulan yang mula-mula sekali tidak menyenangi pelantikan Mahathir sebagai Timbalan perdana menteri ialah MCA. Mereka sedar betapa Mahathir telah memainkan peranan besar di sebalik tabir memburukkan MCA dan ini telah menaikkan nama parti Cina yang lain di Malaysia ketika itu. Memang keraguan pemimpin MCA ketika itu ada asasnya. Sejurus Mahathir naik menjadi timbalan perdana menteri MCA telah mengalami satu proses perubahan di mana pucuk kepimpinan parti utama Cina itu telah ‘diserang’ oleh sekumpulan Cina professional daripada jurusan perubatan. Tidak lama kemudian berlaku perubahan pucuk kepimpinan parti itu sehingga menonjolkan beberapa ‘doktor’ yang naik mencanak memimpin parti. Sejak MCA dipimpin oleh Dr. Ling Liong Sik, ramai anggota ahli MCA yang semakin gemar memakan ‘kari kepala ikan’, kata mereka. Apakah kepala ikan yang masih segar ataupun sebaliknya, tidak pula mereka mahu ceritakan.


Kerajaan ABC.


Mahathir naik menjadi perdana menteri pada tahun 1981. Pada tahap awalannya dia menonjolkan satu imej yang bersih sehinggakan manifesto pilihanraya BN pada tahun 1982 diberi tajuk “kerajaan Bersih Cekap dan Amanah.” Waktu itu ramai orang tertanya-tanya kenapa tidak sebut ‘Amanah, Bersih dan Cekap’ menepati ajaran agama Islam? Mengikut seorang veteran UMNO ketika itu, Mahathir mula-mula diharapkan menggunakan slogan itu menepati susunan abjad ABC. Tetapi ramai para jongosnya menentang kerana takut ada yang menyebut itu adalah kerajaan ‘air-batu-campur’. Rupa-rupanya, begitulah hakikat sebenar kerajaan Mahathir sehingga hari ini. Laksana airbatu campur yang ikut sumbat dalam mangkuk dan apabila kepanasan, segala aisnya menjadi cair menyerlahkan isian caca-marba di dalamnya.


Cogankata seperti Bersih, Cekap dan Amanah yang disebut oleh Mahathir itu rupanya mempunyai banyak ertinya yang berbeza mengikut tanggapan rakyat jelata dan pucuk pimpinan UMNO sehingga hari ini. Apabila dinilai janji-janji manis ketika dinobatkan sebagai perdana menteri dan segala kenyataan yang kelihatan kini barulah marhaen sedar apa yang sebenarnya tersirat di sebalik slogan yang menjadi teras kepimpinan Mahathir sejak 1981 dulu.


Saya pernah menulis sebelum ini dengan satu kenyataan bahawa Mahathir tidak pernah ikhlas memimpin negara ini. Saya masih berpegang kepada pendirian itu setelah menilai perjalanan kerajaan Mahathir selama ini. Dakwaan ini semakin menyerlah selepas Anwar Ibrahim terpenjara, kerana Mahathir ternyata lebih merasa selamat kalau berada di luar negara. Setiap bulan dia akan menghabiskan lebih sepuluh hari berada di luar negara. Kalau boleh dia mahu terus berada di luar dan pulang singgah di Bilik VVIP di KLIA untuk buka temberang lagi, kemudian berlepas ke Langkawi untuk sehari dua sebelum muncul semula membuka beberapa majlis persidangan dunia yang merupakan majlis sandiwara menonjolkan namanya. Kemudian dia akan menghadiri beberapa majlis merakamkan pencapaian “Ter..” untuk buku Kegemilangan Darulboleh. Selepas itu dia akan keluar negara lagi untuk mencari ketenangan di sebalik retorik semata-mata.


Demikianlah cara Mahathir memerintah sejak mula lagi. Tidak banyak perkara yang ‘original’ ataupun asli yang keluar daripada otaknya untuk menunjukkan dia telah meninggalkan satu bentuk pembangunan yang berkesan untuk diwarisi rakyat jelata. Kalau adapun warisannya yang amat berkesan ialah segala hutang piutang yang kini bertimbun banyaknya yang akan ditanggung rakyat jelata.


Namun demikian kita kena rakamkan juga apakah segala perubahan yang dilakukan oleh Mahathir sebaik sahaja dia menjawat jawatan perdana menteri. Yang menyerlah sehingga kini ialah penyatuan waktu Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, pemakaian tag nama oleh pegawai kerajaan, dan dasar Pandang ke Timur. Kemudian, dia berjaya menipu orang Melayu dengan mengekang kuasa raja-raja Melayu. Tindakan memperkudakan sistem beraja di negara ini berjaya dilakukannya sejurus dia berjaya melumpuhkan sistem penghakiman negara ini. Semua itu dilakukannya dengan alasan untuk menjamin ketuanan Melayu, tetapi semua itu dilakukannya dengan persekongkolan sekumpulan Melayu yang rakus, tamak dan haloba dan mahu mengambil alih kuasa pemerintahan negara ini daripada majlis raja-raja dengan mengiktiraf Mahathir sebagai maharajah mereka.


Rakyat jelata hanya mampu terkulat-kulat laksana cicak termakan kapur melihatkan bagaimana pantasnya undang-undang negara ini bertukar rupa jauh menyimpang daripada intipati perlembagaan negara selepas kemerdekaan dulu.
Mahathir berjaya mencipta satu UMNO baru mengikut seleranya dengan tipu-muslihat yang dirancang dengan rapi bersama ramai pemimpin Melayu yang lain yang kebanyakannya memang sudah kaya raya, tetapi sedang mengharungi hidup yang tidak senang seperti yang mereka rancangkan. Hampir semua mereka itu hidup dengan penuh keaiban, walaupun pada dasarnya mereka cuba melupakan kedurjanaan mereka kepada bangsa sendiri.


Saya pernah mengatakan satu ketika dulu, Mahathir sibuk menyeragamkan banyak peraturan di negara ini atas dasar memperkasakan ketuanan Melayu. Dia begitu taksub dengan retoriknya betapa Melayu mesti berwawasan jauh kalau mahu menjadi satu bangsa yang besar. Selama dua puluh satu tahun mencengkam kuasa, Mahathir telah melawat Jepun lebih lima puluh kali dengan menyeberangi Laut China Selatan.


Apakah tidak terlintas kepada otaknya menukar nama lautan itu menjadi Lautan Melayu? Siapakah yang berani menyanggahnya untuk membuat penukaran itu, kerana nama yang ada adalah satu nama yang dibuat oleh penjajah?


-marhaintua- 16 Mei, 2002. (suntingan M@RHAEN)

Catatan :

Bulan Disember ini saya simbah keluar banyak artikel-artikel yang pernah disiarkan oleh Laman-laman pro rakyat berkisar tentang kebobrokan pemerintahan UMNO. UMNO yang dipimpin oleh pemimpin mana pun serupa. Dulu, kini dan selama-lamanya para pemimpin UMNO adalah kurop, menyalagunaan kuasa untuk kepentingan peribadi dan kroni. Tidak hairanlah apabila banyak orang UMNO merebut-rebut jawatan dalam parti. Semakin tinggi pangkat seseorang itu dalam heiraki UMNO, maka peluangnya untuk mencari kekayaan peribadi terbuka luas. Maka, tercetuslah politik wang dan sebagainya. Artikel-artikel yang disiarkan semula ini penting untuk generasi baru yang mula berjinak-jinak dengan politik untuk membuat penilaian.

"TOLAK UMNO, RAKYAT SEJAHTERA"

No comments: