DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Friday, July 23, 2010

PERSOALAN PERPADUAN MELAYU

KHALID SAMAD-AHLI PARLIMEN SHAH ALAM


Sekali lagi isu perpaduan Melayu ditonjolkan oleh UMNO. Kononnya mereka sahajalah yang mengambil berat akan isu ini. Hakikatnya, PAS selama penubuhannya, telah sekian lama memperjuangkan perpaduan Melayu. Hanya bezanya ialah perpaduan yang diusahakan oleh PAS adalah berasaskan Islam sedangkan perpaduan yang diusahakan oleh UMNO adalah berasaskan "Melayu". Yang bersetuju dengan Islam sebagai dasar yang kukuh, bersatu dibawah PAS. Semua yang setuju dengan Melayu sebagai asas, bersatu di bawah UMNO!


Persoalan perpaduan adalah sesuatu yang diusahakan semua pihak. Tiada yang siuman yang inginkan perbalahan dan perpecahan. Semua inginkan supaya bangsa dan masyarakatnya untuk bersatu. Yang membezakan ialah asas perpaduan yang diusahakan.


Bagi PAS dan mereka yang berjuang di atas dasar Islam, UMNO adalah punca perpecahan ummat Islam kerana UMNO membawa dasar selain dari Islam sebagai dasar perpaduan ummat Islam.

UMNO membawa sebuah dasar yang bukan dari Islam dan dalam banyak segi, bercanggah dengan Islam. Oleh itu ummat Islam terpesong dari dasar perpaduan sebenar yang diperjuangkan oleh PAS. Usaha PAS untuk menyatupadukan ummat Islam atas dasar Islam digagalkan UMNO melalui berbagai cara termasuk fitnah, penyelewengan maklumat dan tidak ketinggalan juga penggunaan ISA terhadap pimpinan PAS.

Ummat Islam ditakut-takutkan oleh media yang dikuasai UMNO dan dikelirukan dengan sengaja supaya menolak perpaduan yang diusahakan PAS. UMNO adalah punca mengapa ummat Islam tidak bersatu di atas dasar Islam!


Bagi UMNO yang ingin melihat orang Melayu bersatu di bawah kepimpinan mereka di atas dasar Melayu, PAS adalah punca perpecahan. Ini adalah kerana PAS membawa satu dasar yang berbeza, iaitu Islam. UMNO gagal menyatupadukan orang Melayu atas dasar Melayu kerana PAS membawa persoalan agama ke dalam arena politik, satu tindakan yang ditolak UMNO.

PAS memberitahu orang Melayu bahawa dasar "Melayu" yang mengharuskan rasuah, kezaliman, penyelewengan, penindasan, kronisma dan segala yang tercela "demi kepentingan Melayu", adalah sesuatu yang menyesatkan. Oleh itu sebahagian dari orang Melayu tidak bersama UMNO dan sebaliknya memilih untuk bersama PAS. Dengan itu usaha UMNO untuk menyatupadukan Melayu atas dasar bangsa Melayu telah digagalkan oleh PAS.


UMNO memberitahu orang Melayu bahawa bangsa Melayu akan hilang kuasa politik sekiranya tidak bersatu di bawah payung mereka dan menakutkan orang Melayu dengan ramalan-ramalan seperti orang Melayu menggemis di Negara sendiri dan sebagainya. PAS memberitahu ummat Islam bahawa keadaan "lemah" mereka adalah hasil dari perjuangan "Melayu" yang diperalatkan segelintir elit Melayu untuk mengayakan diri mereka sendiri di atas nama semangat Melayu.

PAS menyeru ummat Islam untuk kembali kepada Islam dan menolak dasar Melayu ini. Sekiranya tidak, maka pendekatan yang dibawa UMNO selama ini akan menyebabkan ummat Islam menjadi semakin lemah dan yang paling dikhuatiri sebagai ummat Islam ialah semakin dimurkai Allah.


UMNO menuduh PAS sebagai penghalang perpaduan Melayu dan PAS menuduh UMNO sebagai pemusnah perpaduan Islam. Hakikatnya, kedua-dua pihak inginkan perpaduan tetapi atas di dasar yang berbeza dan oleh itu kedua-dua pihak menyebabkan cita-cita kesatuan pihak satu lagi tidak tercapai dengan sepenuhnya!


Namun, persoalannya sekarang, apakah yang merupakan intipati yang terpenting? Adakah ianya "perpaduan", walau di atas dasar apa sekalipun, atau adakah ianya sebuah perjuangan yang berasaskan wawasan dan cita-cita mulia yang akan menghasilkan perpaduan manusia di atas dasar keadilan sejagat?


Bagi UMNO yang tidak mempunyai sebarang asas yang boleh dianggap mulia atau boleh dibanggakan, perpaduan di bawah kepimpinan UMNO ialah di mana mereka akan terus kekal berkuasa, itulah yang mereka inginkan. Itulah cita-cita mereka.
Bagi PAS pula yang mempunyai dasar dan asas perjuangan yang mulia dan bernilai tinggi, perjuangan Islam adalah yang perlu diutamakan dan melaluinya akan tercapai perpaduan.


Kaedah yang diusahakan oleh PAS adalah semestinya kaedah dan pendekatan yang tepat dan saya yakin segala kekecohan berhubung "perpaduan Melayu" yang dibawa oleh UMNO tidak akan mampu mengelirukan rakyat. Kita semua tahu dan kenal siapa itu UMNO. Mereka hanya teringat persoalan Melayu apabila mereka tersepit dan terdesak. Selama ini, semasa mereka berkuasa dalam keadaan yang selesa, PAS merupakan sasaran mereka. Tidak pula teringat akan persoalan "perpaduan Melayu".


Maka adalah tidak wajar bagi PAS yang telah berjuang selama ini, membina asas perpaduan Islam di kalangan ummat Islam bagi menyelamatkan mereka dari asas perpaduan yang palsu di bawah UMNO, untuk secara tiba-tiba menyatakan, "kita tidak berbeza. Kita sama sahaja. Marilah kita bersatu".

Adalah lebih wajar untuk UMNO menyatakan "kita tersilap selama ini dan Syaitan telah menyesatkan kita sehingga rasuah, salah guna kuasa, penindasan, penyelewengan dan sekularisma diperlihatkannya sebagai penyelamat bangsa Melayu. Kita perlu bubarkan UMNO dan kembali kepada perjuangan Islam bersama PAS".


Itu sahajalah kaedah perpaduan yang bermakna.


Seterusnya baca di
sini

KOMEN :


Keseluruhan ahli dan penyokong PAS dari berbagai latarbelakang mahu pun dari berbagai kaum dan agama menolak kerjasama PAS dan UMNO. Ini sudah cukup bagi pemimpinan tertinggi PAS mengcium bau penentangan ini. Mulai sekarang hentikan berita, laporan dan analisa mengenai perkara tersebut.


Rakyat semakin matang berpolitik. Rakyat tahu strategi UMNO untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat dan seterusnya menghancuran PAS dari dalam. Ini sudah tentu perancangan dari APCO yang diupah memberi nasihat kepada Najib bagaimana hendak memusnahkan musuh.


Saya rasa rakyat amat sedar bagaimana cara UMNO untuk memperbodohkan dan memperhambakan rakyat. Yang terbaru isu
kenaikan harga minyak untuk mengstruktur semula subsidi bagi menjimat perbelanjaan sebanyak RM750 juta setahun. Yang menyedihkan rakyat di negara ini kerana seluruh media di bawah kawalan UMNO memperbodohkan rakyat dengan melarang keras jangan menulis ayat ‘kenaikan harga, sebaliknya diarah menggunakan ayat “pelarasan harga” atau “rasionalisasi subsidi” dengan tujuan dan hasrat menipu rakyat supaya rakyat keliru . Begitulah 52 tahun UMNO memerintah dan 52 tahun hidup-mati UMNO kerjanya adalah menipu, berbohong dan kebas duit rakyat dengan menggunakan undang-undang ciptaannya, yang menyebabkan mereka ada imuniti.


Dalam masa yang sama
Najib sanggup mengupah firma perunding politik yang berpangkalan di Washington RM50,000 (US$15,000) untuk membantunya memastikan rencana pendapat pengarang yang ditulisnya, diterbitkan di akhbar-akhbar utama di Amerika Syarikat.


Dalam lawatan Najib dan Rosmah ke Amerika Syarikat pada bulan April lalu, iklan ucapan tahniah kepada ‘Rosmah Mansor, Wanita pertama Malaysia’ kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010 memakan belanja di antara RM580,000 hingga RM740,000.


Nazri Aziz, memberi tahu parlimen jumlah
perbelanjaan keseluruhan lawatan rombongan Perdana Menteri ke Amerika dan Jepun pada April lalu adalah berjumlah RM1,887,268.13. Jumlah perbelanjaan lawatan ke Amerika bagi Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang diadakan 12 dan 13 April lalu ialah M1,461,732.17 dan RM425,535.96 untuk lawatan rasmi ke Jepun pada 18 hingga 21 April lalu. Ia meliputi tambang kapal terbang, elaun makan, penginapan, sewa kenderaan dan perbelanjaan pelbagai.


“TOLAK UMNO, RAKYAT SEJAHTERA”

1 comment:

Anonymous said...

Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah segala pengkhianat-pengkhianat Bangsa Melayu yang akan menjejaskan perjuangan islam di Negara Malaysia dan sekutu-sekutunya. Amin"[Lalu bacalah surah Al Fil/ membayangkan kehancuran pengkhianat-pengkhianat dan sekutu-sekutunya- dengan Izin Allah.